Ahad, 27 Februari 2011

Pegawai Sumber Manusia & Kepentingannya Dalam Kejayaan Sesebuah Organisasi



Dalam mana-mana organisasi tanpa mengambil kira sektor Kerajaan atau swasta peranan Jabatan yang berkait dengan sumber manusia adalah sangat penting dan terus kekal relevan hingga ke hari ini. Jabatan yang berkait dengan sumber manusia dikenali dengan pelbagai nama mengikut kehendak organisasi antaranya Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran dan jika di Lembaga Tabung Angkatan Tentera ia dikenali dengan nama Jabatan Tenaga Manusia dan Pentadbiran. 

Apa-apa pun yang jelas Jabatan yang berkait dengan sumber manusia ini tentunya Pelanggan Utamanya adalah kakitangan atau warga kerja organisasi itu sendiri. Tanpa kakitangan sudah tentu unit ini tidak berfungsi dan tidak dapat memainkan apa-apa peranan.

Dari hal berkaitan proses kemasukan pekerja hingga pekerja bersara atau ditamatkan perkhidmatan akibat masalah kesihatan mahupun disiplin, pengendalian dan pengurusan kursus bagi kakitangan, pengurusan kebajikan pekerja merangkumi kemudahan perubatan hinggakan ke hal-hal berkaitan kaunseling, penyediaan bekalan pejabat untuk kakitangan, pengurusan pejabat malahan bangunan adalah terletak di bawah Jabatan Sumber Manusia.

Sehubungan itu, sudah tentu bagi memastikan pengurusan sumber manusia organisasi dapat  diurus dengan cekap dan baik, maka warga kerja di Jabatan Sumber Manusia perlulah terdiri daripada mereka yang mempunyai “Public Relations” yang baik malahan kalau boleh yang terbaik, “to be a good listener” kepada kakitangan yang datang membuat aduan walaupun mungkin aduan itu membosankan, sentiasa mengamalkan konsep senyum, bersedia menerima panggilan telefon 24 jam daripada kakitangan, inovatif dalam membuat keputusan seperti memastikan hanya kursus dan latihan yang relevan sahaja diaturkan untuk kakitangan, terbuka dalam menerima teguran kakitangan organisasi termasuk melalui Borang Kepuasan Pekerja dan paling penting jika semua di atas tidak disukai, janganlah bekerja di Jabatan Sumber Manusia, lebih-lebih lagi jika seorang kakitangan Jabatan Sumber Manusia kerjanya asyik bertengkar dengan kakitangan organisasi yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada Jabatan ini.

Sebuah Jabatan Sumber Manusia yang baik dengan mempunyai kakitangannya yang terbaik dan dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dalamannya sendiri iaitu kakitangan organisasi, pastikan akan dapat membantu meningkatkan modal insan sesebuah organisasi. Modal insan amatlah penting dalam memastikan perjalanan sesebuah organisasi itu terus berada di landasan yang betul dalam usaha membantu Kerajaan Malaysia menuju mencapai status negara maju menjelang 2020.

Sekadar menyanyi lagu Wawasan 2020 tanpa menghayati dan membawa ia ke arah pencapaian tersebut amatlah malang bagi kakitangan Jabatan Sumber Manusia kerana kesedaran tentang peri penting peningkatan ilmu yang berterusan kakitangan organisasi adalah penting kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan itu.

Rabu, 9 Februari 2011

SEASON 5 WEEK 1 PROX BOWLING RESULTS


Liga ProX Musim ke 5 telah bermula. Walaupun tidak bermain pada musim ini saya akan melaporkan kedudukan "results" every week.

Selasa, 1 Februari 2011

PETIKAN SEBAHAGIAN AMANAT TAHUN BARU 2011 KETUA EKSEKUTIF LTAT

ASSALAMUALAIKUM WBT, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA

Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama sekali lagi di dalam majlis Amanat Tahun Baru bagi memberi ruang dan kesempatan kepada saya untuk menyampaikan pandangan dan pesanan sebagai panduan kepada kita semua dalam menggalas tanggungjawab selaku warga LTAT bagi melaksanakan strategi dan hala tuju LTAT bagi tahun 2011 dan tahun-tahun seterusnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

PRESTASI EKONOMI

Seperti umum mengetahui tahun 2010 menyaksikan keadaan ekonomi global semakin pulih dari kemelesetan walaupun kadar pertumbuhan di setengah tahun kedua agak sederhana. Kadar pertumbuhan ekonomi dunia bagi tahun 2010 dijangkakan 4.8% .

Negara kita juga telah berjaya mengatasi krisis dan cabaran ekonomi yang lalu menerusi pelbagai langkah yang proaktif serta kepantasan dalam membuat keputusan dan pelaksanaan. Dua pakej rangsangan ekonomi dan pendekatan monetary yang akomodatif telah membantu memulihkan ekonomi Negara daripada krisis kewangan global dan mencatat pertumbuhan 10.1% suku tahun pertama, 8.9% suku tahun kedua dan 5.3% suku tahun ketiga menjadikan purata 8.1% bagi 9 bulan pertama tahun 2010. Dengan kedudukan asas ekonomi yang kukuh ini, Negara kini berada pada landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan 7.0% pada tahun 2010 berbanding pengucupan 1.7% pada tahun 2009. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan pelaburan swasta dan penggunaan yang mantap serta permintaan luar yang kukuh. Pada tahun 2011, ekonomi Malaysia dijangka berkembang di antara 5.0%-6.0%, sejajar dengan pertumbuhan global dan perdagangan yang sederhana.

Kita sedia maklum, Malaysia kini berada pada fasa pembangunan yang amat penting dalam usaha transformasi menjadi sebuah Negara maju dan berpendapatan tinggi. Usaha ini sangat penting memandangkan model pertumbuhan terdahulu yang telah berjaya membangunkan negara daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada perindustrian, tidak lagi mampu untuk memacu Negara menjadi sebuah ekonomi maju. Oleh itu Kerajaan Malaysia telah memulakan program transformasi nasional berteraskan empat tonggak, iaitu:

1. Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan;
2. Program Transformasi Kerajaan (GTP);
3. Program Transformasi Ekonomi (ETP); dan
4. Rancangan Malaysia ke-sepuluh (RMKe-10)

Tanpa perlu mengulas lebih panjang mengenai program-program ini kerana saya percaya tuan/puan telah banyak membaca mengenainya, kita sebagai warga Malaysia dan kakitangan LTAT perlu menyokong program-program Kerajaan ini dan sama-sama menjayakannya. Kita berharap program-program ini akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara dan seterusnya LTAT sebagai pengurus dana akan dapat merebut peluang-peluang pelaburan yang disediakan.

PRESTASI LTAT

Seiring dengan prestasi ekonomi negara, LTAT juga turut menunjukkan peningkatan yang membanggakan dari segi pencapaian keuntungan. Berdasarkan Penyata Kewangan Yang Belum Diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, LTAT telah berjaya mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM747.5 juta meningkat sebanyak 34.7% berbanding RM554.7 juta pada tahun 2009 dan yang lebih membanggakan angka ini selain melebihi sasaran pendapatan 2010 dalam Pelan Strategik Pelaburan (IMP) 2010-2013 LTAT yang telah dikaji semula, ia juga merupakan rekod tertinggi keuntungan LTAT sejak ditubuhkan 38 tahun yang lalu. Selain dari keadaan ekonomi negara dan prestasi pasaran saham yang meningkat sehingga mencecah melebihi 1,500 mata yang menyediakan suasana pelaburan yang baik, pencapaian ini adalah hasil daripada keberkesanan usaha kita membuat perancangan yang teratur, pelaksanaan yang berkesan, dan pemantauan yang berterusan dalam pelaburan kita.

Hasil pencapaian yang memberangsangkan ini membolehkan LTAT mengekalkan kadar dividen dan bonus sebanyak 14.0% kepada pencarum iaitu pecahannya Dividen pada kadar 7.0%, Bonus pada kadar 1.0%, dan Bonus Khas dalam bentuk Unit Amanah saham pada kadar 6.0%. Apa yang lebih membanggakan ialah kadar pulangan ini dapat dibiayai oleh keuntungan dalam tahun 2010 tanpa menggunakan peruntukan dari keuntungan terkumpul. Kadar dividen dan bonus 14.0% ini melibatkan anggaran pembayaran keseluruhan berjumlah RM616.3 juta. Dengan kadar ini, purata kadar dividen dan bonus semenjak ditubuhkan ialah 11.08%, purata 10 tahun 13.73%, dan purata 5 tahun 15.0%.

PENCAPAIAN KPI UTAMA

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Bagi tahun 2010 LTAT telah dapat mencapai sebahagian besar KPI utamanya iaitu:

 Kadar Dividen dan Bonus kepada pencarum menepati sasaran 14%;

 Pulangan atas pelaburan (ROI) 11.5% berbanding sasaran 8.9 %;

 Mencapai Indeks kepuasan pelanggan 94 % berbanding sasaran 90%;

 Memproses 100% pengeluaran caruman biasa, hilang upaya dan Khairat Kematian tidak melebihi 24 jam;

 Memproses 100% pengeluaran perumahan tidak melebihi 24 jam;
 Berusaha mendapatkan Sijil Audit Bersih Audit Negara (dalam proses); dan tahun lepas iaitu bagi Akaun 2009, kita telah dapat mengekalkan pencapaian tahun ke sepuluh berturut-turut KPI ini,

 Mencapai nisbah kos kepada pendapatan 4.6% mencapai sasaran tidak melebihi 5.0%.

Dalam tahun 2010, LTAT terus berusaha meningkatkan sistem pengurusan operasinya melalui amalan pengurusan berkualiti. Di samping berjaya mengekalkan persijilan bagi kedua-dua standard ISO yang berjaya kita peroleh iaitu standard ISO 9001:2008 dan standard ISO/IEC 20000-1:2005, kita juga telah berjaya memperoleh persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti atau 5S daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 28 Julai 2010. Saya berharap pencapaian ini bukan setakat persijilan tetapi yang lebih penting adalah diamalkan dan terus ditambahbaik supaya kita mendapat faedah daripada amalan-amalan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

LTAT telah menyediakan serta melaksanakan pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan bagi meningkatkan motivasi kerja serta produktiviti. Bagi tahun 2010 ini, LTAT telah melaksanakan semakan semula gaji dan skim perkhidmatan pegawai dan kakitangan. Kenaikan ini seharusnya disyukuri dan menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti. Mudah-mudahan ia akan membantu warga LTAT dalam menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat dan dapat menghindar diri dari terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Dalam keadaan senario ekonomi semasa negara dan global yang semakin mencabar, kita menghadapi cabaran berat untuk mengekalkan prestasi yang cemerlang. Oleh itu kita perlu menggandakan usaha dan menyusun langkah dan strategi dengan tepat. Kita tidak boleh leka dengan kejayaan yang diperoleh sebaliknya perlu sentiasa peka dan serius terhadap perubahan dasar dan perkembangan semasa ekonomi negara, serantau dan global di dalam merangka aktiviti-aktiviti pelaburan, menyemak semula strategi, tahap risiko dan membuat pemantauan yang rapi terhadap portfolio pelaburan, selain terus mengenal pasti peluang-peluang yang ada di pasaran.

Di samping itu, kita terus menyokong sepenuhnya inisiatif-inisiatif di bawah program transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menjadikan syarikat-syarikat LTAT berprestasi tinggi dan terus berdaya saing.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Secara keseluruhannya saya amat berpuashati dengan prestasi semua jabatan yang telah dapat dilihat daripada laporan pencapaian KPI masing-masing.

Walau bagaimanapun saya menyeru semua jabatan supaya terus melipatgandakan usaha, meningkatkan produktiviti dan beroperasi dengan mematuhi dengan rapi prosedur kerja yang telah diwujudkan.

Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih di atas segala sokongan, kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pegawai/kakitangan Jabatan-jabatan di LTAT dalam memastikan LTAT dapat melaksanakan operasinya dengan baik dan teratur dan mengikut keperluan-keperluan urus tadbir Korporat yang terbaik.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Bagi tahun 2011 ini, saya suka menggariskan beberapa matlamat yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pengarah LTAT yang perlu dicapai.

Saya juga menyeru pegawai/kakitangan LTAT tidak lalai dengan pencapaian yang diperolehi dan terus berusaha dengan lebih kuat lagi untuk meningkatkan prestasi masing-masing dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran melalui kursus-kursus yang relevan. Kita sebagai penjawat awam dan warganegara perlu memahami dan menyokong usaha-usaha kerajaan terutama 4 tonggak utama program transformasi nasional yang telah saya sebutkan tadi. Oleh itu kita juga perlu melakukan transformasi melalui inovasi minda dan budaya kerja.

Usaha-usaha perlu dipertingkatkan untuk LTAT mendapat pengiktirafan LIMA (5) bintang dari MAMPU. Oleh itu kita perlu memastikan kesemua keperluan di bawah kriteria Penarafan Bintang (Star Rating) dipenuhi.

Pihak Pengurusan juga senantiasa mengambil berat hal-hal kebajikan pegawai/kakitangan LTAT. Saya percaya dengan adanya skim perkhidmatan yang baik, suasana tempat kerja yang selesa, di mana bangunan LTAT telah pun dinaikkan taraf dari segi kemudahan dan keselamatan semua pegawai/kakitangan LTAT akan dapat memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

Saya ingin menyeru kita semua sebagai warga LTAT supaya mengamalkan nilai kerja yang bermutu tinggi, inovatif dan kreatif, proaktif dan terus memberi komitmen yang jitu sebagai satu pasukan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kita telah berusaha gigih untuk mencapai ke tahap kecemerlangan pada masa ini oleh itu marilah kita sama-sama mengekalkannya, malah jangan sekali-kali mencacatkannya. Bekerjalah dengan amanah dan mematuhi segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan supaya dapat meningkatkan lagi sumbangan bakti kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua dan Selamat Tahun Baru Cina kepada warga LTAT yang berketurunan Cina. Semoga kita bekerja dengan lebih kuat untuk diri sendiri, keluarga dan LTAT. Selamat Maju Jaya kepada semua.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.