Isnin, 30 Mei 2011

Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK)

Alhamdulillahlah berkat kerjasama dan toleransi antara Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK telah dipilih menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuat kuasa 1 Julai ini.

Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.
Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Memetik artikel daripada Berita Harian Online, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini. “Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,”

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.


“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Untuk rekod pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Bagi Agensi Badan Berkanun Persekutuan Yang Di Asingkan Skim Saraannya termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera, tentunya akan memerhati dengan penuh minat ke atas pelaksanaan PROSPEK ini kerana wujudnya budaya baru dalam kriteria penilaian yang ditetapkan sekali gus mencerahkan peluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya bagi pegawai dan kakitangan yang benar-benar ikhlas dan menunjukkan semangat tinggi di dalam melaksanakan tugasan harian.

Diubahsuai daripada Petikan Berita Harian Online bertarikh 2011/05/20 Tajuk Tiada Lagi Ujian

Sabtu, 21 Mei 2011

TARGEDI TANAH RUNTUH YANG MENIMPA ANAK YATIM AL TAQWA ULU LANGAT

Kira-kira jam 4.00 petang, ketika sibuk membelanjakan wang bonus di Jaya Jusco, aku menerima sms yang meruntun jiwaku dan membuat aku tergamam.

SMS dari Haji Azmi berbunyi "MHN BANTUAN TNGA DAN WANG RINGGIT untuk membantu ank yatim al taqwa lembah azwin hulu langat. Msh ad anak ytm terperngkap di dlm tanah runtuh skrg".

Mana tidaknya aku tergamam, boleh dikatakan semua anak-anak yatim tersebut,telah dan akan aku temui sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Bukan aku melawat mereka, tetapi mereka datang ke Wakaf Damai Suadamai BTHO bagi mengisi program kami kerana Ustaz mereka Uztaz Azam(Ahmad) merupakan ustaz kami juga.

Ustaz Azam merupakan pemilik/penjga/pembimbing anak-anak yatim ini. Nyanyian nasyid mereka beralunkan kompang, bacaan al quran mereka, berzanji masih teriang-iang di telinga ku.

Aku hentikan aktiviti membelanjakan bonus LTAT, sebaliknya terus ke Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat. Aku parking keretaku 3 kilometer dari tempat kejadian dan telah bersiap sedia untuk berjalan kaki dan masuk ke kawasan kejadian tetapi malangnya hujan lebat ditambah arahan pihak berkuasa untuk tidak menghampiri tempat tersebut memnbantutkan perjalanannku.

Hujan turun dengan lebatnya hingga jam jam 7.00 malam. Aku sempat berjumpa dengan seorg penduduk Kampung Gahal yang menceritakan bagaimana beliau merupakan orang yang pertama memberi bantuan. Beliau berjaya menarik 2 kanak-kanak dari tanah runtuh malangnya 2 kanak-kanak tersebut tiada lagi nafas (meninggal dunia) sebelum ditarik keluar. SEDIH SEDIH SEDIH.

Ketika kejadian kira-kira 2.30 petang tadi difahamkan, semua kanak-kanak itu sedang berada di dewan makan rumah anak-anak yatim bagi membuat latihan persembahan untuk satu program yang akan diadakan di madrasah itu.

Sehingga berita ini ditulis 5 telah meninggal dunia, 7 berjaya diselamatkan dan lebih kurang 13 masih lagi tertimbus. Aku baru sahaja menghubungi saudara Rosli Jaafar yang turut menjadi anak murid Ustaz Azam.

Kami dengan rendah diri dan sepakat mohon bantuan rakan-rakan di LTAT untuk memberikan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim ini dan sehubungan itu pagi ISNIN nanti, En. Rosli akan membuat kutipan derma dan untuk makluman semua anak-anak yatim ini sebenarnya dibentuk untuk menjadi Tafiz Al Quran.

Terima kasih atas bantuan semua.