Jumaat, 24 Januari 2014

LAMANYA TAK BERKARYA DALAM BLOGKU

2014 kini hampir sebulan
Terkejut ku melihat
Bila blogku tiada karya terbaru
Manakan tidak ini berlaku
Dikala terlalu sibuk urusan pejabat

Dalam kesibukan kerja
Aku sempat ke Uitm Perlis
Anak bujangku tamat pengajian
Semestar 5

Dan tentunya kesempatan ke utara
Ku gunakan melawat bonda mertua
Rupanya Dr Zurinah Hassan
Penyair tanahair berada sama
Katanya mengambil pingat Dato
Kurnian DYMM Sultan Kedah

Secoret catatan buat kenangan
Sekeping gambar buat tatapan
Semoga lepas ini
Aku mula berkarya
Senjata meluahkan pandangan
Dan cadangan
Demi anak generasi akan datang

Jumaat, 18 Oktober 2013

Tahu Hak Tidak Serong

Tidak mengampu
Tidak kelontong
Tahu hak
Tidak serong

Jaga Mak
Jaga Ayah
Hormati pemimpin
Hormati ketua

Perjuangan perlu diteruskan
Walaupun bukan atas nama pertubuhan
Perjuangan bukan untuk peribadi
Perjuangan ini untuk masyarakat
Tidak kira masyarakat umum hatta pekerja

Kerna percayalah
Tiap yang baik
Ada keberkatannya
Walaupun ada rintangan
Yg melintang penuh berduri
Akan ditempuhi walaupun terluka

Kerana luka itu
Pasti akan sembuh
Sembuh dik ubat kejayaan
Yg digapai dan tercapai

Nukilan
Illya
Auditorium parcel d putrajaya

Isnin, 1 Julai 2013

SUSULAN PERLAWANAN AKHIR KELANTAN vs JOHOR DT - PENJUALAN TIKET BOLA SEPAK PERLU TRANSFORMASI



Perlawanan akhir di antara Kelantan dan Johor DT telah membuka mata banyak pihak berhubung pelbagai  isu berkaitan tiket bermula dengan penjualan sehingga ke hari perlawanan.

Seawal jam 6.30 petang tempat duduk di dalam Stadium Bukit Jalil telah pun penuh dan ini memaksa baki penonton duduk mengisi tangga-tangga yang ada dan ruang-ruang kosong di segenap penjuru stadium, malahan  ada  yang berdiri sepanjang perlawanan akibat tempat duduk yang telah penuh sesak. Jumlah mereka yang duduk di tangga dan berdiri sudah pasti mencecah puluhan ribu orang.

Apakah penjualan tiket telah dibuat melebihi kapasiti sehingga YB Menteri Belia dan Sukan meminta FAM campur tangan dan menangani masalah ulat tiket dan Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah berkata tugas pertama Setiausaha FAM yang baru mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu pelaksanaan penjualan tiket terutama membabitkan perlawanan penting anjuran badan induk bola sepak negara.

Bayangkan mereka yang datang jauh dari selatan tanah air bagi menyokong pasukan Johor DT dan jauh dari Pantai Timur bagi menyokong pasukan Kelantan yang pada mulanya terpaksa berasak-asak membeli tiket di negeri masing-masing dan sudah terbayang menyaksikan perlawanan akhir dengan selesa di Bukit Jalil terpaksa berhimpit-himpit duduk di tangga-tangga Stadium dengan kehangatan panasnya. Bayangkan betapa kecewanya mereka dan bayangkan yang kali pertama ke stadium apakah mereka akan datang lagi jika pasukan negeri mereka memasuki perlawanan akhir. FAM perlu sedar ini bukan kali pertama ia berlaku di Stadium Bukit Jalil mahupun Stadium Shah Alam.

Sebagai penyokong bola sepak tanah air, sudah lebih 10 tahun saya pasti berada  di stadium bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia dan perlawanan-perlawanan penting melibatkan pasukan negara. Malangnya keadaan sebegini sudah berlarutan sejak 7 tahun yang lepas.  Tambah merumitkan keadaan, ada penonton yang membawa bersama anak kecil dari seusia bayi hingga ke 12 tahun ke dalam stadium seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir Piala FA yang lepas.

Sehubungan dengan itu FAM harus mengambil tindakan yang drastik dengan mentransformasikan sistem pengurusan penjualan tiket dan memperkemaskan aspek kawalan keselamatan penonton. Dengan wawasan 2020 semakin menjengah kita apakah sistem pengurusan tiket ini melambangkan Malaysia yang maju. Sudah tiba masanya FAM menggunakan sistem penjualan tiket “online” dengan nombor tempat duduk seperti yang dilaksanakan di negara-negara maju di mana penonton tidak perlu risau lagi untuk berasak-asak bagi membeli tiket dan tidak perlu risau tiada tempat duduk kerana nombor tempat duduk telah pun dicetak di dalam tiket.

Kalaulah panggung wayang boleh melaksanakan sistem ini apakah FAM tidak boleh melaksanakannya. Sistem pembelian tiket secara online dengan nombor tempat duduk sudah pasti dapat meleraikan pelbagai isu bukan sahaja isu tiket malahan sudah pasti dapat memberikan keselesaan kepada penonton. Lebih penting kita dapat membudayakan masyarakat kita setaraf dengan negara-negara maju dan ia dapat memartabatkan Malaysia di mata dunia.

FAM juga harus menguatkuasakan undang-undang bagi melarang penonton membawa bersama bayi dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan bola sepak terutama perlawanan penting atas faktor keselamatan. Sementara tiada kejadian yang buruk berlaku setakat ini, langkah pencegahan melalui penguatkuasaan undang-undang perlu dibuat. Jangan sampai kita membudayakan “sudah terjadi baru nak bertindak”.  

Minat penonton terhadap Liga Tempatan harus disemai dan benih-benih yang sudah bercambah mekar ini biarlah ia terus mekar dan janganlah FAM terleka sehingga terlupa yang penonton Malaysia dahagakan keselesaan kerana apalah erti Malaysia maju kalau stadiumnya bersistem penjualan tiket konvensional. Dengan pelantikan Setiausaha FAM yang baru kami penyokong pasukan Malaysia pasti berdiri teguh di belakang FAM jika transformasi ini dilaksanakan.

Selasa, 11 Jun 2013

LAGU JIWANG ROCK - GUA CAYA LU

Beb,

Kalau lu masih ingat tahun 88 sampai 98, lagu rock kira gempak masih tu.

Gua masih ingat muzik-muzik TV3, rock sapu bersih semua katogeri. Cayalah

Kalau lu minat lagu rock, gua ada kasi letak 5 lagu yang gua rasa layan beb.













Sabtu, 23 Mac 2013

ESQ Cetusan Makrifat 165.3gp

SempenaKursus ESQ 165 - LTAT di Royale Damansara Hotel


Rabu, 20 Februari 2013

PRU13 - Lamanya Tak menulis Di Blog

Lamanya tak menulis di blog. Mungkin sebab demam PRU13 sudah bermula.Ingatkan hujung bulan Disember 2012 tapi hingga kini 21 Februari 2013 masih tak kelihatan anak bulan PRU13.

Bendera Pakatan tak kelihatan lagi.Yang kelihatan bendera BN telah mula dinaikkan.

Agak-agaknya bila ler PM nak umumkan pembubaran Parlimen


Selasa, 20 November 2012

DAIFNYA TANAH PERKUBURAN BANDAR TUN HUSSEIN ONN







Penduduk Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) Cheras sebenarnya  bersyukur dan berterima kasih kepada pemaju perumahan Udaland Sdn Bhd kerana melaksanakan tanggungjawab menyediakan tapak bagi Perkuburan Islam BTHO di ketika  tidak ramai pemaju perumahan yang menyediakan kemudahan sebegini.
   
Setelah 15 tahun BTHO dibuka dan dalam kerancakan pembangunan perumahan, pemaju Udaland Sdn Bhd telah pun menyiapkan sebuah masjid BTHO berhampiran kawasan Lake View BTHO. Tentunya kami di BTHO berasa bersyukur di atas kemudahan ibadah ini namun begitu setiap kali berlaku kematian penduduk BTHO akan mula membicarakan soal tanah perkuburan BTHO yang daif.

Tanah Perkuburan BTHO telah mula dibuka dan digunakan pada sekitar tahun 2005 dan sehingga kini dianggarkan sudah terdapat hampir 100 perkuburan dan diuruskan oleh Badan Khairat dan Kematian BTHO.

Tanah perkuburan ini asalnya merupakan tapak pembuangan sisa bahan-bahan binaan dan menurut beberapa penduduk pada asalnya pihak pemaju telah pun membuat kerja-kerja menambak tanah-tanah yang elok setinggi 5 kaki bagi memastikan tanah perkuburan dapat diuruskan dengan baik namun terdapat dakwaan mengatakan bahawa terdapat pihak yang bertanggungjawab telah mencuri tanah-tanah yang ditambak dan ini menyebabkan tapak perkuburan tersebut kembali kepada keadaan asal apabila ia dibuka untuk digunakan.

Kubur yang penuh bahan-bahan sisa bahan-bahan binaan terdiri dari batu, plastik, simen, kayu dan lain-lain bahan buangan sehingga tayar juga ditemui semasa kerja-kerja mengali kubur dibuat. Ini menyebabkan kubur yang digali tidak kelihatan cantik sebaliknya begitu teruk keadaannya dan paling menyedihkan apabila tanah yang bercampur batu-batu sisa bahan binaan ini digunakan semula bagi menimbus jenazah yang dikebumikan.  Keadaan ini menyebabkan saudara-mara dan sahabat handai semati yang hadir semasa pengebumian mula menyangka perkara-perkara yang tidak baik kerana mereka tidak tahu bahawa tanah perkuburan ini sememangnya dipenuhi sisa bahan-bahan binaan.

Kerja-kerja mengali kubur terpaksa pula terpaksa dibuat secara manual apabila bilangan kubur telah bertambah. Ini adalah kerana jika mesin/jentolak digunakan ditakuti boleh menyebabkan berlaku pergerakan tanah pada kubur sedia ada yang bersebelahan disebabkan terdapatnya sisa bahan-bahan binaan seperti batu yang besar.

Bayang betapa sukarnya pengali kubur mengali kubur-kubur ini dan untuk bagi menyediakan satu kubur mengambil masa lebih 5 jam kerana jika terdapat batuan yang besar ia perlu di pecah kecilkan sebelum boleh dibawa keluar. Liang lahad juga sukar dibuat disebabkan perkara yang sama. Keluhan pengali kubur selama hampir 8 tahun hanya diberikan perhatian ketika berlakunya kematian dan selepas itu tiada tindakan diambil dan senyap begitu sahaja.

Selain daripada itu, perkuburan BTHO juga dipenuhi semak samun dan semakin hari semakin tebal semaknya. Pemandangan yang cacat ini adalah disebabkan ketiadaan pengurusan perkuburan BTHO yang sistematik. Walau bagaimanapun kesalahan tidak boleh diletakkan kepada Badan Khairat dan Kematian BTHO kerana penduduk BTHO sebenarnya perlu sama-sama turun padang dan membantu Badan ini.

Sehubungan dengan itu, saya memohon jasa baik pemaju Udaland Sdn Bhd yang telah banyak menyediakan kemudahan untuk kami, agar sekali lagi atas nama Tanggungjawab Korporat Sosial dapat menghantar sekurang-kurangnya 2 lori tanah-tanah elok yang ada  di bukit berhampiran Suakasih milik Udaland ke tanah perkuburan BTHO untuk digunakan bagi kerja-kerja semasa menimbus jenazah.

Untuk jangka panjang selari dengan slogan Rakyat Di Dahulukan, adalah dipohon pihak Kerajaan khususnya Wakil Rakyat dapat turun melihat permasalahan ini dan dengan siapkan Masjid BTHO yang dijangka beroperasi sedikit masa lagi adalah dicadangkan juga pentadbiran Badan Khairat dan Kematian BTHO dapat diletakkan di bawah pengurusan masjid ini agar impian untuk melihat Perkuburan BTHO diuruskan setaraf Perkuburan Bukit Kiara dapat dicapai.


ILLYA SALEHUDIN JAAFAR
SUAKASIH BTHO CHERAS