Khamis, 1 Mac 2012

NAJIB TUNAI JANJI TUTUP TOL BATU 9, 11

Diterbitkan di Ruangan Forum mukasurat N7 Berita Harian Isnin 5 Mac 2012

2 Ogos 2011 Berita Harian di ruangan Surat menyiarkan artikel saya “Kesesakan Susur Masuk Jalan BTHO Cheras” yang disebabkan pembukaan jalan pintas bagi kemudahan penduduk Bandar Mahkota Cheras dan sekali lagi diruangan surat pada 23 Ogos 2011 dengan artikel "Syor Tutup Tol Batu 11 Bukti PM Prihatin" pula disiarkan.

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada ketika itu telah meminta Kementerian Kerja Raya mengkaji kemungkinan memansuhkan satu daripada dua tol di Lebuh Raya Cheras-Kajang di Hulu Langat berikutan permohonan ADUN Semenyih kerana penduduk sekitar cukup terbeban apabila perlu membayar dua tol kendalian syarikat konsesi Grand Saga Tol Sdn Bhd, yang masing-masing pada kadar RM0.90 dan RM1.00 dalam jarak dua kilometer merupakan satu langkah yang bijak.

Kini dalam masa 6 bulan sahaja, YAB Perdana Menteri telah mengotakan janjinya yang sungguh manis dan bermakna buat kami, bukan sahaja di Bandar Tun Hussein Onn dan Cheras Perdana tetapi ianya melibatkan seluruh penduduk dari kawasan Hulu Langat hingga ke Kajang. Tindakan bijak Perdana Menteri yang berkonsepkan "Menang-Menang" merupakan bukti Kerajaan menjaga kebajikan bukan sahaja  pengguna Lebuhraya malahan untuk syarikat konsesi Grand Saga Tol Sdn Bhd  tanpa melupakan kebajikan kakitangannya.

YAB Perdana Menteri telah mengambil satu langkah yang bijak kerana dengan menutup tol batu 9 arah Kuala Lumpur, dijangka dapat meleraikan sedikit sebanyak kesesakan teruk di waktu pagi dan tindakan menutup tol batu 11 arah Kajang dijangka dapat meleraikan pula kesesakan teruk jalan masuk ke BTHO, Cheras Perdana dan Bandar Mahkota Cheras pada sebelah petang. Dan yang paling penting tindakan meringankan bebanan bayaran tol pada masyarakat majmuk di kawasan ini merupakan hadiah terbaik Perdana Menteri kepada masyarakat berbilang bangsa di kawasan ini.

Tepat 12 malam saya sendiri berada di Tol Batu 11 dan bergegas pula ke Tol Batu 9, 10 minit kemudiannya bagi menyaksikan betapa seluruh lapisan masyarakat melahirkan rasa gembira dan penghargaan serta ucapan terima kasih buat YAB Dato Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia.

Saya suka merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat Perdana Menteri kerana menceriakan kami dengan janji-janji yang dikotakan.

ILLYA SALEHUDIN JAAFAR
BTHO Suakasih Cheras

1 ulasan: