Khamis, 28 Januari 2010

TEKS SEBAGAI PENGACARA SEMINAR DATO DR FADZILAH KAMSAH


YBhg. Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

Selaras dengan konsep 1Malaysia “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” yang merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran bagi memastikan kita semua, menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab, demi kepentingan pencarum kita, maka seminar hari ini dilihat, dapat memberikan kita satu semangat dan kekuatan ke arah pencapaian hasrat murni ini.

30 Oktober 2009, YBhg. Datuk Fadzilah telah hadir ke LTAT dan mengajar kita erti keseronokan dalam bekerja. Alhamdulillahlah dengan motivasi Datuk, cuba tengok hari ini semua warga LTAT senyum je...tanda seronok. Kalau pun ada seorang dua kat belakang tu mengantuk Datuk...bukan apa...lapar belum minum pagi ....minum pagi pukul 10 Datuk..Arahan..

Hari ini kita bersua sekali lagi dengan YBhg. Datuk kerana selepas seronok kita nak jadi orang baru. Orang baru yang dirahmati Tuhan dan disayangi insan. Maka pengisian program kita pada hari ini antaranya termasuklah persoalan.. “Apa sebenar yang kau cari”.....“Kenapa sukar untuk berubah”, “21 rutin fitrah insan terbilang” dan “21 Langkah bijak mencari isteri baru” silap tengok Datuk “21 Langkah bijak menjadi orang baru”.

Tuan/puan yang saya hormati bagi mencapai maksud dan tujuan seminar kita pada hari ini, pihak pengurusan LTAT sekali lagi telah mengundang seorang insan “Buatan Rakyat Malaysia” zaman Tun Mahathir, insan yang “Cemerlang dan Terbilang” zaman Pak Lah dan zaman ini zaman Dato Seri Najib yang tak suka bilang-bilang, hanya suka bende-bende yang SATU, tuan-tuan dan puan2 satu-satunya penceramah berstatus artis veteran, dipersilakan Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah untuk mengendalikan dan memotivasikan warga LTAT melalui Seminar 21 Langkah Bijak Menjadi Orang Baru. Dipersilakan Datuk.

PENUTUP

Bagi pihak pengurusan LTAT, saya suka merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Datuk mengisi seminar ilmu ini dengan rangka tindakan yang komprehensif untuk kita semua saling mengingati dan berubah ke arah insan yang dirahmati ALLah SWT kerana insan yang dirahmati ALLah adalah insan yang disenangi oleh keluarga, masyarakat dan majikan.

Semoga dengan terbentuknya budaya yang terbilang, minda cerdas yang positif, usaha dan tindakan yang cemerlang yang kita manfaatkan daripada Seminar ini dapat menjadikan kita orang baru yang mempunyai semangat dan kekuatan untuk bekerja demi kemakmuran LTAT yang kita cintai.

Serangkap pantun penutup bicara
Agar majlis terasa indah sebelah petang
Dari pagi Datuk berbicara
Tibalah masa minum petang

Dengan nama ALLah, saya sudahi majlis ini dengan Wabillahi taufik Wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatutullahi Wabarakatuh.

2 ulasan:

  1. Suku kata pantun bagi baris dua, terlebih.

    Bunyinya lebih sedap:
    Agar majlis indah memanjang

    BalasPadam
  2. Kalau selalu sangat dengar ceramah YBhg Datuk Dr Fadzilah Kamsah ramai akan berpindah ke Ulu Bendul di Negeri Sembilan atau duduk di tengah sawah dengan kerbau-kerbau yang sedang berkubang sebab topiknya tak pernah dikupas, dinilai dan kesan yg dicapai perlu diukur. Motivasi atau Motibasi(موتيباسي/موتيزاسي)?

    BalasPadam