Khamis, 21 Oktober 2010

PETIKAN GURIDAM UCAPAN PRESIDEN UMNO PADA PERSIDANGAN AGUNG UMNO 2010

Teks Gurindam oleh Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Najib Razak.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu.

Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:

Melayu itu, kaya falsafahnya

Melayu itu, orang yang bijaksana

Akal budi bersulamkan daya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah muallaf bertakrif Melayu

Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,

Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,

Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung

Syarak dipakai adat dijunjung

Hidupnya mengabdi kepada rakyat

Taat setia membela umat

Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri

Umat sentosa bertuahlah negeri

Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.

Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

1 ulasan:

  1. Syarahan adalah kata-kata baik, nasihat, ucapan yang benar yang telah kita ketahui, yang sering kita dengar sehingga ia tidak dibaca lagi tetapi masih dilaporkan dengan berulang-ulang.

    Namun begitu, kata-kata nasihat jikalau dicirit-biritkan akan hilang kuasa,daya dan kekuatannya!

    Perlu difahami yang budaya orang Melayu terikat pada petak-petak pemikiran dan kesetian yang terlalu ketat dan kaku sehingga hilang keupayaan untuk meningkatkan tahap mindanya seperti yang berlaku dalam LTAT, sebagai contoh.

    BalasPadam