Ahad, 9 Jun 2019

Indahnya Lemang Superfly/Nyembang di Al Fatonah

Beberapa hari sebelum Syawal, tiba-tiba geng Superfly/Nyembang terfikir dan teringin nak makan lemang buatan sendiri pada 29 Ramadhan.

Maka idea ini dipanjangkan pada ahli group dan semua sepakat setuju dan pengurusan Al Fatonah disantuni untuk dapatkan kelulusan memasak di kawasan surau. Al Fatonah setuju.

Perkara pertama dilakukan cari buloh lemang sendiri dan alhamdulillah ada ahli yang punya buloh ini. Maka bergotong royonglah ahli superly/nyembang tebang dan potong buloh.

Kedua masuk hutan BTHO cari kayu dan sehari lepas itu cari daun pisang hutan.

Nak masak lemang kena beli pulut dan santan. Nak makan pula dengan rendang ayam tua.
Dari mana nak cari duit? Kumpul duit dari ahli-ahli Superly/Nyembang. Tiada paksaan dan minta sumbangan. Sesiapa yang ikhlas nak bagi duit bagi le. Alhamdulillah duit yang diterima cukup untuk masak 100 lemang dan rendang ayam tua. 

Surau tak perlu keluarkan apa-apa sumbangan kewangan. Cukup sumbang kawasan untuk masak dan fasiliti untuk buka puasa makan lemang dan rendang.

Pada 29 Ramadhan bermulalah aktiviti masak lemang. Yang tak pandai masak lemang macam aku dapat ilmu belajar masak lemang. Mula jam 10 pagi hingga hampir maghrib.

Alhamdulillah bila berbuka sajian lemang dan rendang ayam dapat dinikmati bukan sahaja ahli Superfly/Nyembang tapi kesemua jemaah Al Fatonah.
Lepas Isya lebihan lemang mula diagih-agihkan.
 
Terasa puas kerana:









1) Dah tahu cara nak masak lemang.

2) Seronoknya mencari buloh, kayu dan daun pisang.

3) Seronoknya masak lemang dan rendang.

4) Dapat sama-sama bersama kesemua jemaah Al Fatonah berbuka puasa makan lemang dan rendang dalam suasana ala kadar bukannnya makan berlebih-lebihan.

5) Kenangan indah memasak/rewang bersama Arwah Pak Man takkan lenyap dari ingatan. Al Fatihah buat arwah.

Akhir sekali kepuasan terpancar kerana keinginan untuk makan lemang rendang ayam pencen dizahirkan hasil kerjasama dan sumbangan ahli Superfly/Nyembang.

ILLYA SALEHUDIN JAAFAR
10 JUN 2019