Ahad, 27 Februari 2011

Pegawai Sumber Manusia & Kepentingannya Dalam Kejayaan Sesebuah Organisasi



Dalam mana-mana organisasi tanpa mengambil kira sektor Kerajaan atau swasta peranan Jabatan yang berkait dengan sumber manusia adalah sangat penting dan terus kekal relevan hingga ke hari ini. Jabatan yang berkait dengan sumber manusia dikenali dengan pelbagai nama mengikut kehendak organisasi antaranya Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran dan jika di Lembaga Tabung Angkatan Tentera ia dikenali dengan nama Jabatan Tenaga Manusia dan Pentadbiran. 

Apa-apa pun yang jelas Jabatan yang berkait dengan sumber manusia ini tentunya Pelanggan Utamanya adalah kakitangan atau warga kerja organisasi itu sendiri. Tanpa kakitangan sudah tentu unit ini tidak berfungsi dan tidak dapat memainkan apa-apa peranan.

Dari hal berkaitan proses kemasukan pekerja hingga pekerja bersara atau ditamatkan perkhidmatan akibat masalah kesihatan mahupun disiplin, pengendalian dan pengurusan kursus bagi kakitangan, pengurusan kebajikan pekerja merangkumi kemudahan perubatan hinggakan ke hal-hal berkaitan kaunseling, penyediaan bekalan pejabat untuk kakitangan, pengurusan pejabat malahan bangunan adalah terletak di bawah Jabatan Sumber Manusia.

Sehubungan itu, sudah tentu bagi memastikan pengurusan sumber manusia organisasi dapat  diurus dengan cekap dan baik, maka warga kerja di Jabatan Sumber Manusia perlulah terdiri daripada mereka yang mempunyai “Public Relations” yang baik malahan kalau boleh yang terbaik, “to be a good listener” kepada kakitangan yang datang membuat aduan walaupun mungkin aduan itu membosankan, sentiasa mengamalkan konsep senyum, bersedia menerima panggilan telefon 24 jam daripada kakitangan, inovatif dalam membuat keputusan seperti memastikan hanya kursus dan latihan yang relevan sahaja diaturkan untuk kakitangan, terbuka dalam menerima teguran kakitangan organisasi termasuk melalui Borang Kepuasan Pekerja dan paling penting jika semua di atas tidak disukai, janganlah bekerja di Jabatan Sumber Manusia, lebih-lebih lagi jika seorang kakitangan Jabatan Sumber Manusia kerjanya asyik bertengkar dengan kakitangan organisasi yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada Jabatan ini.

Sebuah Jabatan Sumber Manusia yang baik dengan mempunyai kakitangannya yang terbaik dan dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dalamannya sendiri iaitu kakitangan organisasi, pastikan akan dapat membantu meningkatkan modal insan sesebuah organisasi. Modal insan amatlah penting dalam memastikan perjalanan sesebuah organisasi itu terus berada di landasan yang betul dalam usaha membantu Kerajaan Malaysia menuju mencapai status negara maju menjelang 2020.

Sekadar menyanyi lagu Wawasan 2020 tanpa menghayati dan membawa ia ke arah pencapaian tersebut amatlah malang bagi kakitangan Jabatan Sumber Manusia kerana kesedaran tentang peri penting peningkatan ilmu yang berterusan kakitangan organisasi adalah penting kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan