Rabu, 16 Mei 2012

HORMATI DATO SERI NAJIB SEBAGAI PEMIMPIN NEGARA





Masyarakat Malaysia terutama bangsa Melayu terkenal dengan adap dan sopannya kerana kita diajar oleh generasi terdahulu agar mengamalkan budaya bersopan santun ini demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Lantaran itu tindakan segelintir warga Malaysia yang menganggu ucapan YAB Perdana Menteri dalam  acara ‘An Evening with the Prime Minister’ di lokasi berprestij dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London merupakan satu tindakan yang sama sekali bertentangan dengan budaya kita dan prinsip ke lima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. 

Apakah kita yang dikatakan sudah maju dari segi pemikiran dan cerdik akal fikiran dapat menghalalkan tindakan menganggu majlis dihadiri oleh pemimpin Negara. Fikir-fikirkan apakah dengan tindakan menjerit-jerit ke arah YAB Perdana Menteri dengan perkataan “Bersih” merupakan satu tindakan yang bersih dan terpuji? Budaya Melayu sendiri sering menekankan adat jangan mengganggu majlis orang dan kalau tidak dijemput jangan hadir majlis orang apatah lagi jika hadir dengan niat untuk merosakkan majlis. 

Kalaupun yang menganggu itu tidak sehaluan pemikiran dengan YAB Perdana Menteri akibat perbezaan pandangan dan fahaman politik tetapi kita diajar oleh ibubapa kita supaya menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Sekurang-kurangnya mereka yang menjerit itu, belajarlah menghormati orang yang lebih tua dari mereka.

Cuba kita kaji sedalam-dalamnya apakah yang telah dapat dicapai dengan tindakan menganggu majlis sedemikian? Sepatutnya perbezaan pandangan tersebut boleh diajukan terus secara diplomasi kepada Dato Seri Najib lebih-lebih lagi beliau sendiri telah mempelawa mereka yang hadir untuk berjumpa dengannya jika ada sebarang pertanyaan dan persoalan.

Jika budaya kurang sihat ini tidak diberhentikan, dalam masa yang singkat saja ada kemungkinan Malaysia bakal menyaksikan rakyatnya hilang identiti sebagai sebuah masyarakat dunia yang tinggi nilai-nilai kesopanan dan kesusilaannya.

Sudah tiba masanya baik Kerajaan mahupun barisan pembangkang mengambil langkah untuk memastikan rakyat diberikan kesedaran tentang peri pentingnya budaya menghormati antara satu sama lain dengan kembali kepada ajaran agama masing-masing sebagai asasnya dan Rukun Negara sebagai sebahagian daripada panduan kerana kita merupakan pewaris generasi masa lampau yang tentunya mahu melihat kita hidup dalam budaya Timur walaupun kehidupan kita sudah jauh maju ke hadapan dan standing dengan negara maju.

Illya Salehudin Jaafar
Mantan Presiden Kesatuan Kakitangan LTAT