Selasa, 20 November 2012

DAIFNYA TANAH PERKUBURAN BANDAR TUN HUSSEIN ONN







Penduduk Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) Cheras sebenarnya  bersyukur dan berterima kasih kepada pemaju perumahan Udaland Sdn Bhd kerana melaksanakan tanggungjawab menyediakan tapak bagi Perkuburan Islam BTHO di ketika  tidak ramai pemaju perumahan yang menyediakan kemudahan sebegini.
   
Setelah 15 tahun BTHO dibuka dan dalam kerancakan pembangunan perumahan, pemaju Udaland Sdn Bhd telah pun menyiapkan sebuah masjid BTHO berhampiran kawasan Lake View BTHO. Tentunya kami di BTHO berasa bersyukur di atas kemudahan ibadah ini namun begitu setiap kali berlaku kematian penduduk BTHO akan mula membicarakan soal tanah perkuburan BTHO yang daif.

Tanah Perkuburan BTHO telah mula dibuka dan digunakan pada sekitar tahun 2005 dan sehingga kini dianggarkan sudah terdapat hampir 100 perkuburan dan diuruskan oleh Badan Khairat dan Kematian BTHO.

Tanah perkuburan ini asalnya merupakan tapak pembuangan sisa bahan-bahan binaan dan menurut beberapa penduduk pada asalnya pihak pemaju telah pun membuat kerja-kerja menambak tanah-tanah yang elok setinggi 5 kaki bagi memastikan tanah perkuburan dapat diuruskan dengan baik namun terdapat dakwaan mengatakan bahawa terdapat pihak yang bertanggungjawab telah mencuri tanah-tanah yang ditambak dan ini menyebabkan tapak perkuburan tersebut kembali kepada keadaan asal apabila ia dibuka untuk digunakan.

Kubur yang penuh bahan-bahan sisa bahan-bahan binaan terdiri dari batu, plastik, simen, kayu dan lain-lain bahan buangan sehingga tayar juga ditemui semasa kerja-kerja mengali kubur dibuat. Ini menyebabkan kubur yang digali tidak kelihatan cantik sebaliknya begitu teruk keadaannya dan paling menyedihkan apabila tanah yang bercampur batu-batu sisa bahan binaan ini digunakan semula bagi menimbus jenazah yang dikebumikan.  Keadaan ini menyebabkan saudara-mara dan sahabat handai semati yang hadir semasa pengebumian mula menyangka perkara-perkara yang tidak baik kerana mereka tidak tahu bahawa tanah perkuburan ini sememangnya dipenuhi sisa bahan-bahan binaan.

Kerja-kerja mengali kubur terpaksa pula terpaksa dibuat secara manual apabila bilangan kubur telah bertambah. Ini adalah kerana jika mesin/jentolak digunakan ditakuti boleh menyebabkan berlaku pergerakan tanah pada kubur sedia ada yang bersebelahan disebabkan terdapatnya sisa bahan-bahan binaan seperti batu yang besar.

Bayang betapa sukarnya pengali kubur mengali kubur-kubur ini dan untuk bagi menyediakan satu kubur mengambil masa lebih 5 jam kerana jika terdapat batuan yang besar ia perlu di pecah kecilkan sebelum boleh dibawa keluar. Liang lahad juga sukar dibuat disebabkan perkara yang sama. Keluhan pengali kubur selama hampir 8 tahun hanya diberikan perhatian ketika berlakunya kematian dan selepas itu tiada tindakan diambil dan senyap begitu sahaja.

Selain daripada itu, perkuburan BTHO juga dipenuhi semak samun dan semakin hari semakin tebal semaknya. Pemandangan yang cacat ini adalah disebabkan ketiadaan pengurusan perkuburan BTHO yang sistematik. Walau bagaimanapun kesalahan tidak boleh diletakkan kepada Badan Khairat dan Kematian BTHO kerana penduduk BTHO sebenarnya perlu sama-sama turun padang dan membantu Badan ini.

Sehubungan dengan itu, saya memohon jasa baik pemaju Udaland Sdn Bhd yang telah banyak menyediakan kemudahan untuk kami, agar sekali lagi atas nama Tanggungjawab Korporat Sosial dapat menghantar sekurang-kurangnya 2 lori tanah-tanah elok yang ada  di bukit berhampiran Suakasih milik Udaland ke tanah perkuburan BTHO untuk digunakan bagi kerja-kerja semasa menimbus jenazah.

Untuk jangka panjang selari dengan slogan Rakyat Di Dahulukan, adalah dipohon pihak Kerajaan khususnya Wakil Rakyat dapat turun melihat permasalahan ini dan dengan siapkan Masjid BTHO yang dijangka beroperasi sedikit masa lagi adalah dicadangkan juga pentadbiran Badan Khairat dan Kematian BTHO dapat diletakkan di bawah pengurusan masjid ini agar impian untuk melihat Perkuburan BTHO diuruskan setaraf Perkuburan Bukit Kiara dapat dicapai.


ILLYA SALEHUDIN JAAFAR
SUAKASIH BTHO CHERAS