Ahad, 21 Ogos 2011

SYOR TUTUP TOL BATU 11 BUKTI PM PRIHATIN

DISIARKAN DI RUANGAN SURAT BERITA HARIAN MS 34 23 OGOS 2011

2 Ogos 2011, merujuk kepada tulisan saya “Kesesakan Susur Masuk Jalan BTHO Cheras” yang disiarkan di dalam ruangan Surat Berita Harian. Aduan saya berhubung kesesakan susur masuk dan keluar Bandar Tun Hussein Onn Cheras dan Cheras Perdana akibat pembukaan jalan pintas untuk keselesaan penduduk Bandar Mahkota Cheras yang menyebabkan kami menjadi mangsa akhirnya bakal menemui jalan penyelesaian.

Tindakan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kementerian Kerja Raya mengkaji kemungkinan memansuhkan satu daripada dua tol di Lebuh Raya Cheras-Kajang di Hulu Langat berikutan permohonan ADUN Semenyih kerana penduduk sekitar cukup terbeban apabila perlu membayar dua tol kendalian syarikat konsesi Grand Saga Tol Sdn Bhd, yang masing-masing pada kadar RM0.90 dan RM1.00 dalam jarak dua kilometer merupakan satu langkah yang bijak.

Kebijaksanaan ini dapat memberikan konsep “Menang-Menang” kepada penduduk Bandar Tun Hussein Onn/Cheras Perdana yang dianggap menjadi mangsa dan penduduk Bandar Mahkota Cheras dan penduduk Bandar Sg Long dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini berjuang untuk mendapatkan jalan pintas ini.

Sekiranya tol Grand Saga batu 11 yang dikenakan bayaran RM90 sen dapat ditutup masalah kesesakan di susur hampir pasti dapat dikurangkan dan bagi penduduk BTHO dan Cheras Perdana boleh menggunakan susur alternatif yang ke-2 iaitu di susur Balakong dan membuat pusingan patah balik untuk susur masuk ke BTHO/Cheras Perdana.
Dan sesuai dengan konsep 1Malaysia tindakan Perdana Menteri bagi memberi keselesaan kepada masyarakat berbilang bangsa sebenarnya dapat dicapai memandangkan penduduk di BTHO, Cheras Perdana, Bandar Mahkota Cheras, Sg Long terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa.

Dengan MRT bakal mewarnai Lebuh raya Grand Saga dan satu stesen BTHO yang mempunyai kemudahan parkir di wujudkan di sini, cadangan penutupan tol ini dilihat satu langkah bijak bagi memastikan tidak wujud kesesakan jalan raya sebaik sahaja MRT memulakan operasinya dalam jangka masa beberapa tahun lagi.
Akhir sekali walaupun perkara ini masih dalam peringkat kajian, saya suka merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat Perdana Menteri Malaysia.

ILLYA SALEHUDIN JAAFAR
BTHO Suakasih Cheras

Selasa, 2 Ogos 2011

KESESAKAN DI SUSUR MASUK JALAN KE BTHO CHERAS

Terbitan di ruangan Surat Berita Harian 2 Ogos 2011

Isu jalan masuk dari Lebuh Raya Grand Saga ke Bandar Mahkota Cheras bagi mengelak daripada membayar tol di Batu 11 menjadi hangat 4 tahun yang lepas. Pertelingkahan di antara pengendali Lebuh raya dengan penduduk memuncak apabila penduduk merobohkan benteng yang dibuat oleh pengendali Lebuh raya bagi membolehkan mereka menggunakan jalan pintas tanpa perlu membayar tol.

Isu ini sudah reda apabila akhirnya pengendali Lebuh raya mengalah dan membenarkan penduduk Bandar Mahkota Cheras menggunakan jalan pintas dan diwujudkan tambahan trafic light bagi kemudahan pengguna jalanraya. Sejak pembukaan jalan pintas tersebut, penduduk Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) sebenarnya menjadi mangsa berikutan timbulnya kesesakan jalanraya yang melampau bagi susur masuk ke BTHO. Pembukaan jalan ini menyebabkan kesusahan kepada penduduk BTHO.

Sebelum pembukaan jalan raya ini, penduduk BTHO tidak menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang melampau di susur masuk BTHO tetapi dengan pembukaan susur masuk Bandar Mahkota Cheras ini bukan sahaja susur jalan masuk malah susur jalan keluar BTHO ke Lebuh raya Grand Saga semakin bertambah buruk setiap hari.

Apakah akan jadi apabila stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn (dengan kemudahan parkir) siap nanti? Sehubungan dengan itu saya berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemaju Bandar Mahkota Cheras dan Majlis Perbandaran Kajang perlu mengambil inisiatif dan tanggungjawab bagi menyediakan jalan susur masuk bertingkat bagi penduduk BTHO yang telah dinafikan kenikmatan menggunakan Lebuh raya Grand Saga sejak jalan pintas susur masuk Bandar Mahkota Cheras dibuka.


ILLYA SALEHUDIN
Suakasih BTHO