Ahad, 12 Jun 2011

PIALA FA - HIKMAH DI SEBALIK KEKALAHAN PASUKAN BOLA SEPAK KELANTAN

Jun 11, 2011 tepat jam 6.30 petang saya, Wan Mahmood dan anak sulongnya Shahir brtolak dari BTHO ke Stesen LRT Bandar Tun Razak. Kami menaiki LRT dan mendapati LRT tidak sesak dengan penonton Kelantan mahupun Terengganu.

Kami sepakat mengatakan ini pertanda Piala FA kali ini mungkin bilangan penonton tak ramai mungkin sebab Kelantan dah selalu masuk final. Sangkaan kami melset sebaik sahaja turun dari LRT rupanya puluhan ribuan penyokong Kelantan dan Trengganu sudah tiba dan berkumpul lebih awal.

Waktu Maghrib tiba dan seperti mana biasa kena sholat dulu. Malangnya surau kejap ada air kejap tak ada dan surau di stadium bergelap kerana tiada bekalan elektrik. Kami menanyakan petugas di situ dan maklumkan kepada kami dan 2 hari bergelap sebab ada masalah sikit katanya. Ini benar-benar memalukan kerana fasiliti yang disediakan tidak berfungsi maka bersholat dalam gelap berwudhukan air mineral.

Setelah selesai, kami terus ke pintu utama untuk masuk stadium. Sesak sesak sesak begitu ramai puluhan ribu penonton. Kami masuk di pintu Kelantan kerana kami penyokong Kelantan. Malangnya tiada tempat duduk yang kosong termasuk tempat pejalan kaki di sebelah bangku penduduk. Kami sudah biasa dan sering hadir pada setiap perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA tetapi inilah kali pertama dalam sejarah kami saksikan Stadium begitu sesak hingga tiada tempat penonton.

Nasib baik ada pasukan Polis yang membenarkan kami duduk di tempat/meja wartawan yang agak kosong sedikit. Tapi kami terfikir juga apakah FAM telah terlebih mencetak tiket atau pun wujud tiket palsu?

Pada kami yang biasa melihat pasukan Kelantan bermain, permainan mereka kali ini sedikit hambar dan kemenangan pasukan Terengganu wajar dipuji kerana berjuang hingga ke saat akhir wisel penamat. Tempoh 4 minit masa tambahan itu dimanfaatkan pasukan Terengganu. Kenapa tempoh 4 minit masa tambahan diberikan. Kesalahan wajar diletakkan kepada penonton Kelantan yang melontarkan bunga api di dalam (post gol) Trengganu ketika pasukan Kelantan hebat menyerang di kubu Terengganu.

Walau apa yang berlaku kali ini usaha pihak keselamatan melibatkan PDRM, Rela dan Bomba harus dipuji kerana dapat mengurangkan lontaran bunga api dan mercun melalui benteng yang dibuat di sekeliling pintu pagar Stadium. Tindakan yang bijak bagi mengelakkan mercun dan bunga api di seludup masuk mengikut akses tersebut.

Dan pujian juga harus diberikan kepada majoriti penonton Kelantan terutamanya yang membuktikan bahawa walaupun pasukan Kelantan tewas tiada insiden yang tidak diingini berlaku seperti membakar kerusi stadium atau membuat huru-hara. Rupanya ada hikmah di sebalik kekalahan Kelantan di mana terbukti penyokong Kelantan sudah profesional dan dapat menerima kekalahan dengan hati terbuka. Perjalanan balik kami menaiki LRT penuh dengan gelak tawa penyokong Kelantan dan mereka positif Piala Malaysia nanti bakal milik mereka.

Namun jangan lupa memperbaiki fasiliti terutama Surau Stadium Bukit Jalil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan