

Pemergian bekas Timbalan Menteri Besar Selangor Datuk Zainal Abidin pada jam 9.27 malam 25 Mac 2010 akibat barah otak, pada kami yang tinggal di Bandar Tun Hussein onn (BTHO) Batu 9 Cheras amat dirasakan. Ini memandangkan sejak pembukaan Bandar Tun Hussein Onn pada pertengahan tahun 90 an, Datuk Zainal yang tinggal di Hulu Langat sering berkunjung di kawasan kami walaupun kawasan kami berada di bawah DUN Balakong.
Saya mula mengenali beliau secara lebih dekat setelah berpindah ke BTHO pada penghujung tahun 2000 di mana perkenalan ini berputik dari mana semangat kami penduduk Suadamai BTHO untuk mendirikan sebuah Surau di kawasan lapang/permainan di kawasan kami.
Saya masa ingat beliau sanggup turun ke kawasan lapang tersebut pada jam 12.00 tengah malam (ketika itu beliau masa Timbalan Menteri Besar Selangor) dan memberikan kata semangat dan sokongan agar Surau yang dinamakan Surau As Siddiq oleh En. Rosli Jaafar didirikan.
Rentetan daripada peristiwa tersebut sebuah Surau Kayu (sementara) telah didirikan. Tindakan ini mendapat teguran pihak Majlis Perbandaran Kajang namun setelah kami berjumpa dengan Dato Zainal surau ini telah berjaya disiapkan.
Sesuai dengan perkembangan semasa, penduduk Suadamai telah berpakat untuk mendirikan sebuah Surau Kekal yang moden dan dapat menampung jemaah sekitar 600 orang. Sekali lagi perkara ini dimaklumkan pada beliau dan akhirnya dengan persetujuan dan sokongan beliau sebuah surau moden yang ada pada hari dapat disiapkan.
Dato Zainal sebenarnya agak peramah dan memang bersikap “low profile”. Mudah tersenyum dan sewaktu memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat merangkap Timbalan Menteri Besar Selangor, pejabat yang digunakan amat daif dan kelihatan seperti pejabat zaman 60 an. Pejabat ini menerima tetamu daripada penduduk Hulu Langat pada setiap Jumaat dan saya sendiri menyaksikan bagaimana beliau banyak membantu penduduk di kawasan tersebut yang masih bergiat dengan sektor pertanian.
Agak sedih melihat keadaan beliau pada pilihan raya pada tahun 2004 beliau telah tidak tersenarai. Beliau akhirnya pada tahun 2005 mengumumkan kemasukan ke dalam Parti Keadilan Nasional. Di antara tahun 2005 hingga 2008 kelibat Dato Zainal bersama kereta Kancilnya serta baju T Shirt UMNOnya sering dilihat oleh kami minum pagi dan makan malam di Restoran Sare Dee, BTHO. Saya pernah mengusik beliau dan mengatakan, “Dato dah masuk Keadilan tapi mengapa pakai T Shirt UMNO” Jawabnya sambil tersenyum, “Selesa pakai T-Shirt UMNO ni untuk berkebun”. Saya rasa sebenarnya beliau mungkin masa sayangkan UMNO (ini sekadar pandangan saya).
Itulah kenangan manis Dato Zainal dan senyumnya dan sikap “low profile”nya tidak akan kami lupakan. Terima kasih Dato kerana memudahkan kami mendirikan Surau As Siddiq di Suadamai BTHO. Jasamu tetap dikenang. AL FATIHAH.