Ahad, 19 Disember 2010

TEKS UCAPAN PENGERUSI LIGA PROX MUSIM KE 4 MAHKOTA PARADE MELAKA 25 DISEMBER 2010

Bismillahirahmanirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saudara Setiausaha Encik Mohd Amir Nordin
Saudara Bendahari Encik Mohamed Yusoff
Kapten ProX Encik Wan Kamal
Barisan AJK Kelab ProX dan
Tuan-tuan dan Puan-Puan semua Ahli ProX yang saya hormati,

Terlebih dahulu syukur ke hadrat ALLah SWT kerana dengan seizinNya dapat kita menjayakan Liga ProX Musim ke 4 dengan jayanya hingga ke akhir musim.

Sebagai Pengerusi yang dilantik oleh tuan/puan walaupun sebenarnya jauh di sudut hati saya berat untuk menerima jawatan ini tetapi bagi memastikan ProX terus berjaya dengan objektifnya maka saya menerima jawatan ini demi kebaikan Kelab ProX yang kita sayangi.

Mentadbir sebuah Kelab dengan ahli seramai lebih kurang 40 orang bukanlah mudah. Ia memerlukan kerjasama dan komitmen semua ahli dalam memastikan Kelab ini terus berjaya dan bukan sahaja dapat memberikan kebahagiaan malahan kesihatan kepada kita.

Ku sangka hujan hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, rupanya jawatan Pengerusi hanya untuk satu musim sahaja. Nasib baiklah Pengerusi ini cerdik, guruh nun jauh di sana dapat didengari maka payung telah pun disediakan. Apabila orang sudah tidak berkehendak eloknya saya menarik diri sebelum dibuang bagaikan sepah.

Dalam mentadbir sesebuah kelab perlu diingat bahawa siapakah pelanggan kelab kita. Pelanggan harus dijaga, harus diberikan keutamaan, harus diberikan keselesaan kerana tanpa pelanggan mana mungkin Kelab boleh berjaya dengan gemilang dan terbilang.

Dalam hal ini, pelanggan Kelab ProX adalah ahli-ahlinya, dan sebagai Pengerusi saya berharap sangat dan meletakan harapan yang tinggi agar tiada siapa pun di antara ahli yang keluar daripada Kelab ProX kerana pada saya jika ada yang keluar itu merupakan kegagalan saya mentadbir Kelab ProX dengan cekap dan sempurna.

Walaupun kita punya peraturan dan semua ahli perlu mengikuti peraturan sedia ada, sewajarnya mana-mana peraturan yang “silent” di mana boleh kita memberikan sedikit kelonggaran kepada ahli kita supaya mereka merasa selesa dan seronok bermain bowling sebagai satu pasukan dalam Kelab ProX. Perlu diingatkan peraturan yang ada di dalam Kelab kita memanglah baik tetapi dari segi perundangan ianya tidak mempunyai kuat kuasa legislatif.

Dalam kes En. Sofian sebagai contoh, walaupun sebagai Pengerusi saya telah membenarkan beliau untuk membuat “Pre Bowl” sebanyak 3 kali berturut-turut, keputusan ini telah mendapat bantahan AJK. Ini tentunya mengecewakan saya kerana tiada peraturan yang menghalang beliau berbuat demikian. Keputusan saya dibuat atas dasar yang kes beliau “genuine” dan beliau perlu bertugas di Sabah hampir 3 minggu. Apakah rugi bagi kita membenarkan beliau melakukan “Pre Bowl” dan apakah untungnya kita kalau semangat setia kawan yang selama kita bina terjejas dan mungkin runtuh begitu sahaja.

Seharusnya musim ke 4 ini semakin mematangkan cara kita mentadbir Kelab ProX, dengan insiden-insiden yang berlaku antaranya melibatkan En. Yatim juga agar semua ahli berasa selesa dan senang dengan perjalanan Kelab ProX yang kita sertai ini.

Bukan niat saya mahu mengeruhkan keadaan tetapi saya mempunyai prinsip saya sendiri apabila berbicara apatah lagi dalam ucapan-ucapan saya di mana-mana persatuan, kesatuan atau organisasi, prinsip keterbukaan dan ketelusan “transparance” itulah yang saya akan bawa dan bercakap belakang bukan amalan saya.

Terus terang saya katakan peranan yang dimainkan oleh AJK Kelab ProX adalah amat baik dan tanpa AJK tidak mungkin Liga Musim 4 dapat dijayakan dengan hampir sempurna. Cuma bak kata orang Pulau Pinang “mai khabaq kat chek, mana ada umah siap pahat tak bunyi”. Itulah asam garam menjadi AJK asalkan kita tak “over doing”.

Bagi semua ahli-ahli ProX, komitmen yang ditunjukkan oleh tuan/puan amatlah baik dan paling kita telah berjaya mewujudkan satu tali persaudaraan sebagai mana diajar dalam Islam dan lebih menarik lagi kehadiran En. Alan telah menambahkan lagi seri Kelab ProX dengan warna-warna 1Malaysia.

Memetik dari surah Al-Hujarat (49:13) “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAh Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Tuan/puan yang saya hormati, hanya melalui sifat kemanusiaan dan perasaan saling hormati perbezaan di antara kita, dapat menjadikan kita lebih baik dan maju berbanding kekuatan individu.

Nasihat saya kepada AJK tahun 2011, bukan macam saya AJK semusim sahaja adalah begini. Kita di dalam ProX ini ada banyak kepala dan idea. AJK kena jadi pendengar yang terbaik, kalau baik idea yang dilontar kita terima, tapi yang tidak baik kita buang tapi cara kita buang hendaklah cara yang berhemah. Bak kat pepatah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Jangan ibarat mengambil madu dari lebah, lebah dihalau, anaknya dibunuh/diperah bersama madu.

Saya menyusun jari sepuluh, memohon maaf di atas perkataan dan perbuatan saya jika ada yang menyinggung perasaan dan mengganggu emosi dan tentunya saya suka merakamkan jutaan terima kasih pada semua AJK ProX kerana membantu saya melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kerana sumbangan saya jika dinilai daripada KPI jika markahnya 10 saya hanya dapat 5 dan saudara-saudari yang lebih layak mendapat KPI yang markahnya 10 itu.

Akhir kata saya berharap Kelab ProX ini akan terus dapat dikekalkan dan menjadi satu Kelab yang bukan sahaja dapat dicontohi dari segi pencapaiannya tahap kecemerlangan sukan bowlingnya dan tetapi juga sebagai satu Kelab contoh yang mempunyai ahli yang dapat bekerjasama dengan rapat sebagi satu keluarga yang besar.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh. Sekian terima kasih.

Pengerusi ProX Musim 4 : Illya