Ahad, 27 November 2016

PROJEK PEMBENTUNGAN LANGAT MENGUNDANG BAHAYA


Cadangan Pembinaan Langat Centralised Sewage Treatment Plant (CSTP) Dan Penyambungan Rangkaian Paip Pembetungan Di Kawasan Tadahan Lembangan Sungai Langat Secara Reka dan Bina adalah dialu-alukan oleh penduduk di kawasan Langat dan Kajang. Projek ini telah dimulakan sejak 20 November 2015 dan dijangka siap pada 19 Oktober 2020.

Namun didapati kerja-kerja mengorek lubang besar bagi pembinaan terowong di kawasan yang terlibat seperti di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana dan lain-lain kawasan didapati telah dibuat ditengah-tengah jalan.

Tindakan mengorek lubang besar di tengah-tengah telah menyebabkan jalan 4 lorong pergi balik telah menjadi 2 lorong dan ini menimbulkan bahaya kepada pengguna jalanraya. Bayangkan jalan 2 lorong tiba-tiba menjadi 1 lorong dan tanda-tanda amaran berhubung 2 lorong menjadi 1 lorong tidak dipasang dengan sempurna. Dan keadaan ini lebih berbahaya apabila menggunakan jalan di waktu malam. Ini adalah kerana lampu yang dipasang adalah betul-betul di kawasan kerja-kerja korekan dijalankan dan bukannya 500 meter sebelum kawasan korekan.

Kita tidak mahu hanya selepas kejadian kereta atau motosikal terhumban dalam lubang tersebut dan berlaku kehilangan nyawa barulah tindakan pencegahan hendak diambil. Memandangkan tiada Pengawal Keselamatan ditempatkan di kawasan kerja-kerja tersebut dan berhampiran dengan kawasan perumahan ia juga mengundang risiko kepada kanak-kanak yang mungkin tertarik untuk mendekati kawasan tersebut dan mengundang musibah.

Sepatutnya pihak pemaju dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) perlu memastikan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan berikut diambil.

i)                    Melebarkan tepi jalan supaya jumlah lorong sedia ada kekal dan tidak menimbulkan kesesakan dan bahaya kepada pengguna.

ii)                  Meletakkan papan tanda dan lampu yang mencukupi pada jarak yang sesuai dan mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan seperti MPKJ dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

iii)                 Meletakkan Pengawal Keselamatan di kawasan kerja korekan lubang dibuat.

Memandangkan kerja-kerja ini dijangka siap 5 tahun lagi maka langkah-langkah keselamatan perlu diutamakan demi keselesaan dan keselamatan penduduk, lebih-lebih lagi banyak aduan berhubung kegusaran yang sama telah pun dimajukan oleh penduduk kepada pihak berkuasa tempatan terutama MPKJ.

 

Illya Salehudin Jaafar
SUAKASIH BTHO CHERAS

Jumaat, 30 September 2016

TAHAN KERANA RAKUS

Tragedi September 2016
Dikala keseronokan bekerja
Telah lama direntap
Tak kala virtago senantiasa menanti
Mana satu harus dikejar
Bekerja untuk kelancaran operasi
Atau melayan pertanyaan
Yang tak pernah sudah-sudah
Bertalu-talu dari penguasa rakus

Yang salah tetap salah
Tindakan punitif harus berhemah
Kita mudah ungkapkan
Sedangkan Nabi ampunkan umat
Tapi bila kuasa dalam gengaman
Tergamak hukum kawan-kawan
Bukan dengan nasihat
Tapi dengan kata nista keji

Dikala kawan terkial-kial
Mencari jawapan terbaik
Dalam tangisan yang hampir berhenti
Tiba-tiba langit berdentum
Guruh dan panah terus bermaharalela
Tahan Tahan Tahan
Tangisan menderaikan air mata

Hinakan mereka
Kenapa mereka harus diperlakukan begini
Menghampiri sahaja sudah salah
Inikan pulak nak masuk
Perlukan keizinan dari penguasa
Yang dulunya rakan baik mereka sendiri

Jenayah apakah ini
Betulkan ini caranya
Diperlayan begini rupa
Hanya ALLah Maha Mengetahui

Carilah didalam Al Quran
Pasti kita temui
Manusia yang cerdik dalam dunia
Bukan manusia yang dikhayalkan
Dengan nikmat dunia
Bukan manusia yang rakus
Mengejar pangkat dan kuasa
Tapi manusia yang mengejar Padang Mahsyar
Itulah manusia yang cerdik

Khamis, 11 Ogos 2016

CEMERLANG JADIAN

Anugerah Khidmat Cemerlang
Jumlah diberi boleh dibilang
Dulu dua diangkat gemilang
Sekarang makin ramai bilangan
Yang terima pulak kurang orang

Pekeliling APC Kerajaan kata
8% pekerja layak terima kuota
Tapi tidak dijadikan panduan kita
Maka jadilah satu tiap katogerinya

Dikaji ditapis dibuat kajian
Yg tak dapat pula meroyan
Bukan meroyan sebarang meroyan
Tapi ada sebab kejadian
Kerna yang dapat bukan semua gemilang
Tapi ada yang Cemerlang Jadian

Janji nak beri guna formula bumiputera
Tapi dipakainya metokrasi yang sah bergelora
Tambah pahit ikut selera
Semakin ceramuk semakin sengsara

Dibuat kesimpulan dikaji dulu
Nak cemerlang MC lah selalu
Balik awal biar selalu
Walaupun rakan tengok berbulu

Rumah siap pahat berbunyi
Disangka habis AKC staff tak berbunyi
Tidur malam penguasa senyap sunyi
Tapi terkejut kilat halilintar membelah sunyi

EL dijadikan senjata alasan
Menolak staff yang tulen cemerlang
Tapi bila EL jadi kajian
Nyata hanya mereka yang tak punyer ibu dan ayah
Atau tak punya anak dan isteri
Yang tak ambil EL

Tapi jika mereka semua ada ibu dan ayah
Punyer anak dan isteri
Tapi tak pernah ambil EL
Itu tandanya mereka telah hilang kasih sayang
Dan telah hilang sifat kemanusian.

Jumaat, 15 Januari 2016

SELOKA NASIHAT BUAT UMAT

SELOKA NASIHAT BUAT UMAT

Islam itu mudah,
Tapi jangan dipermudah-mudah.

Islam menuntut kita menjadi pandai,
Tapi tidak boleh memandai-mandai.

Islam suruh kita mengasihi binatang,
Tapi jangan berperangai binatang.

Islam suruh kita makan untuk hidup,
Bukan hidup untuk makan.

Islam suruh kita menjadi unggul,
Bukan hanya menjadi tunggul.

Islam suruh kita menjadi peka,
Bukannya buat pekak sahaja.

Islam suruh kita cergas,
Bukannya duduk bermalas-malas.

Islam suruh kita berkasihan belas,
Tapi bukan mencari belas.

Islam itu sudah cantik,
Tidak perlu lagi diletak kosmetik.

Islam itu bersifat rabbani,
Mendidik insan mengenal ilahi.

Islam itu bersifat alami,
Ukhuwwah terjalin, mahabbah bersemi.

Islam itu bersifat lengkap,
Kehidupan teratur, pegangan mantap.

Islam itu jalan keselamatan,
Selagi ia dijadikan pedoman.

Maruah Islam wajib dibela,
Dari ancaman musuh durjana.

Islam itu wajib diperjuangkan,
Agar terbina generasi beriman.

Oleh : Ustaz Zainudin
Pengerusi
Lajnah Dakwah BPPWP.
16 Januari 2016.