Selasa, 19 Julai 2011

4 REMAJA DITAHAN KERANA MEROMPAK DI BANDAR TUN HUSSEIN ONN

Warga BTHO baik yang tinggal di Suasana, Suadamai, Suakasih, Primaya, Arca, Avenue dan kawasan sekitaran tentunya sejak kebelakangan ini agak gusar dan kurang selesa akibat berlakunya banyak kejadian pecah rumah, kecurian kasut dan paling dibimbangkan rompakan bersenjata.

Kes Pak Guard ditetak dilaporkan berlaku pada 13 Julai, kejadian rompakan di Arca, di Suadamai dan Suakasih semuanya baru kita dengar berlaku. Isu sama ada atau tidak sesuatu kawasan itu ada pengawal keselamatan tidak lagi relevan. Semua kawasan telah dibolosi.

Dalam pada kita rasa semacam perkara ini akan reda tiba-tiba surat khabar Utusan Malaysia dan Kosmo pada 17 Julai 2011 melaporkan berita lebih mengemparkan.
Empat remaja lelaki, dua daripadanya masih bersekolah merompak barang berharga dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM50,000 dari sebuah rumah dua tingkat di Bandar Tun Hussien Onn.

Paling tak disangka kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 petang bukannya pada waktu puncak merompak di BTHO iaitu lewat pagi (3 hingga 5 pagi), tengah hari pada hari bekerja (10 pagi hingga 2 petang) di kala kita semua di BTHO alpa melayan perlawanan bola sepak Malaysia melawan Liverpool. Tergamam juga kita tengok pasukan ini boleh jaringkan gol bertaraf “Word Class”.

Rumah yang dirompak pula dilaporkan mangsa tiada di rumah kerana keluar bersama keluarganya menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Liverpool dan Malaysia di Stadium dan tinggallah pembantu rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab, suspek dipercayai mengetahui selok belok kediaman mangsa yang ketika itu dijaga oleh seorang pembantu rumah wanita berusia 41 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 20 tahun dikatakan memasuki rumah mangsa melalui pintu tepi. “Mereka kemudian mengacukan sebilah pedang samurai ke arah pembantu rumah itu sebelum mengikat tangan serta mulutnya dengan tuala. Kumpulan remaja penjenayah itu kemudian menggeledah rumah itu dan mengambil beberapa barangan berharga milik mangsa.

“Antara barangan yang dilarikan adalah dua unit komputer riba, komputer tablet iPad, wang tunai dan beberapa unit telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM50 ribu.

Kenyataan pihak polis lebih mengemparkan apabila dimaklumkan dua daripada suspek merupakan pelajar sekolah menengah, manakala masing-masing seorang penuntut kolej dan penganggur itu melarikan diri dengan menaiki motosikal. Mereka semua (suspek) telah pun ditahan dalam operasi berasingan yang berakhir pukul 2.30 pagi ini di sekitar Kajang.

Hasil pemeriksaan pihak polis tela menemui semula barangan rompakan dan peralatan untuk melakukan jenayah itu termasuk sebilah pedang samurai dan pemutar skru.
Dengan tertangkapnya suspek, mungkinkah masalah rompakan bersenjata, kes kecurian kasut yang berleluasa selama ini di BTHO akan berkurangan atau tiada. Kita harap dan berdoa begitulah tetapi kita di BTHO dalam masa yang sama perlu meningkatkan tali persahabatan antara jiran tanpa mengira bangsa dan memberi sokongan kepada Jawatankuasa Penduduk dalam usaha memperketat kawalan keselamatan dengan membayar yuran yang ditetapkan.

Kita sering menuding jari kepada pengawal keselamatan atau Jawatankuasa Penduduk bila berlaku kecurian tetapi kita juga kadangkala lupa bahawa bilangan Pak Guard yang bekerja adalah kurang disebabkan Jawatankuasa Penduduk hanya mampu mengadakan bilangan seminimum itu akibat kutipan wang rendah. Mana mungkin 2 atau 3 sahaja Pak Guard bertugas boleh mengawal 390 rumah dalam satu-satu kawasan pada sebelah malam tetapi jika pendapatan pembayaran keselamatan adalah tinggi, lebih Pak Guard dapat diupah maka pastinya kawalan keselamatan dapat diperbaiki.
Adalah diharapkan BTHO akan dapat kekal sebagai sebuah bandar yang aman dan tenteram selaras dengan hasrat melihat BTHO menjadi bandar hari ini untuk masa depan yang lebih tenteram dan selesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan