Masyarakat Malaysia terutama bangsa Melayu
terkenal dengan adap dan sopannya kerana kita diajar oleh generasi terdahulu
agar mengamalkan budaya bersopan santun ini demi kesejahteraan hidup
bermasyarakat dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Lantaran itu tindakan segelintir warga Malaysia
yang menganggu ucapan YAB Perdana Menteri dalam
acara ‘An Evening with the Prime Minister’ di lokasi berprestij dewan
konsert 02 Arena di Greenwich, timur London merupakan satu tindakan yang sama
sekali bertentangan dengan budaya kita dan prinsip ke lima Rukun Negara iaitu
Kesopanan dan Kesusilaan.
Apakah kita yang dikatakan sudah maju dari segi
pemikiran dan cerdik akal fikiran dapat menghalalkan tindakan menganggu majlis
dihadiri oleh pemimpin Negara. Fikir-fikirkan apakah dengan tindakan menjerit-jerit
ke arah YAB Perdana Menteri dengan perkataan “Bersih” merupakan satu tindakan
yang bersih dan terpuji? Budaya Melayu sendiri sering menekankan adat jangan
mengganggu majlis orang dan kalau tidak dijemput jangan hadir majlis orang
apatah lagi jika hadir dengan niat untuk merosakkan majlis.
Kalaupun yang menganggu itu tidak sehaluan
pemikiran dengan YAB Perdana Menteri akibat perbezaan pandangan dan fahaman
politik tetapi kita diajar oleh ibubapa kita supaya menghormati orang yang
lebih tua daripada kita. Sekurang-kurangnya mereka yang menjerit itu,
belajarlah menghormati orang yang lebih tua dari mereka.
Cuba kita kaji sedalam-dalamnya apakah yang telah
dapat dicapai dengan tindakan menganggu majlis sedemikian? Sepatutnya perbezaan
pandangan tersebut boleh diajukan terus secara diplomasi kepada Dato Seri Najib
lebih-lebih lagi beliau sendiri telah mempelawa mereka yang hadir untuk
berjumpa dengannya jika ada sebarang pertanyaan dan persoalan.
Jika budaya kurang sihat ini tidak diberhentikan,
dalam masa yang singkat saja ada kemungkinan Malaysia bakal menyaksikan
rakyatnya hilang identiti sebagai sebuah masyarakat dunia yang tinggi
nilai-nilai kesopanan dan kesusilaannya.
Sudah tiba masanya baik Kerajaan mahupun barisan
pembangkang mengambil langkah untuk memastikan rakyat diberikan kesedaran
tentang peri pentingnya budaya menghormati antara satu sama lain dengan kembali
kepada ajaran agama masing-masing sebagai asasnya dan Rukun Negara sebagai
sebahagian daripada panduan kerana kita merupakan pewaris generasi masa lampau
yang tentunya mahu melihat kita hidup dalam budaya Timur walaupun kehidupan kita
sudah jauh maju ke hadapan dan standing dengan negara maju.
Illya Salehudin
Jaafar
Mantan
Presiden Kesatuan Kakitangan LTAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan