Isnin, 29 Mac 2010

MP HULU SELANGOR, DATUK ZAINAL ABIDIN AHMAD DARI KACAMATA SAYA



Pemergian bekas Timbalan Menteri Besar Selangor Datuk Zainal Abidin pada jam 9.27 malam 25 Mac 2010 akibat barah otak, pada kami yang tinggal di Bandar Tun Hussein onn (BTHO) Batu 9 Cheras amat dirasakan. Ini memandangkan sejak pembukaan Bandar Tun Hussein Onn pada pertengahan tahun 90 an, Datuk Zainal yang tinggal di Hulu Langat sering berkunjung di kawasan kami walaupun kawasan kami berada di bawah DUN Balakong.
Saya mula mengenali beliau secara lebih dekat setelah berpindah ke BTHO pada penghujung tahun 2000 di mana perkenalan ini berputik dari mana semangat kami penduduk Suadamai BTHO untuk mendirikan sebuah Surau di kawasan lapang/permainan di kawasan kami.

Saya masa ingat beliau sanggup turun ke kawasan lapang tersebut pada jam 12.00 tengah malam (ketika itu beliau masa Timbalan Menteri Besar Selangor) dan memberikan kata semangat dan sokongan agar Surau yang dinamakan Surau As Siddiq oleh En. Rosli Jaafar didirikan.

Rentetan daripada peristiwa tersebut sebuah Surau Kayu (sementara) telah didirikan. Tindakan ini mendapat teguran pihak Majlis Perbandaran Kajang namun setelah kami berjumpa dengan Dato Zainal surau ini telah berjaya disiapkan.

Sesuai dengan perkembangan semasa, penduduk Suadamai telah berpakat untuk mendirikan sebuah Surau Kekal yang moden dan dapat menampung jemaah sekitar 600 orang. Sekali lagi perkara ini dimaklumkan pada beliau dan akhirnya dengan persetujuan dan sokongan beliau sebuah surau moden yang ada pada hari dapat disiapkan.

Dato Zainal sebenarnya agak peramah dan memang bersikap “low profile”. Mudah tersenyum dan sewaktu memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat merangkap Timbalan Menteri Besar Selangor, pejabat yang digunakan amat daif dan kelihatan seperti pejabat zaman 60 an. Pejabat ini menerima tetamu daripada penduduk Hulu Langat pada setiap Jumaat dan saya sendiri menyaksikan bagaimana beliau banyak membantu penduduk di kawasan tersebut yang masih bergiat dengan sektor pertanian.

Agak sedih melihat keadaan beliau pada pilihan raya pada tahun 2004 beliau telah tidak tersenarai. Beliau akhirnya pada tahun 2005 mengumumkan kemasukan ke dalam Parti Keadilan Nasional. Di antara tahun 2005 hingga 2008 kelibat Dato Zainal bersama kereta Kancilnya serta baju T Shirt UMNOnya sering dilihat oleh kami minum pagi dan makan malam di Restoran Sare Dee, BTHO. Saya pernah mengusik beliau dan mengatakan, “Dato dah masuk Keadilan tapi mengapa pakai T Shirt UMNO” Jawabnya sambil tersenyum, “Selesa pakai T-Shirt UMNO ni untuk berkebun”. Saya rasa sebenarnya beliau mungkin masa sayangkan UMNO (ini sekadar pandangan saya).

Itulah kenangan manis Dato Zainal dan senyumnya dan sikap “low profile”nya tidak akan kami lupakan. Terima kasih Dato kerana memudahkan kami mendirikan Surau As Siddiq di Suadamai BTHO. Jasamu tetap dikenang. AL FATIHAH.

5 ulasan:

  1. Al Fatihah!

    Selagi surau As Saddiq terus digunakan bahagian amalannya akan terus dikira!

    BalasPadam
  2. Al Fatihah!

    Salam kepada En Rosli Jaafar yang telah memberi nama As Saddiq kepada surau tersebut.

    Harap jemaah surau akan mengatur majlis khusus untuk Allahyarham.

    BalasPadam
  3. Kepimpinan yang memaparkan jiwa rakyat. Merendah diri, senang bergaul dan faham dengan apa yang lalui oleh semua lapisan rakyat.

    Inilah ciri-ciri kepimpinan yang patut ada pada pemimpin-pemimpin di Malaysia terutamanya anak- Selangor!

    Mengimbas gambar-gambar dalam buku sejarah Tanah Melayu, saya kagum melihat gambar Sultan Abdul Samad bergambar dengan pengikut-pengikutnya di negeri Selangor berkaki ayam!

    Sedangkan Residen British di Malaya waktu itu dengan bangganya menonjolkan pakaian rasmi dengan pedang, topi putih, jaket dan kasut but.
    Nilai kekurang-ajaran, hidung tinggi dan kebangsatan watak.

    Allahyarham menyuruh kita berfikir sejenak; contoh yang mana satu boleh dijadikan teladan dari segi sikap, amalan dan jatidiri dan diantara kedua-duanya kesan yang mana satu lebih hebat!

    Semoga rohnya dicucuri rahmat, AMIN!

    BalasPadam
  4. Untuk mendirikan sebuah surau di mana-mana pun terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuh.

    Allahyarham telah membantu memudahkan usaha tuan-tuan sekelian sehingga berjaya!

    Al Fatihah.

    BalasPadam
  5. Terima kasih di atas ulasan dan pandangan saudara/i dan sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Dan ianya bertambah indah apabila manusia itu adalah di kalangan orang yang beriman dan berakhlak mulia

    BalasPadam