Ahad, 23 Januari 2011

BALANGSUKAWA HAJI HUSSIN BIN HAJI ABDUL RAHMAN





Tanggal 7 Januari 2010, jam 9.45 malam setelah hampir sebulan di serang angin ahmar Haji Hussin bin Haji Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Makam Masjid Al Bukhary Alor Setar pada 8 Januari 2010 jam 11.00 pagi.

Haji Hussin merupakan anak kembar, dan pasangan kembar beliau bernama Hassan yang merupakan bapa kepada Zurinah Hassan merupakan salah seorang penyair Malaysia. Allahyarham Haji Hussin yang dilahirkan di Tikam Batu Sg Petani, Kedah pada 20 September 1925 merupakan bekas pelajar di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid dan beliau juga merupakan rakan sekolej dengan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Kali pertama saya bertemu dengan beliau adalah pada Mac 1999 ketika beliau ingin berangkat menunaikan haji di Terminal Lapangan Terbang Subang. Pertemuan pertama ini diaturkan oleh Norliza Hussin yang merupakan anak beliau yang ke 11 daripada 13 adik-beradik. Perwatakan beliau tampak tegas dan agak garang orangnya.

Pertemuan ini akhirnya diikatkan dengan erat apabila pada 21 Ogos 1991 saya telah mendirikan rumah tangga dengan anak ke 11 beliau Norliza binti Hussin dan dikurniakan dua anak bernama Wafiq dan Afrina.

Sepanjang hayatnya, Haji Hussin agak penyabar orangnya dan suka membaca akhbar harian The News StraitsTimes dalam memenuhi masa lapangnya. Pendokong kuat UMNO walaupun badai dan ribut melanda dalam UMNO bisa difahami oleh anak-anak, menantu dan cucu-cu beliau. Berbeda pandangan dan perdapat dengan anak-anak dan menantu dalam soal politik bukan halangan dalam mewujudkan suasana akrab dalam sebuah keluarga yang besar.

Beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua anak-anaknya, menantu dan cucu sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 50 pada penghujung tahun 1990an. (tarikh tepat akan dikemas kini). Pertemuan yang diadakan di sebuah restoran Tom Yam Alor Setar Kedah amat menggembirakan beliau dan diterjemahkan melalui ucapan beliau pada majlis tersebut.

Bagi kami antara menantu yang rapat, kehilangan beliau pada usia 88 tahun amatlah dirasai bila mengenangkan gelak tawanya, diet makanannya, disiplinnya terutama memastikan setiap hari beliau makan ubat tepat pada waktunya. Sesungguhnya dari ALLah kita datang dan kepadaNya jua kita kembali. AL FATIHAH. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

Selasa, 4 Januari 2011

BUKIT PUTUS BAKAL MENGUNDANG TRAGEDI KEMALANGAN JALANRAYA





Syukur ke hadrat ALLah SWT melimpah nikmat kepada kita warga Malaysia sehingga kita punyai jalan raya antara yang terbaik di dunia. Sebelum tahun 2009, sebut sahaja fasal jalan raya Bukit Putus tentunya meninggalkan nostalgia bagaimana sempitnya jalan ini dan sesaknya jalan ini pada hujung minggu. Dan yang paling ditakuti, sedikit sahaja kecuaian bakal mengundang padah kenderaan jatuh ke dalam gaung.

Maklumat daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Malaysia_Federal_Route_51 menyebut “The section of the Federal Route 51 from Paroi to Ulu Bendol known as Jalan Bukit Putus is notorious for its narrow and dangerous sharp corners. Construction of the new bypass replacing the old narrow road started on 2006 and it was completed in the early 2009. On August 2009 the bypass is now opened to traffic”.

Dengan adanya jalan pintas yang baru mengganti jalan Bukit Putus, telah memberikan satu keselesaan kepada pengguna jalan raya ditambah pula dengan adanya Lebuh raya Lekas yang menghubungkannya terus dengan Paroi/Senawang ke Kuala Lumpur.

Jalan pintas Bukit Putus ini selesa dan selamat. Selamat dengan syarat semua pengguna mematuhi arahan pemanduan yang ditetapkan ke atas penggunaan jalan pintas ini. Jalan pintas ini sebenarnya berkedudukan lebih tinggi hampir 2 kali ganda daripada jalan lama Bukit Putus dan di bahu jalan tentunya gaung menjadi teman jalan raya baru ini.

Pendek cerita jika terjatuh dalam gaung di jalan pintas baru ini tiada harapan untuk hidup kecuali atas kehendak Illahi masih dipanjangkan umur.

Saya melalui jalan pintas ini hampir setiap minggu di mana jika kita dari Paroi jalan ini mempunyai 1 lorong pergi dan 2 lorong balik bagi mendaki pada hampir keseluruhan perjalanan sehingga ke Ulu Bendol kecuali di pertengahan perjalanan 2 lorong pergi dan 1 lorong balik.

Yang menjadi igauan buruk pengguna adalah sikap ramai pengguna yang suka memotong di atas garisan “double line” sehingga menjadikan pemanduan di lorong kanan (2 lorong) menjadi amat berbahaya kerana pengguna yang mempunyai 1 lorong suka memotong dengan melulu.

Sepanjang menggunakan jalan pintas ini hampir setahun setiap hujung minggu Sabtu dan Ahad saya tidak pernah melihat ada “road block” diadakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan keadaan ini menjadi pemandu yang gila memotong terus melakukan aksi mereka terutama setiap hujung minggu. Mereka bukan sahaja memotong di sebelah kanan malahan sebelah kiri (bahu jalan raya).

Memetik daripada http://singalautmetro.blogspot.com/2010/11/empat-cedera-tiga-kereta-kemalangan-di.html yang melaporkan pada 12 Novembber 2010, EMPAT cedera termasuk seorang wanita hamil, apabila tiga buah kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Pilah-Seremban, berdekatan Bukit Putus, kira-kira jam jam 9.30 pagi tadi. Bahagian enjin salah sebuah kereta terbabit, turut terputus dua menunjukkan betapa bahayanya jika pengguna tidak mematuhi peraturan jalanraya.

Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya kita memerlukan bantuan pihak PDRM melakukan pemantauan dan sekatan jalan raya di jalan pintas Bukit Putus walaupun tindakan ini tidak popular tetapi demi keselamatan rakyat Malaysia, ketepikan sahaja cakap-cakap mereka yang tidak bijak itu. Walaupun mungkin menimbulkan kesulitan kepada pengguna tetapi tindakan pihak PDRM amatlah diperlukan.

Jika tidak, tragedi atau kecelakaan jalan raya yang lebih dahsyat mungkin boleh berlaku dan bayangkan jika inya melibatkan bas. Perlu diingatkan bahawa kebanyakan bas yang melalui jalan pintas ini membawa anak-anak sekolah, siswa dan siswi yang pintar kerana di Kuala Pilah ada Uitm, Kolej Matrikulasi dan sekolah-sekolah berasrama penuh.