Jumaat, 9 Jun 2017

MAKNA SETIAP RANGKAP DALAM SOLAT

Mintak maaf semua. Untuk sama-sama ulangkaji. Ada orang dah solat berpuluh tahun, tapi still tak tahu maksud atau makna bacaan dalam solat yang diorang buat (ramai sebenarnya). Tak hairan la kalau tak kusyuk dalam sembahyang. Oleh itu, marilah kita renung-renungkan dan paham-pahamkan setiap rangkap yang kita sebut sewaktu kita solat

Takbiratul-Ihram / Takbir:
Allah Maha Besar.

Doa Iftitah:
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah:
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika
rukuk:
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika
bangun dari rukuk:
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika
iktidal:
Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika
sujud:
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika
duduk di antara dua sujud:
Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika
Tahiyat Awal:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika
Tahiyat Akhir:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Semoga bermanafaat utk kita bersama!

"ALLAH MENJAWAB AL-FATIHAH KITA"

Banyak sekali orang yang tegesa-gesa ketika membaca Al-Fatihah di saat solat tanpa toma'ninah, dan seakan-akan ingin cepat menyelesaikan solatnya.

Padahal di saat kita selesai membaca satu ayat dari surah Al-Fatihah, ALLAH menjawab setiap ucapan kita.

Dalam Sebuah Hadits Qudsi Allah SWT ber-Firman:

"Aku membahagi al-Fatihah menjadi dua bahagian, untuk Aku dan untuk Hamba-Ku."

■ Ertinya, tiga ayat di atas Iyyaka Na'budu Wa iyyaka nasta'in adalah Hak Allah, dan tiga ayat ke bawahnya adalah urusan Hamba-Nya.

■ Ketika Kita mengucapkan "AlhamdulillahiRabbil 'alamin".

Allah menjawab: "Hamba-Ku telah memuji-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan "Ar-Rahmanir-Rahim".

Allah menjawab: "Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan "Maliki yaumiddin".

Allah menjawab: "Hamba-Ku memuja-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan “Iyyaka na’ budu wa iyyaka nasta’in”.

Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan Hamba-Ku.”

■ Ketika kita mengucapkan “Ihdinash shiratal mustaqiim, Shiratalladzinaan’amta alaihim ghairil maghdhubi alaihim waladdhooliin.”

Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan hamba-Ku. Akan Ku penuhi yang ia minta.” (Hadis Riwayat Muslim dan At-Tirmidzi)

■ Berhentilah sejenak setelah membaca setiap satu ayat.

Rasakanlah jawaban indah dari Allah kerana Allah sedang menjawab ucapan kita.

■ Selanjutnya kita ucapkan "Aamiin" dengan ucapan yang lembut, sebab Malaikat pun sedang mengucapkan hal yang sama dengan kita.

■ Barangsiapa yang ucapan “Aamiin-nya” bersamaan dengan para Malaikat, maka Allah akan memberikan Ampunan kepada-Nya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud)

Sahabat jika artikel ini bermanfaat silakan dikongsikan, sampaikan walau satu ayat

Sabda Rasulullah SAW;

"Siapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang membaca mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala walaupun sudah tiada."
(Hadis Riwayat Muslim)

Ahad, 27 November 2016

PROJEK PEMBENTUNGAN LANGAT MENGUNDANG BAHAYA


Cadangan Pembinaan Langat Centralised Sewage Treatment Plant (CSTP) Dan Penyambungan Rangkaian Paip Pembetungan Di Kawasan Tadahan Lembangan Sungai Langat Secara Reka dan Bina adalah dialu-alukan oleh penduduk di kawasan Langat dan Kajang. Projek ini telah dimulakan sejak 20 November 2015 dan dijangka siap pada 19 Oktober 2020.

Namun didapati kerja-kerja mengorek lubang besar bagi pembinaan terowong di kawasan yang terlibat seperti di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana dan lain-lain kawasan didapati telah dibuat ditengah-tengah jalan.

Tindakan mengorek lubang besar di tengah-tengah telah menyebabkan jalan 4 lorong pergi balik telah menjadi 2 lorong dan ini menimbulkan bahaya kepada pengguna jalanraya. Bayangkan jalan 2 lorong tiba-tiba menjadi 1 lorong dan tanda-tanda amaran berhubung 2 lorong menjadi 1 lorong tidak dipasang dengan sempurna. Dan keadaan ini lebih berbahaya apabila menggunakan jalan di waktu malam. Ini adalah kerana lampu yang dipasang adalah betul-betul di kawasan kerja-kerja korekan dijalankan dan bukannya 500 meter sebelum kawasan korekan.

Kita tidak mahu hanya selepas kejadian kereta atau motosikal terhumban dalam lubang tersebut dan berlaku kehilangan nyawa barulah tindakan pencegahan hendak diambil. Memandangkan tiada Pengawal Keselamatan ditempatkan di kawasan kerja-kerja tersebut dan berhampiran dengan kawasan perumahan ia juga mengundang risiko kepada kanak-kanak yang mungkin tertarik untuk mendekati kawasan tersebut dan mengundang musibah.

Sepatutnya pihak pemaju dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) perlu memastikan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan berikut diambil.

i)                    Melebarkan tepi jalan supaya jumlah lorong sedia ada kekal dan tidak menimbulkan kesesakan dan bahaya kepada pengguna.

ii)                  Meletakkan papan tanda dan lampu yang mencukupi pada jarak yang sesuai dan mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan seperti MPKJ dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

iii)                 Meletakkan Pengawal Keselamatan di kawasan kerja korekan lubang dibuat.

Memandangkan kerja-kerja ini dijangka siap 5 tahun lagi maka langkah-langkah keselamatan perlu diutamakan demi keselesaan dan keselamatan penduduk, lebih-lebih lagi banyak aduan berhubung kegusaran yang sama telah pun dimajukan oleh penduduk kepada pihak berkuasa tempatan terutama MPKJ.

 

Illya Salehudin Jaafar
SUAKASIH BTHO CHERAS

Jumaat, 30 September 2016

TAHAN KERANA RAKUS

Tragedi September 2016
Dikala keseronokan bekerja
Telah lama direntap
Tak kala virtago senantiasa menanti
Mana satu harus dikejar
Bekerja untuk kelancaran operasi
Atau melayan pertanyaan
Yang tak pernah sudah-sudah
Bertalu-talu dari penguasa rakus

Yang salah tetap salah
Tindakan punitif harus berhemah
Kita mudah ungkapkan
Sedangkan Nabi ampunkan umat
Tapi bila kuasa dalam gengaman
Tergamak hukum kawan-kawan
Bukan dengan nasihat
Tapi dengan kata nista keji

Dikala kawan terkial-kial
Mencari jawapan terbaik
Dalam tangisan yang hampir berhenti
Tiba-tiba langit berdentum
Guruh dan panah terus bermaharalela
Tahan Tahan Tahan
Tangisan menderaikan air mata

Hinakan mereka
Kenapa mereka harus diperlakukan begini
Menghampiri sahaja sudah salah
Inikan pulak nak masuk
Perlukan keizinan dari penguasa
Yang dulunya rakan baik mereka sendiri

Jenayah apakah ini
Betulkan ini caranya
Diperlayan begini rupa
Hanya ALLah Maha Mengetahui

Carilah didalam Al Quran
Pasti kita temui
Manusia yang cerdik dalam dunia
Bukan manusia yang dikhayalkan
Dengan nikmat dunia
Bukan manusia yang rakus
Mengejar pangkat dan kuasa
Tapi manusia yang mengejar Padang Mahsyar
Itulah manusia yang cerdik

Khamis, 11 Ogos 2016

CEMERLANG JADIAN

Anugerah Khidmat Cemerlang
Jumlah diberi boleh dibilang
Dulu dua diangkat gemilang
Sekarang makin ramai bilangan
Yang terima pulak kurang orang

Pekeliling APC Kerajaan kata
8% pekerja layak terima kuota
Tapi tidak dijadikan panduan kita
Maka jadilah satu tiap katogerinya

Dikaji ditapis dibuat kajian
Yg tak dapat pula meroyan
Bukan meroyan sebarang meroyan
Tapi ada sebab kejadian
Kerna yang dapat bukan semua gemilang
Tapi ada yang Cemerlang Jadian

Janji nak beri guna formula bumiputera
Tapi dipakainya metokrasi yang sah bergelora
Tambah pahit ikut selera
Semakin ceramuk semakin sengsara

Dibuat kesimpulan dikaji dulu
Nak cemerlang MC lah selalu
Balik awal biar selalu
Walaupun rakan tengok berbulu

Rumah siap pahat berbunyi
Disangka habis AKC staff tak berbunyi
Tidur malam penguasa senyap sunyi
Tapi terkejut kilat halilintar membelah sunyi

EL dijadikan senjata alasan
Menolak staff yang tulen cemerlang
Tapi bila EL jadi kajian
Nyata hanya mereka yang tak punyer ibu dan ayah
Atau tak punya anak dan isteri
Yang tak ambil EL

Tapi jika mereka semua ada ibu dan ayah
Punyer anak dan isteri
Tapi tak pernah ambil EL
Itu tandanya mereka telah hilang kasih sayang
Dan telah hilang sifat kemanusian.

Jumaat, 15 Januari 2016

SELOKA NASIHAT BUAT UMAT

SELOKA NASIHAT BUAT UMAT

Islam itu mudah,
Tapi jangan dipermudah-mudah.

Islam menuntut kita menjadi pandai,
Tapi tidak boleh memandai-mandai.

Islam suruh kita mengasihi binatang,
Tapi jangan berperangai binatang.

Islam suruh kita makan untuk hidup,
Bukan hidup untuk makan.

Islam suruh kita menjadi unggul,
Bukan hanya menjadi tunggul.

Islam suruh kita menjadi peka,
Bukannya buat pekak sahaja.

Islam suruh kita cergas,
Bukannya duduk bermalas-malas.

Islam suruh kita berkasihan belas,
Tapi bukan mencari belas.

Islam itu sudah cantik,
Tidak perlu lagi diletak kosmetik.

Islam itu bersifat rabbani,
Mendidik insan mengenal ilahi.

Islam itu bersifat alami,
Ukhuwwah terjalin, mahabbah bersemi.

Islam itu bersifat lengkap,
Kehidupan teratur, pegangan mantap.

Islam itu jalan keselamatan,
Selagi ia dijadikan pedoman.

Maruah Islam wajib dibela,
Dari ancaman musuh durjana.

Islam itu wajib diperjuangkan,
Agar terbina generasi beriman.

Oleh : Ustaz Zainudin
Pengerusi
Lajnah Dakwah BPPWP.
16 Januari 2016.

Ahad, 20 Disember 2015

Sakit Tanda ALLah Sayang Kita vs KPI Cuti Sakit

Apabila kita sakit....ianya tanda ALLah masih sayangkan kita suruh kita ingat padaNya.

Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Tidaklah seorang muslim menderita sakit kerana suatu penyakit melainkan Allah menggugurkan kesalahan-kesalahannya dengan penyakit itu, sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya". (HR Bukhari, Muslim)

Bukan macam sesetengah pembuat dasar yang ingat sakit ni manusia cari sendiri sehingga wujudkan hukuman dalam bentuk KPI Cuti Sakit....kesian tengok mereka yang cetek fikiran ini yang merasakan diri begitu hebat dalam memperkenalkan polisi yang tak masuk akal ini.

Polisi ini jika diamati nyata bertentangan dengan polisi Kerajaan yang digariskan dalam Bab C Pekeliling Perkhidmatan yang membicarakan soal Cuti.

Dalam bab ini nyata polisi Kerajaan, tiada langsung tindakan punitif atau "punishment" ke atas penjawat awam bila penjawat awam menghadapi sakit.

Kerajaan menjaga pegawainya dan mengambil berat serta perihatin terhadap kebajikan pegawainya hinggakan tindakan akhir yang diambil kepada pegawai yang benar-benar sudah tak boleh bekerja akibat sakit teruk tidak ditunjukkan jalan keluar begitu sahaja. Sebaliknya diberhentikan akibat kesihatan dengan ganjaran-ganjaran yang boleh membawa keselesaan kepada penjawat awam yang ditamatkan perkhidmatan.

Ini berbeza dengan pelaksanaan KPI Cuti Sakit yang nyata menekan pekerja dan bersifat "punishment " yang menghukum pekerja.

Sudahlah sakit ditekan lagi. Bagaimana pekerja nak cepat sembuh cepat dalam tekanan. Hinggakan ada pekerja yang takut ambil Cuti Sakit atas alasan demam sikit-sikit sahaja yang akhirnya membawa maut. Penguasa ini lupa demam ada pelbagai demam yang boleh bawa maut.

Kononnya deman tak boleh cuti banyak. Deman hanya sakit biasa.

Wahai penguasa yang cipta KPI Cuti Sakit, ingatlah manusia tidak cari sakit tapi ALLah berikan sakit agar kita ingat ALLah SWT bukannya untuk ingat KPI Cuti Sakit. Waallahualam.

Ahad, 22 November 2015

KONTIJEN LTAT HARI KEBANGSAAN 2015



Sambutan Hari Kebangsaan 2015 bertemakan Sehati Sejiwa telah diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 2015.

LTAT turut terlibat di dalam Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di mana seramai 16 orang pegawai kakitangan LTAT yang diketuai oleh Encik Illya Salehudin Jaafar selaku koordinator telah terlibat di dalam acara perbarisan dan perarakan Perbarisan hari Kebangsaan 2015 di bawah “Kontinjen Sektor Swasta” yang terdiri daripada GLIC dan GLC.

Kontinjen Sektor Swasta merupakan kontinjen yang paling ramai penyertaan di mana kekuatannya terdiri daripada 650 orang peserta. Kontinjen Sektor Swasta ini diketuai oleh pihak Khazanah Nasional Berhad dan Tenaga Nasional Berhad telah diberikan tugasan bagi menyelaras dan memastikan kontinjen Sektor Swasta berjaya melakukan perbarisan yang terbaik di dalam Sambutan hari Kebangsaan 2015.

Selain daripada LTAT, kontinjen ini turut disertai 30 agensi lain antaranya Affin Holdings Berhad, Maybank,TNB, Pharmaniaga, Prasarana dan KWSP.

Manakala pegawai/kakitangan LTAT yang menyertai kontinjen Sektor Swasta adalah seperti berikut:

BIL
NAMA
JABATAN
1.
Muhammad Qaiyum
JTMP
2.
Ahmad Fareez
JTMP
3.
Nas Atifahana Mohamad Nasir
JTMP
4.
Nurmaisara Marudin
PSPK
5.
Mohd Hisyam Abdullah
PSPK
6.
Siti Suhaida Mohd Noor
PSPK
7.
Hartini Bukhari
JAD
8.
Zokefle Mohamed Nor
PP(PP)
9.
Sharafuddin Semsudin
Kew
10.
Nazre Salim
Kew
11.
Muhammad Iftitah
HEKP
12.
Nabila Natasha
HEKP
13.
Shahrul Nizam
PTM
14.
Hazril Ismail
PTM
15.
Sharil Tahir
PTM
 

Bilangan hari yang terlibat bagi sesi latihan, raptai dan perbarisan pada Hari Kebangsaan adalah selama 9 hari seperti berikut:

Bil
Tarikh
Masa
Tempat
Bil Hari
1.
17 hingga 19 Ogos 2015
8.00 am - 1.00 pm
Kelab Kilat TNB Bangsar
3
2.
24 hingga 25 Ogos 2015
8.00 am – 1.00 pm
Kelab Kilat TNB Bangsar
2
3.
27 hingga 29 Ogos 2015 (Raptai Penuh)
7.30 am – 1.00 pm
Dataran Merdeka
3
4.
31 Ogos 2015
6.00 am – 1.00 pm
Dataran Merdeka
1


Melalui penyertaan di dalam latihan, raptai dan Hari Kebangsaan selama 9 hari, pegawai/kakitangan muda LTAT dapat menimba ilmu yang berguna terutama terpaksa melalui latihan ala tentera bagi memastikan kontinjen Sektor Swasta dapat memberikan persembahan yang terbaik semasa Hari Kebangsaan 2015.

Mereka terpaksa berjemur dalam panas dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan berjalan sejauh 2 kilometer sehari dalam latihan yang amat memenatkan tetapi dari riak wajah mereka kesemuanya gembira dan komited dalam melaksanakan arahan yang diberikan.

Selain daripada itu, mereka juga dapat mengenali peserta-peserta daripada agensi lain dan bertukar-tukar fikiran dan pengalaman berhubung pelbagai perkara dan yang lebih penting bagaimana 30 agensi yang berlainan budaya korporat dapat disatukan di bawah satu payung “Kontinjen Sektor Swasta”.

Mengambil kata-kata Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin, Senior General Manager (Corporate Affairs and Communications) TNB “Yang nyata bukan semua orang berpeluang dapat menyertai Perarakan Hari Kebangsaan ini dan kita sepatutnya bangga terpilih menjadi salah seorang peserta yang dapat menunjukkan kesetiaan dan khidmat bakti kita kepada negara Malaysia yang kita cintai”.

Syabas buat pasukan LTAT dan ternyata penat lelah latihan serta penyertaan di dalam Hari Kebangsaan 2015 di bawah kontinjen Sektor Swasta, GLIC dan GLC akhirnya berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan media seperti Utusan Malaysia mengiktiraf kontinjen Sektor Swasta, GLIC dan GLC adalah pasukan perarakan yang terbaik.