Khamis, 3 April 2014

AHMAD FAKHRIZZAKI, GRATUITI DAN KKLTAT



Tuan Hj Ahmad Fakhrizzaki Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif LTAT (1974 – 2001) merupakan seorang yang tegas dan keras dalam menentang penubuhan KKLTAT pada akhir tahun 1998. Ini terjemahkan melalui tindakan-tindakan beliau, sehinggakan apabila beliau mengadakan satu forum di Dewan LTAT, penceramah jemputannya Dr Hassan Ali, Presiden Jati sekarang dengan sinisnya memaklumkan bahawa Kesatuan tidak sepatutnya wujud di dalam organisasi seperti LTAT.

Walaupun beliau begitu tegas tetapi beliau sebenarnya ada sifat-sifat penyayang terhadap pekerja LTAT. Saya masih ingat bagaimana setelah KKLTAT bekerjasama rapat dalam menzahirkan idea Tuan Haji Ahmad berhubung cadangan bayaran gratuiti bagi pesara-pesara LTAT. Beliau begitu sedih sangat apabila cadangan pembayaran Gratuiti ini ditolak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas prinsip mana-mana pegawai yang menikmati Skim KWSP adalah tidak layak menikmati Gratuiti. Ketika itu semua cadangan penambahbaikan Skim Perkhidmatan LTAT perlu melalui tapisan dan kelulusan JPA.

Namun sebagai seorang pejuang bangsa Melayu dan Islam di bumi Malaysia ini Tuan Haji Ahmad, tidak pernah mengenal erti mengalah dan jemu dalam perjuangan. Beliau merupakan pengasas Yayasan Anda Akademik pada awal tahun 1970 an bagi membantu ramai anak-anak orang Melayu yang miskin dan gagal dalam pelajaran SPR atau SPM untuk meneruskan pelajaran dan mengambil semula peperiksaan tersebut dengan yuran bayaran yang cukup rendah. Saya merupakan antara pelajar Yayasan Anda Akademik pada tahun 1983 yang berjaya lulus SPM dengan baiknya setelah kandas SPM pada tahun 1982. Saya merupakan pelajar dari setinggan Kampung Berembang Ampang yang hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Berbalik pada isu gratuiti ini, Tuan Haji Ahmad telah memanggil saya ke biliknya bagi memaklumkan perkhabaran sedih tentang penolakan pelaksanaan Gratuiti di LTAT buat kali ke dua oleh JPA.  Tanpa menoleh ke belakang, Tuan Haji Ahmad mengatakan kita harus meneruskan kelangsungan perjuangan ini dan sesuatu ayat atau perkataan itu jika ditukar boleh membawa kejayaan walaupun atas tujuan yang sama.

Beliau maklumkan kalau sudah 2 kali Grafiti di tolak oleh JPA kerana apabila bicara sahaja soal ini, JPA akan pegang prinsip jika carum KWSP tidak layak Gratuiti, apa kata kita tukar perkataan Gratuiti yang menjadi penghalang kepada tuntutan kita kepada perkataan “Bayaran Sagu Hati Tamat Perkhidmatan”.

Tuan Haji Ahmadlah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan perkataan dan konsep Bayaran Sagu Hati Perkhidmatan (BSTP) dan akhirnya sekali BSTP dibawa semula kepada JPA untuk kelulusan.

Namun Allah Maha Besar dan takdir Allah tidak siapa boleh menolak. Tuan Haji Ahmad akhirnya bersara wajib pada Januari 2001 dan tidak sempat menikmati kemudahan ini kerana hanya selepas beliau bersara barulah BSTP ini diluluskan pelaksanaannya pada awal tahun 2002 dan berkuat kuasa mulai tahun tersebut. Ini bermakna Tuan Haji Ahmad yang bersara tahun 2001 tidak layak menikmati BSTP. Kadar yang diluluskan ketika itu adalah 5% X Gaji Akhir X Tempoh Bulan Perkhidmatan di LTAT.

Kejayaan LTAT memperoleh kelulusan BSTP ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana hanya LTAT sahaja yang menikmati BSTP ketika itu, dan selepas lebih 10 tahun barulah ada Agensi Badan Berkanun Yang Di Asingkan memperoleh kelulusan pelaksanaannya dan sehingga kini masih ada juga yang tidak menikmatinya. Tentunya LTAT dijadikan “benchmark” dalam perjuangan mereka.    

Semasa saya menjadi Presiden KKLTAT dalam era Tuan Haji Ahmad selaku Timbalan Ketua Eksekutif, antara perkara yang turut menjadi isu hangat adalah berhubung pelaksanaan kaedah bayaran Kenaikan Gaji Tahunan yang pada mulanya agak tidak sistematik. Tuan Haji Ahmad sering menegur bagaimana mahu memberi kenaikan gaji yang tinggi pada pegawai yang tidak cemerlang. Beliau akhirnya memaklumkan bahawa pengurusan telah menetapkan kaedah pembayaran gaji yang sistematik berdasarkan markah yang diberikan oleh Ketua Jabatan masing-masing seperti berikut:

MARKAH PENILAIAN
PERATUS KENAIKAN GAJI
96 hingga 100
8%
90 hingga 95
7%
80 hingga 89
6%
70 hingga 79
5%
Di bawah 70
4%

Pelaksanaan proses pemberian kenaikan gaji berdasarkan pencapaian KPI Individu dengan berpandukan jadual di atas telah berjaya meningkatkan moral dan semangat pekerja di LTAT sehingga LTAT berjaya memperoleh dan menjana pendapatan yang baik dan memulangkan kadar dividen yang tinggi kepada pencarum LTAT.

Beliau sebenarnya mengiktiraf kehadiran KKLTAT di LTAT di mana saya masih ingat kata-kata beliau tentang perjuangan LTAT yang akhirnya banyak memberi manfaat dan faedah bukan sahaja untuk ahli KKLTAT malahan pihak pengurusan turut menikmati kemanisannya.  

Saya amat terharu apabila beliau menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk “A Day With Prophet” karya Ahmad Von Denfer yang mengandungi 40 perkara tentang kehidupan harian Rasulullah bermula dengan perkara 1. To Begin in the Name of Allah dan berakhir dengan perkara 40. Remembrance of Allah. Buku ini beliau beli di Madinah pada Disember 2000.

Kini Allahyarham Tuan Haji Ahmad telah tiada lagi. Jasanya pada kita amat besar. Takdir Allah tak sapa menduga. Jika kita berbuat baik akhirnya walaupun kita telah tiada di dunia ini tetap Allah beri balik yang terbaik untuk insan-insan tersayang  yang masih hidup di dunia.

Allah Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Penyayang akhirnya Bayaran Sagu Hati Tamat Perkhidmatan yang diperjuangkan oleh Allahyarham dapat dinikmati oleh isteri dan anak-anaknya. Pasti mereka bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT dan arwah kerana sebenarnya Allah tidak pernah memungkiri janji pada mereka yang berbuat baik di muka bumi ini.

Terima kasih buat Tuan Haji Ahmad Fakhrizzaki Abdullah kerana melahirkan Yayasan Anda Akademik untuk saya dan golongan miskin di bandar raya Kuala Lumpur dan menghadiahkan BSTP bukan sahaja buat semua warga LTAT tetapi buat semua agensi Badan Berkanun Yang Di Asingkan.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu.