Selasa, 19 Julai 2011

4 REMAJA DITAHAN KERANA MEROMPAK DI BANDAR TUN HUSSEIN ONN

Warga BTHO baik yang tinggal di Suasana, Suadamai, Suakasih, Primaya, Arca, Avenue dan kawasan sekitaran tentunya sejak kebelakangan ini agak gusar dan kurang selesa akibat berlakunya banyak kejadian pecah rumah, kecurian kasut dan paling dibimbangkan rompakan bersenjata.

Kes Pak Guard ditetak dilaporkan berlaku pada 13 Julai, kejadian rompakan di Arca, di Suadamai dan Suakasih semuanya baru kita dengar berlaku. Isu sama ada atau tidak sesuatu kawasan itu ada pengawal keselamatan tidak lagi relevan. Semua kawasan telah dibolosi.

Dalam pada kita rasa semacam perkara ini akan reda tiba-tiba surat khabar Utusan Malaysia dan Kosmo pada 17 Julai 2011 melaporkan berita lebih mengemparkan.
Empat remaja lelaki, dua daripadanya masih bersekolah merompak barang berharga dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM50,000 dari sebuah rumah dua tingkat di Bandar Tun Hussien Onn.

Paling tak disangka kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 petang bukannya pada waktu puncak merompak di BTHO iaitu lewat pagi (3 hingga 5 pagi), tengah hari pada hari bekerja (10 pagi hingga 2 petang) di kala kita semua di BTHO alpa melayan perlawanan bola sepak Malaysia melawan Liverpool. Tergamam juga kita tengok pasukan ini boleh jaringkan gol bertaraf “Word Class”.

Rumah yang dirompak pula dilaporkan mangsa tiada di rumah kerana keluar bersama keluarganya menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Liverpool dan Malaysia di Stadium dan tinggallah pembantu rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab, suspek dipercayai mengetahui selok belok kediaman mangsa yang ketika itu dijaga oleh seorang pembantu rumah wanita berusia 41 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 20 tahun dikatakan memasuki rumah mangsa melalui pintu tepi. “Mereka kemudian mengacukan sebilah pedang samurai ke arah pembantu rumah itu sebelum mengikat tangan serta mulutnya dengan tuala. Kumpulan remaja penjenayah itu kemudian menggeledah rumah itu dan mengambil beberapa barangan berharga milik mangsa.

“Antara barangan yang dilarikan adalah dua unit komputer riba, komputer tablet iPad, wang tunai dan beberapa unit telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM50 ribu.

Kenyataan pihak polis lebih mengemparkan apabila dimaklumkan dua daripada suspek merupakan pelajar sekolah menengah, manakala masing-masing seorang penuntut kolej dan penganggur itu melarikan diri dengan menaiki motosikal. Mereka semua (suspek) telah pun ditahan dalam operasi berasingan yang berakhir pukul 2.30 pagi ini di sekitar Kajang.

Hasil pemeriksaan pihak polis tela menemui semula barangan rompakan dan peralatan untuk melakukan jenayah itu termasuk sebilah pedang samurai dan pemutar skru.
Dengan tertangkapnya suspek, mungkinkah masalah rompakan bersenjata, kes kecurian kasut yang berleluasa selama ini di BTHO akan berkurangan atau tiada. Kita harap dan berdoa begitulah tetapi kita di BTHO dalam masa yang sama perlu meningkatkan tali persahabatan antara jiran tanpa mengira bangsa dan memberi sokongan kepada Jawatankuasa Penduduk dalam usaha memperketat kawalan keselamatan dengan membayar yuran yang ditetapkan.

Kita sering menuding jari kepada pengawal keselamatan atau Jawatankuasa Penduduk bila berlaku kecurian tetapi kita juga kadangkala lupa bahawa bilangan Pak Guard yang bekerja adalah kurang disebabkan Jawatankuasa Penduduk hanya mampu mengadakan bilangan seminimum itu akibat kutipan wang rendah. Mana mungkin 2 atau 3 sahaja Pak Guard bertugas boleh mengawal 390 rumah dalam satu-satu kawasan pada sebelah malam tetapi jika pendapatan pembayaran keselamatan adalah tinggi, lebih Pak Guard dapat diupah maka pastinya kawalan keselamatan dapat diperbaiki.
Adalah diharapkan BTHO akan dapat kekal sebagai sebuah bandar yang aman dan tenteram selaras dengan hasrat melihat BTHO menjadi bandar hari ini untuk masa depan yang lebih tenteram dan selesa.

Rabu, 6 Julai 2011

ZON AEE SUAKASIH BTHO – DISEBALIK MUSIBAH YANG MELANDA

Kejadian rompakan bersenjata yang berlaku pada subuh 29 Jun 2011 benar-benar menimbulkan kesan trauma bukan sahaja pada mangsa yang terlibat tetapi kepada seluruh warga AEE Suakasih BTHO.

Menurut maklumat yang ada, ini merupakan kejadian yang pertama berlaku dalam tempoh 8 tahun sejak AEE diduduki dan kita juga bersyukur kerana walaupun mangsa diikat tetapi tiada kecederaan yang berlaku. Mangsa juga dikatakan baru berpindah masuk ke Zon AEE ini pada 1 Mei 2011. Menurut pihak polis pada malam yang sama turut berlaku rompakan yang sama di kawasan elit Arca, BTHO dan pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian ini boleh berulang dalam masa terdekat.

Atas nasihat dan maklumat yang pihak polis berikan, penduduk Zon AEE telah mengambil drastik dengan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari yang sama 29 Jun 2011 jam 10.45 sebaik sahaja perlawanan bola sepak di antara Malaysia dan Taiwan tamat.

Kehadiran sekitar 100 orang daripada jumlah rumah sebanyak 390 di Zon AEE menggambarkan betapa penduduk mengambil berat masalah ini dan tentunya pergantungan semata-mata kepada pihak “security guard” bagi keselamatan kawasan AEE sebelum ini bertukar kepada satu kerjasama erat antara penduduk dengan jawatankuasa penduduk (sementara) yang merupakan pihak yang menguruskan pengawal keselamatan.

Kalau selama ini En. Nasir bergerak macam seorang diri dan hanya dibantu oleh mantan pengerusi Haji Resul dan AJK lain seperti En. Hashim dan En. Abdullah maka mesyuarat malam tersebut sebenarnya dapat mengurangkan bebanan En. Nasir terutamanya.

Alhamdulillah, mesyuarat tersebut telah berjaya:-
 Mendapatkan kerjasama majoriti penduduk untuk mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan tahap keselamatan kawasan seperti memasang lampu depan dan belakang rumah pada waktu malam.
 Mendapatkan pandangan bernas ke atas peningkatan tanggungjawab pengawal keselamatan antaranya memastikan palang jalan utama ditutup pada waktu malam dan hanya dibuka jika pengguna telah dipastikan adalah penduduk AEE.
 Merapatkan tali silaturahim antara penduduk AEE dengan penduduk yang baru seperti penduduk baru di kawasan Zon 5A (32 unit rumah).
 Mewujudkan semula dan melantik Ketua-Ketua Jalan yang bertanggungjawab membantu kutipan bayaran bulanan dan menjadi penghubung antara AJK dengan penduduk dalam perkara berkaitan AEE Suakasih.
 Beberapa penduduk telah sukarela menawarkan diri untuk meronda sebelah malam.

Lanjutan dengan adanya wakil atau Ketua-ketua Jalan satu mesyuarat telah diadakan pada hari Sabtu malam yang lepas 2 Julai 2011 dan dalam mesyuarat tersebut telah dipersetujui lantikan beberapa AJK Sementara melibatkan jawatan Timbalan Pengerusi Sementara, Setiausaha Sementara dan Bendahari Sementara.

Mesyuarat juga bersetuju untuk mengusahakan pemasangan pagar-pagar di kawasan yang masih belum berpagar dan membaiki pagar yang dibolosi oleh perompak tempo hari. Sekiranya kutipan dapat dipertingkatkan bilangan pengawal keselamatan akan dapat ditambah seiring dengan tambahan pos guard di kawasan yang akan dikenal pasti kemudian.

Dan menariknya bagi memupuk semangat perpaduan dan kekitaan antara penduduk, satu cadangan gotong-royong perdana antara penduduk dirancang. Alhamdulillah gotong-royong perdana ini bakal diadakan dalam suasana kita penuh bersemangat untuk menjayakannya pada hari Ahad ini, 10 Julai 2011 jam 9 pagi bertempat di Pos Pengawal Pintu Utama AEE.

Semangat untuk bergotong royong ini ternampak dengan jelas dengan adanya penduduk seperti En. Rohaizat, Zurina Hussein, Astuty Amrin, Cindai-Cindai yang telah menyatakan untuk memberikan sumbangan antaranya air mineral, mihun goreng, kuih tepung talam dan karipap (hantu makcik Karipap tentu suka).

Saya juga tertarik dengan nasihat En. Fadzli Husain melalui AEE yahoo group yang meminta kita untuk buat solat tahajud untuk mengelakkan daripada bala bencana.
Dan dalam berbicara soal kawalan keselamatan, isu kutipan wang yang merosot tentunya juga menjadi agenda utama. Bayangkan daripada 390 unit rumah yang ada kurang 40% yang membuat bayaran. Inilah yang menyebabkan bayaran security guard tidak dapat dikurangkan daripada RM50 kepada RM30 sebulan. Sekiranya semua penduduk membuat komitmen bayaran saya percaya bayaran bulanan ini boleh dikurangkan.

Untuk permulaan semula, dengan adanya AJK Jalan, adalah diharapkan kutipan dan dapat dipertingkatkan kerana jika sumbangan wang ini dapat ditingkatkan tentunya ada lebihan ke atas bayaran kawalan keselamatan dan lebihan ini boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan seperti mewujudkan CCTV.

Untuk makluman sekiranya bayaran kawalan keselamatan ingin dibayar menerusi perbankan internet atau mesin ATM, Akaun AEE yang didaftarkan dan penandatangan dibenarkan (Resul, Hashim dan Abdullah) adalah di Public Bank (no akaun 3996413115) dan salinan slip pembayaran boleh diserahkan pada wakil jalan atau pos pengawal dengan mengisi nama tuan/puan sebagai bukti bayaran kawalan keselamatan.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, semoga gotong-royong perdana ini menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan, saling kenal mengenali antara jiran dan meningkat ukhuwah antara kita sesama umat manusia.

JUMPA DI GOTONG-ROYONG PERDANA AHAD INI, 10 JULAI 2011 JAM 9.00 DI POS UTAMA AEE SUAKASIH.