Tuan
Hj Ahmad Fakhrizzaki Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif LTAT (1974 – 2001) merupakan
seorang yang tegas dan keras dalam menentang penubuhan KKLTAT pada akhir tahun
1998. Ini terjemahkan melalui tindakan-tindakan beliau, sehinggakan apabila
beliau mengadakan satu forum di Dewan LTAT, penceramah jemputannya Dr Hassan
Ali, Presiden Jati sekarang dengan sinisnya memaklumkan bahawa Kesatuan tidak
sepatutnya wujud di dalam organisasi seperti LTAT.
Walaupun
beliau begitu tegas tetapi beliau sebenarnya ada sifat-sifat penyayang terhadap
pekerja LTAT. Saya masih ingat bagaimana setelah KKLTAT bekerjasama rapat dalam
menzahirkan idea Tuan Haji Ahmad berhubung cadangan bayaran gratuiti bagi
pesara-pesara LTAT. Beliau begitu sedih sangat apabila cadangan pembayaran Gratuiti
ini ditolak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas prinsip mana-mana pegawai
yang menikmati Skim KWSP adalah tidak layak menikmati Gratuiti. Ketika itu
semua cadangan penambahbaikan Skim Perkhidmatan LTAT perlu melalui tapisan dan
kelulusan JPA.
Namun
sebagai seorang pejuang bangsa Melayu dan Islam di bumi Malaysia ini Tuan Haji
Ahmad, tidak pernah mengenal erti mengalah dan jemu dalam perjuangan. Beliau
merupakan pengasas Yayasan Anda Akademik pada awal tahun 1970 an bagi membantu
ramai anak-anak orang Melayu yang miskin dan gagal dalam pelajaran SPR atau SPM
untuk meneruskan pelajaran dan mengambil semula peperiksaan tersebut dengan
yuran bayaran yang cukup rendah. Saya merupakan antara pelajar Yayasan Anda
Akademik pada tahun 1983 yang berjaya lulus SPM dengan baiknya setelah kandas
SPM pada tahun 1982. Saya merupakan pelajar dari setinggan Kampung Berembang
Ampang yang hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Berbalik
pada isu gratuiti ini, Tuan Haji Ahmad telah memanggil saya ke biliknya bagi memaklumkan
perkhabaran sedih tentang penolakan pelaksanaan Gratuiti di LTAT buat kali ke
dua oleh JPA. Tanpa menoleh ke belakang,
Tuan Haji Ahmad mengatakan kita harus meneruskan kelangsungan perjuangan ini
dan sesuatu ayat atau perkataan itu jika ditukar boleh membawa kejayaan
walaupun atas tujuan yang sama.
Beliau
maklumkan kalau sudah 2 kali Grafiti di tolak oleh JPA kerana apabila bicara
sahaja soal ini, JPA akan pegang prinsip jika carum KWSP tidak layak Gratuiti,
apa kata kita tukar perkataan Gratuiti yang menjadi penghalang kepada tuntutan
kita kepada perkataan “Bayaran Sagu Hati Tamat Perkhidmatan”.
Tuan
Haji Ahmadlah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan perkataan dan konsep Bayaran
Sagu Hati Perkhidmatan (BSTP) dan akhirnya sekali BSTP dibawa semula kepada JPA
untuk kelulusan.
Namun
Allah Maha Besar dan takdir Allah tidak siapa boleh menolak. Tuan Haji Ahmad akhirnya
bersara wajib pada Januari 2001 dan tidak sempat menikmati kemudahan ini kerana
hanya selepas beliau bersara barulah BSTP ini diluluskan pelaksanaannya pada
awal tahun 2002 dan berkuat kuasa mulai tahun tersebut. Ini bermakna Tuan Haji
Ahmad yang bersara tahun 2001 tidak layak menikmati BSTP. Kadar yang diluluskan
ketika itu adalah 5% X Gaji Akhir X Tempoh Bulan Perkhidmatan di LTAT.
Kejayaan
LTAT memperoleh kelulusan BSTP ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana
hanya LTAT sahaja yang menikmati BSTP ketika itu, dan selepas lebih 10 tahun barulah
ada Agensi Badan Berkanun Yang Di Asingkan memperoleh kelulusan pelaksanaannya dan
sehingga kini masih ada juga yang tidak menikmatinya. Tentunya LTAT dijadikan “benchmark”
dalam perjuangan mereka.
Semasa
saya menjadi Presiden KKLTAT dalam era Tuan Haji Ahmad selaku Timbalan Ketua
Eksekutif, antara perkara yang turut menjadi isu hangat adalah berhubung pelaksanaan
kaedah bayaran Kenaikan Gaji Tahunan yang pada mulanya agak tidak sistematik.
Tuan Haji Ahmad sering menegur bagaimana mahu memberi kenaikan gaji yang tinggi
pada pegawai yang tidak cemerlang. Beliau akhirnya memaklumkan bahawa
pengurusan telah menetapkan kaedah pembayaran gaji yang sistematik berdasarkan markah
yang diberikan oleh Ketua Jabatan masing-masing seperti berikut:
MARKAH PENILAIAN
|
PERATUS KENAIKAN
GAJI
|
96 hingga 100
|
8%
|
90 hingga 95
|
7%
|
80 hingga 89
|
6%
|
70 hingga 79
|
5%
|
Di bawah 70
|
4%
|
Pelaksanaan
proses pemberian kenaikan gaji berdasarkan pencapaian KPI Individu dengan
berpandukan jadual di atas telah berjaya meningkatkan moral dan semangat
pekerja di LTAT sehingga LTAT berjaya memperoleh dan menjana pendapatan yang
baik dan memulangkan kadar dividen yang tinggi kepada pencarum LTAT.
Beliau
sebenarnya mengiktiraf kehadiran KKLTAT di LTAT di mana saya masih ingat kata-kata
beliau tentang perjuangan LTAT yang akhirnya banyak memberi manfaat dan faedah
bukan sahaja untuk ahli KKLTAT malahan pihak pengurusan turut menikmati
kemanisannya.
Saya
amat terharu apabila beliau menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk “A Day With
Prophet” karya Ahmad Von Denfer yang mengandungi 40 perkara tentang kehidupan
harian Rasulullah bermula dengan perkara 1. To Begin in the Name of Allah dan
berakhir dengan perkara 40. Remembrance of Allah. Buku ini beliau beli di
Madinah pada Disember 2000.
Kini
Allahyarham Tuan Haji Ahmad telah tiada lagi. Jasanya pada kita amat besar.
Takdir Allah tak sapa menduga. Jika kita berbuat baik akhirnya walaupun kita
telah tiada di dunia ini tetap Allah beri balik yang terbaik untuk insan-insan
tersayang yang masih hidup di dunia.
Allah
Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Penyayang akhirnya Bayaran Sagu Hati
Tamat Perkhidmatan yang diperjuangkan oleh Allahyarham dapat dinikmati oleh
isteri dan anak-anaknya. Pasti mereka bersyukur dan berterima kasih kepada
Allah SWT dan arwah kerana sebenarnya Allah tidak pernah memungkiri janji pada
mereka yang berbuat baik di muka bumi ini.
Terima
kasih buat Tuan Haji Ahmad Fakhrizzaki Abdullah kerana melahirkan Yayasan Anda
Akademik untuk saya dan golongan miskin di bandar raya Kuala Lumpur dan
menghadiahkan BSTP bukan sahaja buat semua warga LTAT tetapi buat semua agensi
Badan Berkanun Yang Di Asingkan. Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan