Isnin, 22 November 2010

TEKS UCAPAN KETUA EKSEKUTIF LTAT HARI INOVASI LTAT 2010

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA.

Alhamdullillah, terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya jua kita semua dapat berkumpul pada pagi yang mulia ini bagi meraikan Hari Inovasi & Kreativiti LTAT yang julung kalinya diadakan sebagai menyahut saranan YAB Perdana Menteri yang mencadangkan supaya diadakan sambutan Hari Inovasi & Kreativiti menggantikan Hari Kualiti mulai tahun 2010 bagi menandakan kepentingan budaya kreativiti dan inovasi serta meraikan keberhasilan inovasi di agensi-agensi Kerajaan.

Inovasi merupakan elemen penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan senantiasa berada pada tahap cemerlang. Sehubungan itu, usaha membudayakan inovasi dan kreativiti dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan perlulah diterapkan kepada semua warga LTAT di pelbagai peringkat, bermula dari pengurusan tertinggi hinggalah kepada kumpulan sokongan.

Para Hadirin yang saya hormati sekalian,

Inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, dan lain-lain yang baru. Inovasi memang boleh berlaku walaupun tidak dirancang tetapi bagi mencapai hasil inovasi yang boleh mendatangkan manfaat yang tinggi kita perlu mempunyai aspirasi, iltizam dan ilham dan yang lebih penting membuat perancangan melaksana dan mengenalpasti inovasi.

Kaedah yang selalu berlaku dalam mendapatkan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan adalah melalui penggunaan secara meluas aspek teknologi maklumat dan komunikasi yang boleh mempengaruhi dan mengubah cara kita bekerja. Ia membantu proses membuat keputusan dibuat dengan lebih pantas dan sebarang maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat bagi memenuhi tuntutan pelanggan.

Pelaksanaan inovasi menuntut warga kerja LTAT untuk berfikiran lebih terbuka, dinamik dan senantiasa bersedia memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk melakukan pembaharuan.

Penjanaan idea-idea baru akan menghasilkan produk-produk inovatif baru yang lebih baik dan berkualiti. Kita perlu menerokai bidang-bidang baru yang boleh meningkatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Kreativiti dan inovasi perlu digunakan ke arah kebaikan. Saya tidak mahu ada antara kita menggunakan kreativiti & inovasi ke arah yang negatif sehingga merugikan organisasi dan menjejaskan nama baik organisasi. LTAT tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan LTAT yang menyalahgunakan daya kreativiti mereka. Dalam perkara ini saya menyeru Ketua-ketua Jabatan supaya sentiasa menyemak prosedur dan kawalan kerja serta mengawasi setiap kakitangan di bawah jagaan/seliaan mereka. Mereka yang cuai atau tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan serius akan juga diambil tindakan.

Tuan/Puan,

Pengurusan LTAT sentiasa berusaha membuat penambahbaikan dalam Sistem Pengurusan Kualitinya. Tindakan yang diambil termasuk meluaskan peranan Jabatan Perancangan Strategik meliputi aspek pelaksanaan Kualiti di LTAT. Jabatan ini diberi tanggungjawab untuk memastikan LTAT melaksanakan pengurusan kualiti secara serius dan menerapkan budaya kualiti di kalangan warga LTAT.

Syukur alhamdulillah, LTAT tidak ketinggalan berbanding organisasi cemerlang lain dengan pengamalan pengurusan secara berkualiti. Ini dapat dilihat daripada pencapaian LTAT yang membanggakan dari segi pelaksanaan standard dan amalan dari setahun ke setahun.

Dalam tahun 2002 LTAT telah berjaya memperoleh persijilan ISOnya yang pertama iaitu ISO 9002:1994 bagi skop Pengurusan Wang Caruman Ahli dan beralih ke ISO 9001:2000 bagi skop yang sama pada 4 November 2003.

Pada 5 Januari 2005 pula kita telah meluaskan lagi skop ISOnya, dimana berjaya mendapatkan persijilan ISO 9001:2000 bagi Skop Pelaburan Dana Tabung Angkatan Tentera (PPDT) dan akhirnya pada 27 Jun 2005 kita telah berjaya mendapatkan persijilan bagi keseluruhan aktiviti-aktiviti LTAT di bawah skop Penyediaan Skim Kumpulan Wang Persaraan Untuk Anggota Angkatan Tentera (PSKP). Sejajar dengan keperluan Standard ISO, LTAT telah beralih dari ISO 9001:2000 ke ISO 9001:2008 pada 4 Jun 2009. Pelaksanaan standard ini terus dipertingkatkan dan saya percaya kita akan terus dapat mengekalkan insyallah persijilan ini.

Kita juga bukan sahaja Agensi Kerajaan yang pertama menerima persijilan ISO/IEC 20000-1:2005 Pengurusan Perkhidmatan Teknologi Maklumat setelah dipersijilkan pada 16 Oktober 2009, tetapi sehingga kini kekal sebagai satu-satunya Agensi Kerajaan yang mendapat persijilan ini.

LTAT juga pada 28 Julai 2010 telah memperoleh persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti atau 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Amalan 5S ini banyak memberikan faedah dan perubahan persekitaran tempat kita bekerja dan perlu dijadikan budaya di LTAT.

Tuan/Puan,

Pengurusan berkualiti bermakna banyak peluang penambahbaikan atau inovasi dapat dilakukan. Pada masa lepas inovasi telah banyak dilaksanakan terutama yang melibatkan pengurusan pelanggan dan dapat menghasilkan kepuasan pelanggan yang sangat tinggi.

Dalam memproses pengeluaran wang caruman ahli samada caruman berhenti atau pengeluaran bagi tujuan membeli rumah tempoh prosesan telah dapat dipendekkan secara berperingkat dari 14 hari dan 21 hari sebelum ini kepada hanya 24 jam atau diproses dalam hari yang sama pada masa ini. Ini telah dapat dilakukan dengan melaksanakan inovasi dalam cara kita bekerja dan juga inovasi dalam sistem yang digunakan. Kita merasa bangga sistem SCAB atau Sistem Caruman Ahli Bersepadu dibangunkan secara dalaman telah dapat menyumbang kepada peningkatan ini. Saya suka mengucapkan tahniah dan syabas kepada mereka yang terlibat dalam inovasi sistem tersebut.

Dalam aspek pengurusan persekitaran pula inovasi dalam pelaksanaan 5S telah dapat menghasilkan tempat bekerja yang lebih bersih, tersusun, ceria dan menjimatkan kos penyenggaraan serta pengurusan kerja yang lebih cekap.
Inovasi lain yang dilaksanakan termasuklah sistem keselamatan menggunakan Biodoor, Sistem Pengurusan Perpustakaan (SPel), penyediaan laporan kewangan dan yang terkini penyediaan e-Kiosk LTAT yang dapat memberi nilai tambah dalam menyalurkan maklumat kepada pencarum LTAT di seluruh negara.

Tuan-tuan & Puan-puan sekelian,

Hasil usaha kita melaksanakan kualiti dalam semua aspek pengurusan telah mendapat pengiktirafan dan anugerah seperti Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam dalam Kategori Pengurusan Kewangan bagi tahun 1997, Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (AKKPPA) bagi tahun 2004 dan terakhir pemenang Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan sektor Badan Berkanun Kerajaan (AKPK) bagi tahun 2008.

Pencapaian-pencapaian ini membuktikan LTAT berada di landasan yang tepat dalam mencapai sebahagian dari visinya untuk menjadi sebuah organisasi contoh melalui perlaksanaan sistem kualiti. Saya dimaklumkan LTAT telah pun dilawati oleh agensi-agensi yang ingin belajar dari aspek pengurusan kualiti dan pengurusan kewangan serta Amalan 5S. Ini merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan kita. Sebagai Warga LTAT kita patut berasa bangga dan mendorong kita untuk meneruskan agenda kualiti di LTAT.

Bagi menjadikan kita Warga LTAT yang berinovasi, kreatif, berkualiti dan berintegriti, saya menyeru agar kita semua terus melengkapkan diri dengan kemahiran (skills), ilmu pengetahuan (knowledge) dan sifat-sifat peribadi (attitude) yang tinggi.

Saya berharap sambutan Hari Inovasi & Kreativiti LTAT tahun-tahun berikutnya akan disambut dengan lebih meriah lagi dan usaha-usaha berkaitan inovasi dan kreativiti di kalangan warga kerja LTAT dapat diketengahkan dan diberi penghargaan dan pengiktirafan.

Saya ingin menyeru kepada semua warga pegawai dan kakitangan LTAT agar dapat terus bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai KPI yang telah ditetapkan. Pelan Perancangan Strategik LTAT 2010-2013 akan menjadi panduan hala tuju kita ke arah pencapaian organisasi berpendapatan tinggi serta produktiviti yang tinggi. Seruan ini adalah sejajar dengan gagasan, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang diinspirasikan oleh YAB Perdana Menteri, yang sememangnya sangat relevan, dan mempunyai hubungan langsung dengan usaha kita dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pencarum. Ini juga amatlah bersesuaian dengan motto kita ’Kecemerlangan LTAT Keselesaan Warga Tentera’.

Saudara/saudari sekalian, pencapaian yang kita peroleh ini tidak akan bermakna sekiranya tidak dapat menterjemahkan kepada faedah yang kita terima dan juga yang diterima oleh pencarum kita. Pencapaian ini juga tidak akan kekal sekiranya kita/our stakeholder tidak mengamalkan dan menjadikan amalan atau budaya kerja kita seharian.

Saya menyeru untuk kita terus meningkatkan sistem pengurusan kualiti kita supaya kita terus mendapat kepercayaan tinggi daripada stakeholder iaitu pencarum LTAT sendiri bagi menguruskan dana wang caruman mereka. Ini selaras dengan ikrar kita untuk terus meningkatkan sistem pengurusan kualiti kita dan mencapai visi untuk menjadi sebuah organisasi contoh.

Saya juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang sama-sama menyumbang kepada pelaksanaan kualiti di LTAT seperti program 5S terutama kepada pihak MPC, penyewa bangunan LTAT dan pihak pengurusan bangunan LTAT.

Di samping itu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian pihak MPC menggadakan ceramah inovasi dan kreativiti untuk warga LTAT bagi memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif yang akan menyumbang kepada peningkatan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kepada pencarum LTAT.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih serta TAHNIAH kepada semua di atas usaha berkualiti yang diberikan.

Sekian, dengan kalimah بسماللهالرحمنالرحيم , saya dengan sukacitanya merasmikan “Majlis Sambutan Hari Inovasi & Kreativiti LTAT Tahun 2010.
Sekian terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan