Ahad, 26 Februari 2012

MAJLIS MAKAN MALAM AROBA 2012







Alhamdullilah saya memanjangkan kesyukuran kehadrat Allah SWT buat pertama kali saya dapat menghadiri Majlis yang diadakan oleh Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Seri Ampang Kuala Lumpur/Selangor (AROBA) pada 25 Feb 2012 jam 8.00 malam yang diadakan di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur.

Melangkah masuk ke Ballroom saya disambut oleh penari-penari dari Pak Ngah Productions. Pak Ngah atau nama sebenarnya Dato' Suhami Mohd Zain merupakan pelajar SSA tahun 1971 hingga 1975. Kemudian saya terus berjumpa Wan Salahuddin (1981-185) yang masih mengekalkan awet mudanya.

Paling menarik saya berjumpa dengan jiran saya di Bandar Tun Hussein Onn (saudara Jamil). Hampir 12 tahun di BTHO tak tahu beliau juga merupakan pelajar SSA. Saya berjumpa juga  dengan beberapa rakan yang bekerja dalam satu bangunan LTAT, pekerja Affin Bank yang merupakan pelajar SSA yang saya juga baru dapat tahu pada malam tersebut merupakan pelajar SSA. 24 tahun kami satu bangunan tapi tak tahu mereka adalah pelajar SSA.

Ternampak meja tahun 1984, jadi saya duduk di situ, malangnya tak ramai rakan saya yang hadir. Batch 1980-1984 yang hadir Tok kadi kita Ustaz Abu Bukhari (terima kasih Ustaz kerana memastikan saya selesa berada di Dewan semalam kerana hampir 20 minit tak kelihatan rakan-rakan dari batch 1980-1984 kecuali Hassan Yusof, Dato’ Baderisham dan Dato’ Adi Munawar.

Berborak lama lah juga saya dengan Baderisham pasal sekolah dan politik dan akhirnya muncul le tak sampai 10  orang rakan-rakan batch 1980 hingga 1984 dalam Majlis makan Malam Aroba. Doa dan harapan saya tahun depan Insyaallah akan diadakan Perayaan 50 Tahun SSA kita dapat hadir beramai-ramai.

Alhamdullilah, saya diberi kesempatan untuk naik ke pentas tapi memandangkan jemputan adalah secara tiba-tiba saya tak sempat untuk menyediakan ucapan atau bual bicara yang menarik. Antara yang sempat saya kongsikan kepada rakan-rakan SSA adalah:

1. Bagaimana bacaan doa bermula di SSA selepas menyanyi lagu Negaraku dan bagaimana bacaan doa juga bermula di Lembaga Tabung Angkatan Tentera selepas lagu Negaraku.  Ianya bermula apabila seorang Cikgu yang bukan Islam ketika itu Encik Peter Paul Nunis mencadangkan kepada Uztaz Borhan (allahyarham) di SSA supaya bacaan doa diadakan pada setiap permulaan perhimpunan sekolah iaitu sebelum lagu Negaraku. Dan apabila saya bekerja di LTAT pada tahun 1988 inilah yang saya kemukakan kepada Mesyuarat Bersama Jabatan dengan menceritakan pengalaman di Sekolah Seri Ampang dan walaupun pada mulanya idea saya ini tak diterima tetapi akhirnya diterima juga dan kekal hingga hari ini. Untuk makluman Encik Peter Paul Nunis akhirnya memeluk Islam sekitar tahun 1980 an dengan nama Encik Mohd Yunus Nunis. Hebat

2. Bagaimana Puan Khamisah Penolong Kanan SSA pada tahu 1984 sebelum bermula acara merentas desa memperlekehkan saya dengan mengatakan awak kalahlah Illya...tak boleh menang punya. Tapi akhirnya saya dapat tempat ke 19 di mana hadiah berupa piala disediakan kepada pemenang tempat 1 hingga 20. Sebaik dapat piala tempat ke 19 saya terus bawa piala ke Puan Kamisah dengan berlagaknya. Puan Khamisah hari ini sudah bergelar Datin Khamisah dan masih kecil moleh macam dulu. Siapa tak lupa Datin yang suka mencubit ngam-ngam kat dada kami.

Malam tersebut juga saya sempat berbual dengan Ketua Pengarah SPRM  Dato’ Sri  Abu Kassim Mohamed yang merupakan bekas pelajar sekolah Ampang 1973-1977. Insyaallah jika ada kesempatan saya ingin bertemu beliau lagi dan paling menarik pemandu beliau juga merupakan pelajar SSA. Katanya bila sebut SSA, ramai yang kata ini sekolah budak nakal tapi kita telah buktikan ramai pelajar SSA mejadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Saya juga sempat berborak dengan Cikgu Ainun yang pernah membawa kami (pustakawan SSA) ke pertandingan debat pustawan antara Sekolah Puteri Titiwangsa di mana SSA menjadi johan dan saya salah seorang daripada pendebatnya.

Ramai rakan dari kalangan warga tentera juga yang bersekolah di SSA dan saya bangga dengan mereka kerana memegang jawatan-jawatan yang tinggi dalam ATM.  Antaranya Kapten Mohd Noorizan Yunus (B) yang memaklumkan jika ada nak buat "event" di Puteri Hotels bolehlah hubungi beliau.

Saya juga sempat berborak kalangan rakan yang terlibat dengan politik antaranya Dato’ Baderisham yang merupakan orang kuat UMNO di Ampang dan melalui risik-risik dengan kawan-kawan beliau punya potensi untuk menjadi calon PRU akan datang. Albert Yeong rakan SSA juga kuat berpolitik melalui Pertubuhan Perhubungan Awam NGO, BN Ampang dan merupakan orang kuat Ong Tee Keat.

Malangnya saya tak sempat berborak dengan saudara Hassan Yusof orang kuat PKR kerana tidak duduk semeja dengan saya. Insyaallah dalam perjumpaan akan datang harap dapat berbual dengan tuan pula.

Isu semasa merangkumi politik dan sosial dapat saya bicarakan melalui perbualan dengan rakan senior Encik Mohd Yussoff Hj Yahya, Operation Director Workline Systems  (Batch 79-83) dan perbincangan ini amat menarik kerana mengupas beberapa isu dan akhirnya sepakat mengatakan betapa walaupun kita ini budak-budak nakal SSA tapi kita telah jadi insan berguna pada masyarakat dan negara Malaysia.

Perjalanan keluar dari hotel ke parkir di Basement 1 saya sempat berbual dengan Cikgu Disiplin kami Cikgu Othman Kassim dan beliau hari ini lebih ceria orangnya dan katanya umurnya dah 59 tahun. Alhamdullilah beliau nampaknya begitu sihat dan bercakap pasal disiplin saya katakan pada beliau kalau dulu Cikgu rotan kami ...pastikan (confirm) balik kami tak bagi tahu ayah kami sebab kalau di bagi tahu kami kena rotan dengan ayah kami tapi hari ini sebaliknya. Kalau cikgu rotan anak murid risiko besarnya cikgu pulak kena rotan dengan bapa murid. Kami bersetuju cara dahulu lebih baik dari sekarang di mana terbukti ramai pelajar SSA tahun 1980 an dan ke bawah ternyata tinggi disiplinnya.

Rabu, 15 Februari 2012

UDIN SEDUNIA

Dulu masa kecik aku dipanggil UDIN...... Sebut sahaja UDIN BEREMBANG, satu kampung Berembang kenal.

Rupannya sekarang nama Udin sudah terkenal di Indonesia dan dunia. Tak sangka pulak aku. saksikan video di bawah



http://youtu.be/l3jGfeH0HE4

Khamis, 9 Februari 2012

AMANAH TAHUN BARU 2012 TAN SRI KETUA EKSEKUTIF LTAT



PETIKAN SEBAHAGIAN
OLEH YBHG. TAN SRI DATO’ LODIN BIN WOK KAMARUDDIN
KETUA EKSEKUTIF LTAT


DI DEWAN LTAT PADA 9 JANUARI 2012 (Isnin), JAM 8.45 PAGI


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, ASSALAMUALAIKUM WBT & SALAM SEJAHTERA

PENCAPAIAN KPI UTAMA

Saudara saudari sekalian,

Bagi tahun 2011 LTAT telah dapat mencapai sebahagian besar KPI utamanya iaitu:

        Kadar Dividen dan Bonus kepada pencarum menepati sasaran 15%;

        Pulangan atas pelaburan (ROI) 11.7 % berbanding sasaran 9.5 %;

        Mencapai Indeks kepuasan pelanggan 94.6% berbanding sasaran 90%;

        Memproses 100% pengeluaran caruman biasa, hilang upaya dan Khairat Kematian tidak melebihi 24 jam;

        Memproses 100% pengeluaran perumahan tidak melebihi 24 jam;

        Berusaha mendapatkan Sijil Audit Bersih Audit Negara (dalam proses); dan tahun lepas iaitu bagi Akaun 2010, kita telah dapat mengekalkan pencapaian 10 tahun sebelumnya,

        Mencapai nisbah kos kepada pendapatan 4.8% iaitu mencapai sasaran tidak melebihi 5.0%.

Di masa akan datang LTAT bercadang untuk mempertingkatkan sistem penyampaian kepada pencarum dengan sasaran untuk membuat pembayaran ‘on the spot’.

Dalam tahun 2011, LTAT terus berusaha meningkatkan sistem pengurusan operasinya melalui amalan pengurusan berkualiti. LTAT telah berjaya mengekalkan persijilan bagi kedua-dua standard ISO yang diperolehi iaitu standard ISO 9001:2008 dan standard ISO/IEC 20000-1:2005. Kita juga telah berjaya mengekalkan persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti atau 5S daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 14 Sept 2011. Saya berharap pencapaian ini bukan setakat persijilan tetapi yang lebih penting adalah diamalkan dan terus ditambahbaik supaya kita mendapat faedah daripada amalan-amalan ini.

Syabas diucapkan kerana kita telah menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2010 dengan penarafan 4 Bintang daripada Jabatan Audit Negara. Kita diletakkan di tempat kedua selepas KWSP. Diharap di masa hadapan kita akan lebih maju lagi.

Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada semua warga LTAT.

Saudara saudari sekalian,

LTAT telah menyedia serta melaksanakan pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan bagi meningkatkan motivasi kerja serta produktiviti. Bagi tahun 2011 ini, LTAT telah membayar 4 bulan bonus kepada pegawai dan kakitangan. Pembayaran ini seharusnya disyukuri dan menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti. Mudah-mudahan ia akan membantu warga LTAT dalam menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat dan dapat menghindar diri dari terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah. Bagi pembayaran tahun 2012, pihak Kementerian Pertahanan belum memberi keputusan lagi tapi insyaallah dengan pencapaian tahun 2011 yang baik ini bonus sebanyak 4 bulan akan dibayar selaras dengan permohonan yang dibuat oleh KKLTAT kepada LTAT.

Saya telah mengarahkan semua jabatan untuk mengkaji semula prosedur kerja (SOP) masing-masing bagi memantapkan kawalan operasi. Semua kakitangan adalah diwajibkan mematuhi semua prosedur dengan rapi dan menjadikan pematuhan kepada SOP sebagai satu budaya kerja. Terima kasih juga diucapkan kepada wakil MBJ dan KKLTAT yang telah memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan hubungan yang harmoni di antara pegawai/kakitangan dengan pihak pengurusan LTAT.

Dalam keadaan senario ekonomi semasa negara dan global yang semakin mencabar, kita menghadapi cabaran berat untuk mengekalkan prestasi yang cemerlang. Oleh itu kita perlu terus menggandakan usaha dan menyusun langkah dan strategi dengan tepat. Kita tidak boleh leka dengan kejayaan yang diperoleh sebaliknya perlu sentiasa peka dan serius terhadap perubahan dasar dan perkembangan semasa ekonomi negara, serantau dan global di dalam merangka aktiviti-aktiviti pelaburan, menyemak semula strategi, tahap risiko dan membuat pemantauan yang rapi terhadap portfolio pelaburan, selain terus mengenal pasti peluang-peluang yang ada di pasaran.

Di samping itu, kita perlu terus menyokong sepenuhnya inisiatif-inisiatif di bawah program transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menjadikan syarikat-syarikat LTAT berprestasi tinggi dan terus berdaya saing.

Saudara saudari sekalian,

Secara keseluruhannya saya amat berpuashati dengan prestasi semua jabatan yang telah dapat dilihat daripada laporan pencapaian KPI masing-masing.

Walau bagaimanapun saya menyeru semua jabatan supaya terus melipatgandakan usaha, meningkatkan produktiviti dan beroperasi dengan mematuhi dengan rapi prosedur kerja yang telah diwujudkan.

Pengurusan Pelaburan

Jabatan Pelaburan misalnya walaupun telah berusaha keras untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi tetapi perlu terus memantapkan operasinya dengan meningkatkan susulan pelaburan dan proses penilaian pelaburan untuk mengelakkan kesilapan membuat keputusan yang merugikan. Jabatan ini juga perlu menyemak semula portfolio pelaburan LTAT dari masa ke semasa bagi mendapat pulangan pelaburan yang maksimum. Pegawai-pegawai pelaburan perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran meliputi proses mengenal pasti risiko pelaburan perlu dibuat dengan lebih mendalam supaya semua risiko dapat ditangani. Bahagian Sekuriti pula diminta memantau dengan rapi perkembangan pasaran saham dan meraih keuntungan sebaik mungkin dari prestasi pasaran saham tersebut. Saya berharap semua pegawai-pegawai pelaburan berusaha lebih keras lagi untuk membuat kajian syarikat-syarikat yang berpotensi yang boleh memberi pulangan kepada LTAT agar mencapai pulangan yang disasarkan.

Pengurusan Pelanggan

LTAT melalui Jabatan Hal Ehwal Korporat Dan Pelanggan sentiasa komited untuk melaksanakan perkhidmatan yang terbaik kepada pencarumnya seperti:

Memastikan pembayaran balik wang caruman berhenti dan mengikut sasaran dalam tempoh 24 jam;

Mengadakan program Taklimat dan program Sehari Bersama Pelanggan di unit-unit tentera di seluruh Malaysia melebihi sasaran. Saya berharap Jabatan ini akan terus mengadakan taklimat di kem-kem tentera bagi mendapatkan maklum balas daripada pencarum.;

Mengumpul 24,641 Borang Kaji Selidik Kepuasan Pelanggan berbanding sasaran 15,000 dengan mencapai Indeks Kepuasan Pelanggan 94.6% berbanding sasaran 90% bagi tahun 2011;

Sehingga kini, sebanyak 77 e-kiosk telah ditempatkan di kem-kem tentera seluruh negara, manakala seramai 450,640 orang pencarum telah menggunakan perkhidmatan e-kiosk.

Walau bagaimanapun saya suka menyeru Jabatan ini dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan juga untuk terus memberi perkhidmatan dan membantu pencarum kita dengan jujur dan ikhlas. Tanpa mereka, kita tidak akan berada di LTAT.


Pengurusan Laporan Kewangan

Alhamdulillah, bagi Laporan Kewangan Tahun 2010, kita telah mendapat Sijil Audit bersih untuk kali ke 11 berturut-turut. Syabas dan Tahniah kepada Jabatan Kewangan di bawah kepimpinan Puan Muslemah serta pegawai dan kakitangannya yang telah menyediakan Penyata Kewangan LTAT dan Kumpulan mengikut sasaran dan saya berharap pencapaian ini mesti diteruskan. Saya berharap bagi tahun ini, proses ini dapat dipertingkatkan lagi, seawal bulan Februari. Kerjasama antara JAD dan Kewangan adalah kukuh di mana selalu adanya perbincangan. Diharap budaya ini diteruskan supaya kita tidak dapat teguran daripada Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Audit Bersih.

Bagi tahun 2011 pula akaun kita telahpun disediakan dengan mematuhi keperluan ‘Financial Reporting Standard’ FRS 139 dan saya berharap ini disediakan dengan teratur dan memuaskan.

Kita juga meneruskan pelaksanaan pembayaran zakat perniagaan LTAT bagi tahun 2011 dikira mengikut kaedah alternatif berdasarkan jumlah tunai dan baki bank pada 31 Disember 2010. Sehubungan ini, LTAT telah membuat bayaran zakat berjumlah RM2.042 juta iaitu sebanyak RM1.0 juta kepada Tabung Zakat ATM dan sebanyak RM1.042 juta kepada PPZ MAIWP. Semoga pelaksanaan ini dapat menyumbang lebih lagi kepada keberkatan dan peningkatan pulangan pelaburan LTAT.

Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran Pejabat.

Jabatan Tenaga Manusia dan Pentadbiran pula diminta meningkatkan lagi kawalan pengurusan perolehan dan penyenggaraan aset dan mematuhi dengan teliti prosedur ditetapkan. Selain itu jabatan ini diminta meneruskan program pembangunan sumber manusia melalui penyediaan kursus-kursus yang sesuai dan menjaga kebajikan kakitangan LTAT seperti skim perkhidmatan, kemudahan perubatan dan klinik dan sebagainya. Alhamdulillah, kita telah dapat memperoleh pelbagai kejayaan hasil daripada persefahaman di antara MBJ, KKLTAT dan pihak Pengurusan dan segala masalah dapat diatasi melalui perundingan. Bersyukur kepada Allah swt juga segala permohonan yang dihantar kepada Kementerian Pertahanan seperti Skim perkhimatan LTAT mendapat sokongan baik daripada Kementerian.

Pemeriksaan dan Pengauditan

Bagi tahun 2011, Jabatan Audit Dalaman (JAD) telah berusaha melaksanakan kawalan dalaman secara teratur dengan menjalankan pengauditan dan pemeriksaan susulan secara berkesan. Saya suka menyeru jabatan ini meneruskan usaha-usaha ini untuk meliputi semua aspek operasi di LTAT dan juga perbadanan-perbadanan LTAT dan memberi maklum balas dan cadangan penambahbaikan kepada Pengurusan dan juga Jawatankuasa Audit LTAT. Tujuan JAD bukan semata-mata mengenalpasti kesalahan. Ia lebih kepada memperbaiki dan meningkatkan prestasi dan menggelakkan kita daripada tidak mematuhi peraturan. Not to punish but to improve our effectiveness and efficiencies. Ingat, bila kita buat kesilapan/menyalahguna kuasa dalam pengendalian stok atau dalam mentadbir keuntungan ianya mungkin akan menjejaskan imej kita. Ini turut meningkatkan kos serta membazir masa. Imej dan kredibiliti kita juga terjejas. Saya berharap semua Jabatan dapat memberi sokongan yang penuh kepada Jabatan Audit Dalaman kerana peranan JAD adalah untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan supaya kredibiliti dan imej LTAT tidak terjejas.

Peranan Teknologi Maklumat

Peranan IT atau teknologi maklumat adalah penting dalam peningkatan operasi LTAT dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pencarum. Selaras dengan itu saya ingin melihat peranan IT yang lebih ketara dalam operasi LTAT khasnya membantu proses membuat keputusan dan peningkatan perkhidmatan kepada pencarum. Walau bagaimanapun saya suka mengucapkan syabas khasnya kepada JPTM di atas usaha-usaha yang dilaksanakan termasuk mengekalkan persijilan ISO 20000 – Penyediaan Perkhidmatan Teknologi Maklumat di mana LTAT merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang mempunyai persijilan ini dan menyeru semua warga LTAT menggunakan kemudahan IT sebaik mungkin. We cannot run away from IT, tetapi kita perlu menguasai kemahiran di dalam IT. In future, we can work at home or anywhere. If we are not up to date, we will be left behind. Mustahak kita menguasai IT supaya tidak ketinggalan. Latihan dalam IT akan kita pertingkatkan sebanyak yang boleh dalam meningkatkan kemahiran IT.

Perancangan Strategik dan Pelaksanaan Kualiti

Jabatan PSPK sebagai penyelaras penyediaan perancangan strategik di LTAT, perlu memastikan intipati dan sasaran perancangan-perancangan dan hala tuju LTAT difahami oleh semua warga LTAT agar semua perancangan akan menjadi kenyataan. Secara umumnya perancangan ini mensasarkan jumlah pendapatan yang mencukupi untuk kita membiayai operasi dan membayar kadar dividen kepada pencarum. Oleh itu kadar Pulangan Pelaburan atau ROI disasarkan sekurang-kurangnya 9% setahun dan kos operasi tidak melebihi 6% jumlah pendapatan.

Jabatan ini perlu meningkatkan kemahiran dan pengurusan mereka di dalam bidang Strategic Planning. Di peringkat korporat, Strategic Planning plays an important role yang mana satu bidang yang sebahagiannya timbul daripada pengalaman kita, sebahagian lagi adalah apa yang berlaku di sekeliling kita. Ilmu yang diperolehi semasa zaman kita belajar dahulu adalah berbeza dengan zaman kini. Kita perlu mengetahui perkembangan semasa dalam bidang strategic planning kerana dunia kini berkembang dengan pesat sekali. We must improve ourself, continue to read, we must continue to update ourselve. Kita perlu banyakkan membaca bahan-bahan penting yang akan meningkatkan knowledge kita. Keep abreast with the latest development. Paling busuk, bacalah majalah Business Time ataupun Economist. Kita bukan perlu capai sasaran tetapi kita perlu capai dengan tahap yang kualitinya tinggi.

Selain daripada itu Jabatan PSPK dipertanggungjawabkan untuk memastikan pelaksanaan kualiti dilaksanakan dalam semua aspek operasi dan ia perlu dibudayakan di kalangan warga LTAT serta menyediakan maklumat korporat. Saya percaya usaha ini telah dilaksanakan dengan baik dan bersungguh-sungguh oleh semua pihak sehingga dapat mengekalkan persijilan-persijilan  ISO 9001:2008 dan ISO 20000 serta Pengurusan Persekitaran Berkualiti 5S.


Pengurusan Risiko

Jabatan Pengurusan Risiko (JPR) pula terus memainkan peranan dalam usaha meningkatkan dan mewujudkan budaya dan amalan tadbir urus korporat yang cemerlang di LTAT.

Di bawah code of good corporate governance, syarikat-syarikat perlu melantik lebih banyak Independent Director daripada Director untuk mewakili pelabur bagi memastikan pentadbiran satu-satu syarikat ditakbir dengan baik tanpa berat sebelah. Sekiranya satu-satu syarikat diwakili lebih banyak Director daripada Independent Director, mungkin ada pelakuan berat sebelah dalam membuat keputusan. JPR perlu memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja pelaksanaan pentadbiran dalam syarikat-syarikat pelaburan LTAT perlu mengikut/mematuhi peraturan tetapi kita juga perlu mengambil kira risiko yang terlibat seperti bagaimana kita boleh meminimumkan risiko, apa tindakan yang patut kita ambil daripadanya supaya pelaburan tidak terjejas dan memastikan pulangan pelaburan dapat dicapai seperti yang diharapkan.

Sistem Pengurusan Risiko telah diperkemas supaya semua aspek risiko dalam pentadbiran, pengurusan akaun caruman ahli, kewangan, pelaburan dan teknologi maklumat diambil kira dalam proses membuat keputusan.

Jabatan ini akan terus memainkan peranan aktif dalam memantau pencapaian KPI korporat dan jabatan.

Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih di atas segala sokongan, kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pegawai/kakitangan Jabatan-jabatan di LTAT dalam memastikan LTAT dapat melaksanakan operasinya dengan baik dan teratur dan mengikut keperluan-keperluan urus tadbir Korporat yang terbaik.

Saya sangat bersyukur kita dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pencarum kita. Walaupun LTAT memberi penekanan kepada prestasi keuntungan, namun LTAT tidak mengabaikan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyediakan pelbagai faedah termasuk melalui Yayasan warisan Perajurit.

Saudara saudari sekalian,

Bagi tahun 2012 ini, saya suka menggariskan beberapa matlamat yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pengarah LTAT yang perlu dicapai seperti berikut:-

1.   Mencapai 7 KPI utama LTAT

2.   Selain dari KPI di atas, sasaran pendapatan kita pada tahun 2012 adalah sebanyak RM840.0 juta. Saya rasa sasaran ini dapat dicapai memandangkan tahun 2011 kita telah melepasi sasaran pendapatan di dalam Pelan Perancangan Strategik sebanyak RM760.0 juta dengan pencapaian sebenar berjumlah RM857.0 juta.

3.   Meneruskan agenda kualiti dengan mengekalkan persijilan persijilan ISO 9001:2008, ISO/IEC 20000-1:2005 dan Amalan Persekitaran Berkualiti atau Amalan 5S. Saya berharap kita bukan sekadar mendapatkan persijilan tetapi yang lebih penting bagaimana kita melaksanakan dengan berkesan piawaian ini bagi memberikan sistem penyampaian perkhidmatan yang bermutu dan sebaik-baiknya.

4.   Mengemas kini prosedur operasi dan pengurusan kita dari masa ke semasa termasuk Fail Meja masing-masing.

5.   Memantapkan amalan integriti di LTAT dengan melaksanakan amalan Urus Tadbir Korporat yang terbaik, mengadakan Penyata Kawalan Dalaman yang mencukupi dan menyediakan pegawai/kakitangan yang kompeten. Kita perlu ingat sebagai sebuah badan amanah, LTAT mesti melaksanakan operasinya secara berintegriti dan mematuhi tadbir urus korporat yang terbaik.

6.   Melaksanakan program inovasi dan kreativiti dalam usaha menambahbaik kualiti perkhidmatan kepada pencarum. Ini adalah selaras dengan arahan kerajaan untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti.

Saya juga menyeru pegawai/kakitangan LTAT tidak lalai dengan pencapaian yang diperolehi dan terus berusaha dengan lebih kuat lagi untuk meningkatkan prestasi masing-masing dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran melalui kursus-kursus yang relevan.

Pihak Pengurusan juga senantiasa mengambil berat hal-hal kebajikan pegawai/kakitangan LTAT. Saya percaya dengan adanya skim perkhidmatan yang baik, bonus tahunan yang agak tinggi, suasana tempat kerja yang selesa, di mana bangunan LTAT telah pun dinaikkan taraf dari segi kemudahan dan keselamatan, semua pegawai/kakitangan LTAT perlu dan harus memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

Saya ingin menyeru kita semua sebagai warga LTAT supaya mengamalkan nilai kerja yang bermutu tinggi, inovatif dan kreatif, proaktif dan terus memberi komitmen yang jitu sebagai satu pasukan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Ketua-ketua jabatan mestilah ‘walk the talk’. Tugasan yang diagihkan perlulah diawasi. ‘Be a little bit hands on and don’t over delegate.’

Kita telah berusaha gigih untuk mencapai ke tahap kecemerlangan pada masa ini. Oleh itu marilah kita sama-sama mengekalkannya, malah jangan sekali-kali mencacatkannya. Bekerjalah dengan amanah dan mematuhi segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan supaya dapat meningkatkan lagi sumbangan bakti kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Saudara saudari sekalian,

Di sini saya ingin mengenengahkan kejayaan seorang Warga LTAT dalam menyumbangkan peranannya dalam mengharumkan nama LTAT malah nama Negara dan menyeru Warga LTAT mengambil contoh dan iktibar dari kejayaan beliau. Beliau yang saya maksudkan ialah En Abdul Rahman Kutty yang merupakan kakitangan LTAT yang pertama dipilih mewakili Negara dalam bidang sukan iaitu sukan bowling. Beliau bukan sahaja memikul tanggungjawab yang diamanahkan negara malah berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam 6th Asean Para Games Indonesia 2011 di Solo 12-22 Disember yang lalu. Apa yang boleh dipelajari dari kejayaan ini ialah keazaman dan usaha boleh mengatasi halangan dalam mencapai sesuatu kejayaan. Seterusnya kejayaan beliau juga membuktikan bahawa tanpa mengira di mana kita berada dan keadaan kita, kita sebenarnya boleh menyumbang kepada kejayaan organisasi malah negara. Semangat dan kualiti diri ini perlu disematkan dalam diri setiap Warga LTAT. Jadi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Encik Abdul Rahman di atas kejayaan yang beliau capai.

Saudara saudari sekalian,

Kita tinggalkan tahun 2011 dengan penuh kenangan dan pencapaian yang cemerlang. Semoga kejayaan ini akan memperkuatkan lagi keazaman dan semangat kita semua untuk meneruskan Visi dan Misi LTAT demi untuk meningkatkan pencapaian yang lebih cemerlang pada tahun 2012 ini dan tahun-tahun seterusnya, insyaallah.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua dan Selamat Tahun Baru Cina kepada warga LTAT yang berketurunan Cina. Semoga kita bekerja dengan lebih kuat untuk diri sendiri, keluarga dan LTAT. Selamat Maju Jaya kepada semua.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.