Isnin, 18 Oktober 2010

MELAKA MAJU 20.10.2010

Alhamdulillah sebagai anak Semabok Melaka, walaupun dibesarkan di Kuala Lumpur saya tentunya berasa bangga Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia mencapai status negeri maju. Bayangkan sebelum tahun 1980, Melaka antara negeri termiskin di Malaysia. Manakan tidak,kebanyakan orang Melaka berhijrah ke Kuala Lumpur, Singapura malahan ke Kepulauan Cocos (Keeling) Wilayah Luar negeri Australia.

Paling diingati sewaktu saya bersekolah di Sekolah Rendah Kuala Ampang (2) Selangor pada tahun 1974 hingga 1979 dan Sekolah Menengah Seri Ampang pada tahun 1980 hingga 1984 kebanyakan kami lahir dan berasal dari Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Sukar untuk menemui orang Kelantan, Kedah, Terengganu ketika itu di dalam kelas-kelas sekolah di Kuala Lumpur. Tapi hari ini pola ini sudah berubah dan kebanyakan orang Kelantan, Kedah dan Terengganu mula mendominasi masyarakat yang paling tinggi berhijrah ke Kuala Lumpur.

Mengapa ini berlaku dan mengapa semakin kurang orang Melaka yang berhijrah ke luar. Pembangunan pesat Negeri Melaka jawapannya.

Saya masih ingat pada tahun-tahun 70an dan 80an, apabila pulang di Melaka, perkara pertama yang bermain di kepala ketika itu pasti kasut akan berlumuran tanah merah, tandas berada di luar rumah, di mana-mana sahaja ceruk kampung di Melaka pasti penuh semak dan samun dan Bandar Melaka (stesen Bas di Bandar Melaka berhampiran The Store) akan terkulai layu apabila jam menunjukkan tepat 9 malam. Bandar Melaka adalah sebuah bandar mati ketika itu.

Namun munculnya seorang insan bernama Tan Sri Rahim Tamby Chik telah mengubah landskap dan ekonomi negeri Melaka daripada sebuah negeri pertanian kepada negeri perindustrian dan pelancongan. Pantai di depan Kubu Portugis ditambak dan dari seorang Ketua Menteri kepada seorang Ketua Menteri kini muncul pula YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam.

Prakarsa unik YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam ialah menetapkan sasaran tarikh mencapai status negeri maju pada tahun 2010 dan menyediakan petunjuk untuk mengukur pencapaian status tersebut. Dalam pada itu, pelbagai projek pembangunan fisikal, ekonomi, insaniah dan rohaniah diteruskan dengan teratur, terancang, sistematik dan berimbang – meliputi semua kaum dan Bandar / luar bandar.
Visi Melaka Maju 2010 telah dilancarkan pada tahun 2001. Sebuah blue print telah disedia dan dibentangkan oleh UPEN. Pada tahun 2002, 23 indikator telah diperkenalkan untuk mengukur kemajuan Melaka.

Hari ini Melaka telah mencapai apa yang diimpikan. Sungai Melaka yang dahulunya kotor sudah bersih dan kejayaan mentransformasikan ia kepada Taman Rempah dengan kemudahan bot yang disediakan bagi menyusuri sungai ini amat mengagumkan. Pengalaman menyusuri sungai ini pada sebelah siang dan pada sebelah malam memang mempesonakan. Saya kagum dengan usaha Kerajaan negeri Melaka di mana bayangkan masih terdapat pokok kayu bakau di sungai ini (dalam bandar).

Pintu utama lebuh raya memasuki Melaka tentunya melalui Air Keroh. Bayangkan betapa cantiknya landskap sepanjang lebuh raya disulami dengan tempat-tempat pelancongan dan perhotelan yang cantik, bersih dan nyaman udaranya. Cuma saya berharap Kerajaan Negeri Melaka dapat memperbesarkan Tol dan jalan masuknya kerana setiap hujung minggu jalan masuk ke tol ini sesak sehingga beberapa kilometer dari arah selatan dan utara.

Untuk menginap di hotel-hotel 4 bintang ke atas, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya sebulan setengah sebelum ke Melaka. Ini menunjukkan betapa majunya Melaka dalam sektor pelancongan. Saya yang meminati sukan bowling (PROX Bowling) perlu membuat tempahan sebulan lebih awal jika ingin mengadakan kejohanan di mana-mana pusat bowling di Melaka. Ini semua membuktikan betapa Melaka jadi pilihan bercuti dalam bersukan.

Masjid Selat yang merupakan kebanggaan rakyat Melaka amat cantik dan menarik. Terasa syahdu dan tenang beribadah di masjid ini. Cuma Kerajaan Melaka perlu mencari idea bagaimana memakmurkan kawasan sekitarnya supaya kawasan ini menjadi lebih maju.
Melaka juga turut menjadi syurga bagi penggemar makanan laut. Serkam Pantai dan Anjung Batu antara destinasi terbaik ikan bakar.

Kini rakyat Melaka membilang hari untuk menyaksikan pengisytiharan Melaka Maju pada tarikh keramat – 2010 (masa), 2010 (tarikh) dan 2010 (tahun) nanti.

Tahniah Datuk Seri dan semua rakyat Melaka kerana negeri Hang Tuah ini berjaya menjadi negeri maju yang pertama di Malaysia yang diakui oleh Organization for Economic Cooperation & Development atau ringkasnya OECD.

4 ulasan:

  1. Sebagai orang Melaka, saya rasa pelik dengan pencapaian ini.

    Apa sebenarnya yg dijadikan 'kayu pengukur'? Kerbau masih bersepah kat hujung kampung. Pemikiran orangnya pun 'masih di belakang'.

    Dah mabuk ke, lepas minum air tapai?

    BalasPadam
  2. Saya teringat jugak kisah Tan Sri Rahim Tamby Chik yang mengambil alih tanah orang-orang Tg Keling dengan harga tanah pertanian kemudian ditolak kpd Petronas dengan harga tanah industri. Sebagai pulangan orang-orang kampung diberi rumah teres. Masalahnya di mana nak diikatkan kambing dan kerbau? Takkan depan rumah atau kat tiang talipon TM.

    Kemajuan jenis apa ni?

    BalasPadam
  3. Masuk bakul angkat pakai lif OTIS!

    BalasPadam
  4. Macam mana dengan nsgeri Selangor? Adakah kerajaan negeri sekarang atau sebelumnya lupa untuk mwndapatkan pengiktirafan OECD?

    Saya agak En Baba lebih tinggi tahap pemikiran, tindakan dan pandangannya daripada KM Melaka.

    BalasPadam