Selasa, 2 Ogos 2011

KESESAKAN DI SUSUR MASUK JALAN KE BTHO CHERAS

Terbitan di ruangan Surat Berita Harian 2 Ogos 2011

Isu jalan masuk dari Lebuh Raya Grand Saga ke Bandar Mahkota Cheras bagi mengelak daripada membayar tol di Batu 11 menjadi hangat 4 tahun yang lepas. Pertelingkahan di antara pengendali Lebuh raya dengan penduduk memuncak apabila penduduk merobohkan benteng yang dibuat oleh pengendali Lebuh raya bagi membolehkan mereka menggunakan jalan pintas tanpa perlu membayar tol.

Isu ini sudah reda apabila akhirnya pengendali Lebuh raya mengalah dan membenarkan penduduk Bandar Mahkota Cheras menggunakan jalan pintas dan diwujudkan tambahan trafic light bagi kemudahan pengguna jalanraya. Sejak pembukaan jalan pintas tersebut, penduduk Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) sebenarnya menjadi mangsa berikutan timbulnya kesesakan jalanraya yang melampau bagi susur masuk ke BTHO. Pembukaan jalan ini menyebabkan kesusahan kepada penduduk BTHO.

Sebelum pembukaan jalan raya ini, penduduk BTHO tidak menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang melampau di susur masuk BTHO tetapi dengan pembukaan susur masuk Bandar Mahkota Cheras ini bukan sahaja susur jalan masuk malah susur jalan keluar BTHO ke Lebuh raya Grand Saga semakin bertambah buruk setiap hari.

Apakah akan jadi apabila stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn (dengan kemudahan parkir) siap nanti? Sehubungan dengan itu saya berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemaju Bandar Mahkota Cheras dan Majlis Perbandaran Kajang perlu mengambil inisiatif dan tanggungjawab bagi menyediakan jalan susur masuk bertingkat bagi penduduk BTHO yang telah dinafikan kenikmatan menggunakan Lebuh raya Grand Saga sejak jalan pintas susur masuk Bandar Mahkota Cheras dibuka.


ILLYA SALEHUDIN
Suakasih BTHO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan