Setelah hampir 6 bulan
tidak menggunakan LRT, hujung minggu bulan Ramadhan yang lepas akibat kesesakan
dan kesukaran untuk memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman menggunakan kenderaan
maka saya bersama keluarga menggunakan perkhidmatan LRT daripada Stesen Miharja
ke Stesen Bandar Raya. Saya agak terkejut, teruja dan bangga melihat LRT
menggunakan kiosk bagi membuat pembelian tiket dalam bentuk token. Dari duit
syiling 10 sen hingga ke wang kertas RM10 boleh digunakan di kiosk ini tapi
malangnya token ini hanya boleh digunakan untuk perjalanan sehala sahaja.
Saya tidak nampak
logiknya dan mengapa LRT melaksanakan dasar pembelian token hanya untuk
perjalanan sehala sahaja sedangkan sistem tiket dulu kita boleh membelinya dan
menggunakannya untuk perjalanan 2 hala pergi dan balik.
Sebagai peminat bola
sepak Malaysia dan sering menggunakan LRT untuk perjalanan menonton bola sepak
di Stadium Bukit Jalil saya sudah dapat bayangkan risiko-risiko kemalangan dan
kecederaan yang boleh berlaku akibat pelaksanaan sistem token sehala ini.
Sangkaan saya sistem
ini mengundang banyak masalah memang benar-benar berlaku. Sebaik sampai di
Stesen Bandar Raya saya terpaksa berhimpit-himpit dan terpaksa berasak-asak
bagi keluar daripada stesen tersebut. Ini disebabkan terlalu ramai orang yang
beratur untuk membeli token bagi perjalanan balik ke rumah selepas membeli
belah.
Akhirnya setelah saya
dan keluarga selesai membeli belah tiba giliran kami pula untuk membuat
pembelian token. Keadaan sebelah petang lebih teruk daripada masa kami tiba
pagi tadi. Terpaksa berbaris panjang, ditolak, berasak-asak sebab yang hendak
beli token terlalu ramai sehingga tiada ruang bagi mereka yang baru tiba di
stesen bandar raya untuk keluar stesen. Kanak-kanak ada yang menangis akibat
terhimpit, terpijat kaki dan sebagainya.
Mesin kiosk pula buat
hal, sekejap boleh terima duit RM10 dan RM5 sekejap tak boleh dan paling
menakutkan apabila anda telah beratur dan jika anda ditolak daripada belakang
anda tiada ruang untuk meloloskan diri kerana mesin kiosk diletakkan didinding
yang tiada jalan keluar.
Tiada kaunter dibuka
kerana pembelian token hanya dijual di kiosk dan hanya pemegang kad Touch &
Go yang agak selesa bagi perjalanan menggunakan LRT. Akhirnya tidak tahan melihat anak-anak
menangis saya telah menjerit kepada pekerja LRT Stesen Bandar raya yang buat tidak
peduli sahaja dengan kejadian kesesakan ini untuk membantu. Nyata mereka
mengamalkan sikap sambil lewa sahaja dan tidak prihatin. Akhirnya setelah token
dapat saya beli setelah 30 minit beratur saya telah menghubungi pihak Polis
Diraja Malaysia bagi membantu dan
mengawal keadaan di stesen ini. Terima kasih anggota PDRM.
31 Ogos 2012 bakal
tiba dan dengan sambutan kemerdekaan negara ke 55 bakal diadakan di Stadium
Bukit Jalil pada hari tersebut pada sebelah petang hingga malam, saya merasa
agak gusar sedikit dengan sistem pengurusan token sehala LRT. Dijangkakan lebih
100,000 ribu rakyat Malaysia akan berada di Stadium Bukit Jalil sempena
Perhimpunan Merdeka 55 Janji Ditepati.
Saya berharap
pengurusan LRT dapat mengambil langkah-langkah pencegahan terutama berkaitan
keselamatan pengguna antaranya menggalakkan pengguna yang tiba di Stadium Bukit
Jalil untuk terus membuat pembelian token bagi perjalanan balik tanpa menunggu
sebelah malam.
Kedua pihak pengurusan
LRT dapat membuka kaunter bagi memudahkan pengguna membuat pembelian token dan
ketiga menyediakan petugas bagi membantu pengguna yang berurusan dengan kiosk terutama bila mesin
kiosk menghadapi masalah. Keempat melanjutkan waktu operasi jika perlu sehingga
jam 2.00 pagi sekiranya masih ramai lagi pengguna.
Selamat Menyambut Hari
Kemerdekaan ke 55 : Janji Ditepati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan