Selasa, 20 Mac 2012

WUJUD PUSAT JAGAAN 1MALAYSIA (PJ1M) ATASI MASALAH AMAH

 Diterbitkan di Ruangan Forum mukasurat N7 Berita Harian Isnin 26 Mac 2012

Saya berperndapat sudah tiba masanya Kerajaan mencari jalan yang terbaik bagi mengurangkan kebergantungan ini. Kerajaan mungkin boleh menambahkan satu lagi teras dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menjadikan ia teras ke tujuh iaitu “Pengurangan Pergantungan Terhadap Pembantu Rumah Asing” dan ianya diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Hari ini di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib, banyak perubahan telah dibuat atas nama 1Malaysia. Kedai Barangan 1Malaysia, BR1M, Klinik 1Malaysia antara yang sinonim dengan kita sekarang. Mengapa tidak bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada pembantu rumah asing ini, Kerajaan menerusi   Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan program Pusat Jagaan 1Malaysia.

Langkah pertama yang boleh diambil oleh pihak Kerajaan ialah mewajibkan semua Kementerian, Badan Berkanun Persekutuan dan Negeri mewujudkan Pusat Jagaan 1Malaysia di setiap agensi Kerajaan tersebut. Buat masa ini terdapat agensi Kerajaan seperti Perkeso di Jalan Ampang telah melaksanakan penubuhan Taska Permata di mana ianya telah dapat membantu masalah ini.

Langkah kedua yang boleh diambil ialah menubuhkan Pusat Jagaan 1Malaysia di setiap kawasan perumahan (terutama di bandar) di mana Pusat ini ditadbir dan diuruskan oleh agensi di bawah Kerajaan. 

Pusat Jagaan 1Malaysia dijangka dapat diurus dengan baik jika diurus oleh Kerajaan dan dalam hal ini juga Kerajaan secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Pusat Jagaan ini juga mestilah ditadbir oleh sekurang-kurangnya seorang profesional (sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang berkaitan) dan mestilah terdiri daripada kakitangan yang terlatih.

Langkah ketiga Kerajaan boleh menaik taraf Pusat Jagaan Kanak-Kanak sedia ada termasuk Nurseri dan Taska, di mana pusat jagaan ini perlu mematuhi dan mencapai standard dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan.

Walau bagaimanapun, untuk jangka masa panjang sekiranya Kerajaan dapat melaksanakan dasar ini, saya percaya ini merupakan langkah yang terbaik bagi meleraikan kemelut ini.

Kita perlu ingat bahawa generasi anak-anak kecil hari ini merupakan generasi yang bakal mewarnai suasana ekonomi, politik dan sosial pada masa hadapan. Penjagaan yang berkualiti dan baik bakal menyaksikan Malaysia mampu mencapai status negara maju dengan rakyatnya yang berkualiti dan berdaya saing.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan