Selasa, 3 Ogos 2010

BAIK DAN BURUKNYA PRE BOWL DAN POST BOWL

ProX Bowling Team telah dilahirkan pada awal tahun lepas 2009 hasil dari keikhlasan, semangat kekitaan dan didorong oleh sikap ramai mesra kita yang bermula dari kumpulan-kumpulan yang kecil yang saling tegur-menegur dan sapa menyapa hingga terlahirnya sebuah idea menggabungkan kumpulan kecil yang diketuai oleh En. Rashid, En Wan Kamal, En Jais, En Ishak, En. Yus, En Shmir, En, HG dan lain-lain kumpulan lagi.

Maka atas semangat untuk mempertingkat permainan bowling dan merapatkan tali silaturahim, bermula sejarah Pertandingan Liga ProX yang pertama pada tahun pertengahan tahun 2009. Objektif utama ialah mengumpulkan semua ahli ProX dalam satu hari dan masa yang serentak, bertanding bagi mempertingkatkan permainan bowling, mewujudkan satu ikatan persaudaraan yang rapat yang akhirnya mewujudkan satu budaya masyarakat sukan yang punya sifat-sifat madani yang tinggi dalam pembentukan ikatan tali persaudaraan dan persahabatan. Ini semua hanya boleh dikekalkan pada masa depan sekiranya kita hadir pada masa dan tempat yang ditetapkan.

Walau bagaimana pun disebabkan faktor-faktor gaya dan stail kehidupan kita yang menuntut kita memberikan komitmen tinggi pada pekerjaan kita sama ada bekerja sendiri atau dengan swasta dan kerajaan, menuntut kita memberikan perhatian kepada pembelajaran anak-anak, menuntut kita mungkin membahagikan masa antara isteri-isteri maka kadang-kadang kita terpaksa berkorban dan dengan berat hati tidak dapat melaksanakan tugas kita sebagai pemain Liga ProX pada Hari Jumaat yang ditetapkan.

Kalau itulah alasan kita, rasanya jawatankuasa ProX perlu menerimanya tetapi undang-undang tetap perlu ada. Bayangkan sebuah negara tanpa undang-undang, sebuah sukan tanpa undang-undang, bermadu tanpa undang-undang maka segala-galanya menjadi kelam kelibut dibuatnya.

Mengehadkan bilangan pre bowl dan post bowl adalah langkah baik tetapi lebih terbaik lagi jika kita boleh educate diri kita sendiri supaya mengelakkan seboleh mungkin daripada bermain pre bowl dan post bowl. Kita perlu sedar pre bowl dan post bowl perlu ada tetapi ianya tidak menyumbang kepada satu bentuk sosial sukan dalam kita memperkatakan soal mempertingkatkan tali silaturahim dan dalam usaha kita mempertingkatkan kekuatan mental kita dalam menghadapi perlawanan secara liga.

Bagi Liga ProX musim 4, kita ingin melihat 1 keluarga besar yang berkumpul pada 1 tarikh dan 1 masa yang sama (mengambil semangat 1Malaysia) bertemu dan bermain selaras dengan objektif kita sekali gus kita berharap satu hari nanti ada di antara kita menjadi pemain peringkat Daerah, Negeri dan Kebangsaan Dan yang paling penting semangat ikatan kekeluargaan di antara kita semakin rapat dan percayalah dalam sebuah keluarga yang rapat bakal ada yang bak kata pepatah “Sedangkan Lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri”, dan pupuklah satu semangat bertolak ansur dan “Jangan jadi anjing dan kucing” sebaliknya jadi insan yang cemerlang dan terbilang dalam sukan ProX Bowling.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan