Selasa, 20 November 2012

DAIFNYA TANAH PERKUBURAN BANDAR TUN HUSSEIN ONN







Penduduk Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) Cheras sebenarnya  bersyukur dan berterima kasih kepada pemaju perumahan Udaland Sdn Bhd kerana melaksanakan tanggungjawab menyediakan tapak bagi Perkuburan Islam BTHO di ketika  tidak ramai pemaju perumahan yang menyediakan kemudahan sebegini.
   
Setelah 15 tahun BTHO dibuka dan dalam kerancakan pembangunan perumahan, pemaju Udaland Sdn Bhd telah pun menyiapkan sebuah masjid BTHO berhampiran kawasan Lake View BTHO. Tentunya kami di BTHO berasa bersyukur di atas kemudahan ibadah ini namun begitu setiap kali berlaku kematian penduduk BTHO akan mula membicarakan soal tanah perkuburan BTHO yang daif.

Tanah Perkuburan BTHO telah mula dibuka dan digunakan pada sekitar tahun 2005 dan sehingga kini dianggarkan sudah terdapat hampir 100 perkuburan dan diuruskan oleh Badan Khairat dan Kematian BTHO.

Tanah perkuburan ini asalnya merupakan tapak pembuangan sisa bahan-bahan binaan dan menurut beberapa penduduk pada asalnya pihak pemaju telah pun membuat kerja-kerja menambak tanah-tanah yang elok setinggi 5 kaki bagi memastikan tanah perkuburan dapat diuruskan dengan baik namun terdapat dakwaan mengatakan bahawa terdapat pihak yang bertanggungjawab telah mencuri tanah-tanah yang ditambak dan ini menyebabkan tapak perkuburan tersebut kembali kepada keadaan asal apabila ia dibuka untuk digunakan.

Kubur yang penuh bahan-bahan sisa bahan-bahan binaan terdiri dari batu, plastik, simen, kayu dan lain-lain bahan buangan sehingga tayar juga ditemui semasa kerja-kerja mengali kubur dibuat. Ini menyebabkan kubur yang digali tidak kelihatan cantik sebaliknya begitu teruk keadaannya dan paling menyedihkan apabila tanah yang bercampur batu-batu sisa bahan binaan ini digunakan semula bagi menimbus jenazah yang dikebumikan.  Keadaan ini menyebabkan saudara-mara dan sahabat handai semati yang hadir semasa pengebumian mula menyangka perkara-perkara yang tidak baik kerana mereka tidak tahu bahawa tanah perkuburan ini sememangnya dipenuhi sisa bahan-bahan binaan.

Kerja-kerja mengali kubur terpaksa pula terpaksa dibuat secara manual apabila bilangan kubur telah bertambah. Ini adalah kerana jika mesin/jentolak digunakan ditakuti boleh menyebabkan berlaku pergerakan tanah pada kubur sedia ada yang bersebelahan disebabkan terdapatnya sisa bahan-bahan binaan seperti batu yang besar.

Bayang betapa sukarnya pengali kubur mengali kubur-kubur ini dan untuk bagi menyediakan satu kubur mengambil masa lebih 5 jam kerana jika terdapat batuan yang besar ia perlu di pecah kecilkan sebelum boleh dibawa keluar. Liang lahad juga sukar dibuat disebabkan perkara yang sama. Keluhan pengali kubur selama hampir 8 tahun hanya diberikan perhatian ketika berlakunya kematian dan selepas itu tiada tindakan diambil dan senyap begitu sahaja.

Selain daripada itu, perkuburan BTHO juga dipenuhi semak samun dan semakin hari semakin tebal semaknya. Pemandangan yang cacat ini adalah disebabkan ketiadaan pengurusan perkuburan BTHO yang sistematik. Walau bagaimanapun kesalahan tidak boleh diletakkan kepada Badan Khairat dan Kematian BTHO kerana penduduk BTHO sebenarnya perlu sama-sama turun padang dan membantu Badan ini.

Sehubungan dengan itu, saya memohon jasa baik pemaju Udaland Sdn Bhd yang telah banyak menyediakan kemudahan untuk kami, agar sekali lagi atas nama Tanggungjawab Korporat Sosial dapat menghantar sekurang-kurangnya 2 lori tanah-tanah elok yang ada  di bukit berhampiran Suakasih milik Udaland ke tanah perkuburan BTHO untuk digunakan bagi kerja-kerja semasa menimbus jenazah.

Untuk jangka panjang selari dengan slogan Rakyat Di Dahulukan, adalah dipohon pihak Kerajaan khususnya Wakil Rakyat dapat turun melihat permasalahan ini dan dengan siapkan Masjid BTHO yang dijangka beroperasi sedikit masa lagi adalah dicadangkan juga pentadbiran Badan Khairat dan Kematian BTHO dapat diletakkan di bawah pengurusan masjid ini agar impian untuk melihat Perkuburan BTHO diuruskan setaraf Perkuburan Bukit Kiara dapat dicapai.


ILLYA SALEHUDIN JAAFAR
SUAKASIH BTHO CHERAS

Isnin, 29 Oktober 2012

CAP GESA HARAMKAN SHISHA

Dipetik dari Harakahdaily, 29 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Gejala menghisap shisha yang semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran.

 “Langkah ini perlu diambil dengan segera memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan menghisap rokok,” kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris (gambar) dalam satu kenyataan. Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain. Beliau berkata, penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter.

 Menurutnya, mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap. Jelas beliau lagi, dalam satu laporan oleh sebuah akhbar tempatan yang memuatkan temubual dengan seorang pengamal perubatan mengenai bahaya menghisap shisha, dikatakan penghisap shisha turut boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan.

 Beliau menambah, penggunaan arang dalam peralatan dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan si penghisap. “Air didihan yang digunakan juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau CAP menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha. “Tindakan tegas perlu diambil segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan,” katanya lagi.
 


Ahad, 23 September 2012

Ustaz Fitri Abdullah Kuliah Maghrib (Jemputan) di Surau At-Taqwa, Seksyen 7 Shah Alam

http://youtu.be/PK6cw_LYBzQ





Ustaz Fitri Abdullah
Kuliah Maghrib (Jemputan) di Surau At-Taqwa, Seksyen 7 Shah Alam
Jumaat, 4hb May 2012
Video Bahagian V (akhir)

Selasa, 28 Ogos 2012

SISTEM BARU TIKET LRT MENGGUNAKAN TOKEN MENYUSAHKAN RAKYAT


Setelah hampir 6 bulan tidak menggunakan LRT, hujung minggu bulan Ramadhan yang lepas akibat kesesakan dan kesukaran untuk memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman menggunakan kenderaan maka saya bersama keluarga menggunakan perkhidmatan LRT daripada Stesen Miharja ke Stesen Bandar Raya. Saya agak terkejut, teruja dan bangga melihat LRT menggunakan kiosk bagi membuat pembelian tiket dalam bentuk token. Dari duit syiling 10 sen hingga ke wang kertas RM10 boleh digunakan di kiosk ini tapi malangnya token ini hanya boleh digunakan untuk perjalanan sehala sahaja.

Saya tidak nampak logiknya dan mengapa LRT melaksanakan dasar pembelian token hanya untuk perjalanan sehala sahaja sedangkan sistem tiket dulu kita boleh membelinya dan menggunakannya untuk perjalanan 2 hala pergi dan balik.

Sebagai peminat bola sepak Malaysia dan sering menggunakan LRT untuk perjalanan menonton bola sepak di Stadium Bukit Jalil saya sudah dapat bayangkan risiko-risiko kemalangan dan kecederaan yang boleh berlaku akibat pelaksanaan sistem token sehala ini.

Sangkaan saya sistem ini mengundang banyak masalah memang benar-benar berlaku. Sebaik sampai di Stesen Bandar Raya saya terpaksa berhimpit-himpit dan terpaksa berasak-asak bagi keluar daripada stesen tersebut. Ini disebabkan terlalu ramai orang yang beratur untuk membeli token bagi perjalanan balik ke rumah selepas membeli belah.

Akhirnya setelah saya dan keluarga selesai membeli belah tiba giliran kami pula untuk membuat pembelian token. Keadaan sebelah petang lebih teruk daripada masa kami tiba pagi tadi. Terpaksa berbaris panjang, ditolak, berasak-asak sebab yang hendak beli token terlalu ramai sehingga tiada ruang bagi mereka yang baru tiba di stesen bandar raya untuk keluar stesen. Kanak-kanak ada yang menangis akibat terhimpit, terpijat kaki dan sebagainya.

Mesin kiosk pula buat hal, sekejap boleh terima duit RM10 dan RM5 sekejap tak boleh dan paling menakutkan apabila anda telah beratur dan jika anda ditolak daripada belakang anda tiada ruang untuk meloloskan diri kerana mesin kiosk diletakkan didinding yang tiada jalan keluar.

Tiada kaunter dibuka kerana pembelian token hanya dijual di kiosk dan hanya pemegang kad Touch & Go yang agak selesa bagi perjalanan menggunakan LRT.  Akhirnya tidak tahan melihat anak-anak menangis saya telah menjerit kepada pekerja LRT Stesen Bandar raya yang buat tidak peduli sahaja dengan kejadian kesesakan ini untuk membantu. Nyata mereka mengamalkan sikap sambil lewa sahaja dan tidak prihatin. Akhirnya setelah token dapat saya beli setelah 30 minit beratur saya telah menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia bagi membantu  dan mengawal keadaan di stesen ini. Terima kasih anggota PDRM.

31 Ogos 2012 bakal tiba dan dengan sambutan kemerdekaan negara ke 55 bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil pada hari tersebut pada sebelah petang hingga malam, saya merasa agak gusar sedikit dengan sistem pengurusan token sehala LRT. Dijangkakan lebih 100,000 ribu rakyat Malaysia akan berada di Stadium Bukit Jalil sempena Perhimpunan Merdeka 55 Janji Ditepati.

Saya berharap pengurusan LRT dapat mengambil langkah-langkah pencegahan terutama berkaitan keselamatan pengguna antaranya menggalakkan pengguna yang tiba di Stadium Bukit Jalil untuk terus membuat pembelian token bagi perjalanan balik tanpa menunggu sebelah malam.

Kedua pihak pengurusan LRT dapat membuka kaunter bagi memudahkan pengguna membuat pembelian token dan ketiga menyediakan petugas bagi membantu pengguna yang  berurusan dengan kiosk terutama bila mesin kiosk menghadapi masalah. Keempat melanjutkan waktu operasi jika perlu sehingga jam 2.00 pagi sekiranya masih ramai lagi pengguna.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 : Janji Ditepati




Ahad, 26 Ogos 2012

TONG GAS ADA TARIKH LUPUT!

Tong gas ada tarikh luput! Betul ke? Macam makanan dan barang-barang lain tong gas juga ada tarikh luput.

Jadi sekiranya kita terbeli tong gas yang tarikhnya sudah luput faham-faham je lah apa nak buat. Tapi bagaimana nak tahu tarikh luput tersebut. Sila lihat gambar di bawah.


Sabtu, 25 Ogos 2012

SELAMAT MENYAMBUT EID MUBARAK

1 Syawal 1433 bersamaan 19 Ogos 2012

Sudah agak lama saya tidak menulis di blog. Insyaallah selepas/semasa Syawal ini saya akan menulis kembali antaranya tajuk "Sop VS Manipulasi".

Nantikan

Rabu, 16 Mei 2012

HORMATI DATO SERI NAJIB SEBAGAI PEMIMPIN NEGARA





Masyarakat Malaysia terutama bangsa Melayu terkenal dengan adap dan sopannya kerana kita diajar oleh generasi terdahulu agar mengamalkan budaya bersopan santun ini demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Lantaran itu tindakan segelintir warga Malaysia yang menganggu ucapan YAB Perdana Menteri dalam  acara ‘An Evening with the Prime Minister’ di lokasi berprestij dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London merupakan satu tindakan yang sama sekali bertentangan dengan budaya kita dan prinsip ke lima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. 

Apakah kita yang dikatakan sudah maju dari segi pemikiran dan cerdik akal fikiran dapat menghalalkan tindakan menganggu majlis dihadiri oleh pemimpin Negara. Fikir-fikirkan apakah dengan tindakan menjerit-jerit ke arah YAB Perdana Menteri dengan perkataan “Bersih” merupakan satu tindakan yang bersih dan terpuji? Budaya Melayu sendiri sering menekankan adat jangan mengganggu majlis orang dan kalau tidak dijemput jangan hadir majlis orang apatah lagi jika hadir dengan niat untuk merosakkan majlis. 

Kalaupun yang menganggu itu tidak sehaluan pemikiran dengan YAB Perdana Menteri akibat perbezaan pandangan dan fahaman politik tetapi kita diajar oleh ibubapa kita supaya menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Sekurang-kurangnya mereka yang menjerit itu, belajarlah menghormati orang yang lebih tua dari mereka.

Cuba kita kaji sedalam-dalamnya apakah yang telah dapat dicapai dengan tindakan menganggu majlis sedemikian? Sepatutnya perbezaan pandangan tersebut boleh diajukan terus secara diplomasi kepada Dato Seri Najib lebih-lebih lagi beliau sendiri telah mempelawa mereka yang hadir untuk berjumpa dengannya jika ada sebarang pertanyaan dan persoalan.

Jika budaya kurang sihat ini tidak diberhentikan, dalam masa yang singkat saja ada kemungkinan Malaysia bakal menyaksikan rakyatnya hilang identiti sebagai sebuah masyarakat dunia yang tinggi nilai-nilai kesopanan dan kesusilaannya.

Sudah tiba masanya baik Kerajaan mahupun barisan pembangkang mengambil langkah untuk memastikan rakyat diberikan kesedaran tentang peri pentingnya budaya menghormati antara satu sama lain dengan kembali kepada ajaran agama masing-masing sebagai asasnya dan Rukun Negara sebagai sebahagian daripada panduan kerana kita merupakan pewaris generasi masa lampau yang tentunya mahu melihat kita hidup dalam budaya Timur walaupun kehidupan kita sudah jauh maju ke hadapan dan standing dengan negara maju.

Illya Salehudin Jaafar
Mantan Presiden Kesatuan Kakitangan LTAT