Ahad, 15 Januari 2012

MSL - SELANGOR MENGATASI PERAK 1 - 0

Malaysia Super League aksi pertama Selangor di Stadium Bukit Jalil bermula dengan baik apabila menang ke atas Perak 1 - 0.


Sebenarnya Selangor boleh menambah bilangan gol jika pemain meneruskan rentakan kecemerlangan semasa aksi separuh masa pertama. 


Pemain importnya Lelo Mbele (Congo) masih belum dapat diturunkan dan saya bersama teman saya Matlin sempat menanyakan Mbele bila beliau boleh beraksi. Beliau maklumkan pada perlawanan seterusnya minggu depan beliau akan turun bermain. 
Untuk makluman, Mbele, 24, sebelum ini menghadirkan resah buat pasukan Selangor kerana belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan otot depan paha kirinya, Julai lalu, ketika menyarung jersi kelab Libya, Al-Nasr Benghazi. Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Mbele turun berlatih tanpa menunjukkan sebarang masalah selepas tiga minggu dia menjalani latihan pemulihan dan dijangka dapat diturunkan untuk perlawanan sebenar, tiga minggu lagi.



Selasa, 20 Disember 2011

Rahman Kutty - Warga LTAT Pertama Menang Emas Sukan Para Asean

Solo Indonesia, 6th Asean Para Games.

LTAT dan Team ProX Kajang begitu bangga dengan pencapaian En Abdul Rahman Kutty dengan pencapaian 2 emas dalam acara double dan trio bowling paada temasya kali ini.

Lebih manis ini merupakan penyertaan pertama kali beliau dalam sukan peringkat negara dan Asean. Dengan kejayaan 2 emas ini kita berharap En. Abdul Rahman dapat mewakili negara ke Temasya Para Olimpik di London tahun depan.

Tahniah buat saudara R


ahman Kutty

Rabu, 5 Oktober 2011

SEPTEMBER YANG SIBUK HINGGAKAN BLOG TAK DIKEMASKINI







Ogos dan September 2011, bulan paling sibuk untuk diriku hinggakan tak terkemaskini blog. Sekadar catatan bulan Ogos & September 2011, LTAT sibuk dengan persiapan Audit 5S, Majlis Berbuka Puasa, Majlis Aidil Fitri.

Diperingkat nasional, penglibatan sebagai Jawatankuasa Sekkretariat Sektor Swasta GLiC dan GLC bagi persiapan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 54 berserta Sambutan Hari Malaysia merupakan pengalaman manis bulan September 2011

Gambar menceritakan segala-galanya.

Ahad, 21 Ogos 2011

SYOR TUTUP TOL BATU 11 BUKTI PM PRIHATIN

DISIARKAN DI RUANGAN SURAT BERITA HARIAN MS 34 23 OGOS 2011

2 Ogos 2011, merujuk kepada tulisan saya “Kesesakan Susur Masuk Jalan BTHO Cheras” yang disiarkan di dalam ruangan Surat Berita Harian. Aduan saya berhubung kesesakan susur masuk dan keluar Bandar Tun Hussein Onn Cheras dan Cheras Perdana akibat pembukaan jalan pintas untuk keselesaan penduduk Bandar Mahkota Cheras yang menyebabkan kami menjadi mangsa akhirnya bakal menemui jalan penyelesaian.

Tindakan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kementerian Kerja Raya mengkaji kemungkinan memansuhkan satu daripada dua tol di Lebuh Raya Cheras-Kajang di Hulu Langat berikutan permohonan ADUN Semenyih kerana penduduk sekitar cukup terbeban apabila perlu membayar dua tol kendalian syarikat konsesi Grand Saga Tol Sdn Bhd, yang masing-masing pada kadar RM0.90 dan RM1.00 dalam jarak dua kilometer merupakan satu langkah yang bijak.

Kebijaksanaan ini dapat memberikan konsep “Menang-Menang” kepada penduduk Bandar Tun Hussein Onn/Cheras Perdana yang dianggap menjadi mangsa dan penduduk Bandar Mahkota Cheras dan penduduk Bandar Sg Long dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini berjuang untuk mendapatkan jalan pintas ini.

Sekiranya tol Grand Saga batu 11 yang dikenakan bayaran RM90 sen dapat ditutup masalah kesesakan di susur hampir pasti dapat dikurangkan dan bagi penduduk BTHO dan Cheras Perdana boleh menggunakan susur alternatif yang ke-2 iaitu di susur Balakong dan membuat pusingan patah balik untuk susur masuk ke BTHO/Cheras Perdana.
Dan sesuai dengan konsep 1Malaysia tindakan Perdana Menteri bagi memberi keselesaan kepada masyarakat berbilang bangsa sebenarnya dapat dicapai memandangkan penduduk di BTHO, Cheras Perdana, Bandar Mahkota Cheras, Sg Long terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa.

Dengan MRT bakal mewarnai Lebuh raya Grand Saga dan satu stesen BTHO yang mempunyai kemudahan parkir di wujudkan di sini, cadangan penutupan tol ini dilihat satu langkah bijak bagi memastikan tidak wujud kesesakan jalan raya sebaik sahaja MRT memulakan operasinya dalam jangka masa beberapa tahun lagi.
Akhir sekali walaupun perkara ini masih dalam peringkat kajian, saya suka merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat Perdana Menteri Malaysia.

ILLYA SALEHUDIN JAAFAR
BTHO Suakasih Cheras

Selasa, 2 Ogos 2011

KESESAKAN DI SUSUR MASUK JALAN KE BTHO CHERAS

Terbitan di ruangan Surat Berita Harian 2 Ogos 2011

Isu jalan masuk dari Lebuh Raya Grand Saga ke Bandar Mahkota Cheras bagi mengelak daripada membayar tol di Batu 11 menjadi hangat 4 tahun yang lepas. Pertelingkahan di antara pengendali Lebuh raya dengan penduduk memuncak apabila penduduk merobohkan benteng yang dibuat oleh pengendali Lebuh raya bagi membolehkan mereka menggunakan jalan pintas tanpa perlu membayar tol.

Isu ini sudah reda apabila akhirnya pengendali Lebuh raya mengalah dan membenarkan penduduk Bandar Mahkota Cheras menggunakan jalan pintas dan diwujudkan tambahan trafic light bagi kemudahan pengguna jalanraya. Sejak pembukaan jalan pintas tersebut, penduduk Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) sebenarnya menjadi mangsa berikutan timbulnya kesesakan jalanraya yang melampau bagi susur masuk ke BTHO. Pembukaan jalan ini menyebabkan kesusahan kepada penduduk BTHO.

Sebelum pembukaan jalan raya ini, penduduk BTHO tidak menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang melampau di susur masuk BTHO tetapi dengan pembukaan susur masuk Bandar Mahkota Cheras ini bukan sahaja susur jalan masuk malah susur jalan keluar BTHO ke Lebuh raya Grand Saga semakin bertambah buruk setiap hari.

Apakah akan jadi apabila stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn (dengan kemudahan parkir) siap nanti? Sehubungan dengan itu saya berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemaju Bandar Mahkota Cheras dan Majlis Perbandaran Kajang perlu mengambil inisiatif dan tanggungjawab bagi menyediakan jalan susur masuk bertingkat bagi penduduk BTHO yang telah dinafikan kenikmatan menggunakan Lebuh raya Grand Saga sejak jalan pintas susur masuk Bandar Mahkota Cheras dibuka.


ILLYA SALEHUDIN
Suakasih BTHO

Selasa, 19 Julai 2011

4 REMAJA DITAHAN KERANA MEROMPAK DI BANDAR TUN HUSSEIN ONN

Warga BTHO baik yang tinggal di Suasana, Suadamai, Suakasih, Primaya, Arca, Avenue dan kawasan sekitaran tentunya sejak kebelakangan ini agak gusar dan kurang selesa akibat berlakunya banyak kejadian pecah rumah, kecurian kasut dan paling dibimbangkan rompakan bersenjata.

Kes Pak Guard ditetak dilaporkan berlaku pada 13 Julai, kejadian rompakan di Arca, di Suadamai dan Suakasih semuanya baru kita dengar berlaku. Isu sama ada atau tidak sesuatu kawasan itu ada pengawal keselamatan tidak lagi relevan. Semua kawasan telah dibolosi.

Dalam pada kita rasa semacam perkara ini akan reda tiba-tiba surat khabar Utusan Malaysia dan Kosmo pada 17 Julai 2011 melaporkan berita lebih mengemparkan.
Empat remaja lelaki, dua daripadanya masih bersekolah merompak barang berharga dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM50,000 dari sebuah rumah dua tingkat di Bandar Tun Hussien Onn.

Paling tak disangka kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 petang bukannya pada waktu puncak merompak di BTHO iaitu lewat pagi (3 hingga 5 pagi), tengah hari pada hari bekerja (10 pagi hingga 2 petang) di kala kita semua di BTHO alpa melayan perlawanan bola sepak Malaysia melawan Liverpool. Tergamam juga kita tengok pasukan ini boleh jaringkan gol bertaraf “Word Class”.

Rumah yang dirompak pula dilaporkan mangsa tiada di rumah kerana keluar bersama keluarganya menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Liverpool dan Malaysia di Stadium dan tinggallah pembantu rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab, suspek dipercayai mengetahui selok belok kediaman mangsa yang ketika itu dijaga oleh seorang pembantu rumah wanita berusia 41 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 20 tahun dikatakan memasuki rumah mangsa melalui pintu tepi. “Mereka kemudian mengacukan sebilah pedang samurai ke arah pembantu rumah itu sebelum mengikat tangan serta mulutnya dengan tuala. Kumpulan remaja penjenayah itu kemudian menggeledah rumah itu dan mengambil beberapa barangan berharga milik mangsa.

“Antara barangan yang dilarikan adalah dua unit komputer riba, komputer tablet iPad, wang tunai dan beberapa unit telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM50 ribu.

Kenyataan pihak polis lebih mengemparkan apabila dimaklumkan dua daripada suspek merupakan pelajar sekolah menengah, manakala masing-masing seorang penuntut kolej dan penganggur itu melarikan diri dengan menaiki motosikal. Mereka semua (suspek) telah pun ditahan dalam operasi berasingan yang berakhir pukul 2.30 pagi ini di sekitar Kajang.

Hasil pemeriksaan pihak polis tela menemui semula barangan rompakan dan peralatan untuk melakukan jenayah itu termasuk sebilah pedang samurai dan pemutar skru.
Dengan tertangkapnya suspek, mungkinkah masalah rompakan bersenjata, kes kecurian kasut yang berleluasa selama ini di BTHO akan berkurangan atau tiada. Kita harap dan berdoa begitulah tetapi kita di BTHO dalam masa yang sama perlu meningkatkan tali persahabatan antara jiran tanpa mengira bangsa dan memberi sokongan kepada Jawatankuasa Penduduk dalam usaha memperketat kawalan keselamatan dengan membayar yuran yang ditetapkan.

Kita sering menuding jari kepada pengawal keselamatan atau Jawatankuasa Penduduk bila berlaku kecurian tetapi kita juga kadangkala lupa bahawa bilangan Pak Guard yang bekerja adalah kurang disebabkan Jawatankuasa Penduduk hanya mampu mengadakan bilangan seminimum itu akibat kutipan wang rendah. Mana mungkin 2 atau 3 sahaja Pak Guard bertugas boleh mengawal 390 rumah dalam satu-satu kawasan pada sebelah malam tetapi jika pendapatan pembayaran keselamatan adalah tinggi, lebih Pak Guard dapat diupah maka pastinya kawalan keselamatan dapat diperbaiki.
Adalah diharapkan BTHO akan dapat kekal sebagai sebuah bandar yang aman dan tenteram selaras dengan hasrat melihat BTHO menjadi bandar hari ini untuk masa depan yang lebih tenteram dan selesa.

Rabu, 6 Julai 2011

ZON AEE SUAKASIH BTHO – DISEBALIK MUSIBAH YANG MELANDA

Kejadian rompakan bersenjata yang berlaku pada subuh 29 Jun 2011 benar-benar menimbulkan kesan trauma bukan sahaja pada mangsa yang terlibat tetapi kepada seluruh warga AEE Suakasih BTHO.

Menurut maklumat yang ada, ini merupakan kejadian yang pertama berlaku dalam tempoh 8 tahun sejak AEE diduduki dan kita juga bersyukur kerana walaupun mangsa diikat tetapi tiada kecederaan yang berlaku. Mangsa juga dikatakan baru berpindah masuk ke Zon AEE ini pada 1 Mei 2011. Menurut pihak polis pada malam yang sama turut berlaku rompakan yang sama di kawasan elit Arca, BTHO dan pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian ini boleh berulang dalam masa terdekat.

Atas nasihat dan maklumat yang pihak polis berikan, penduduk Zon AEE telah mengambil drastik dengan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari yang sama 29 Jun 2011 jam 10.45 sebaik sahaja perlawanan bola sepak di antara Malaysia dan Taiwan tamat.

Kehadiran sekitar 100 orang daripada jumlah rumah sebanyak 390 di Zon AEE menggambarkan betapa penduduk mengambil berat masalah ini dan tentunya pergantungan semata-mata kepada pihak “security guard” bagi keselamatan kawasan AEE sebelum ini bertukar kepada satu kerjasama erat antara penduduk dengan jawatankuasa penduduk (sementara) yang merupakan pihak yang menguruskan pengawal keselamatan.

Kalau selama ini En. Nasir bergerak macam seorang diri dan hanya dibantu oleh mantan pengerusi Haji Resul dan AJK lain seperti En. Hashim dan En. Abdullah maka mesyuarat malam tersebut sebenarnya dapat mengurangkan bebanan En. Nasir terutamanya.

Alhamdulillah, mesyuarat tersebut telah berjaya:-
 Mendapatkan kerjasama majoriti penduduk untuk mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan tahap keselamatan kawasan seperti memasang lampu depan dan belakang rumah pada waktu malam.
 Mendapatkan pandangan bernas ke atas peningkatan tanggungjawab pengawal keselamatan antaranya memastikan palang jalan utama ditutup pada waktu malam dan hanya dibuka jika pengguna telah dipastikan adalah penduduk AEE.
 Merapatkan tali silaturahim antara penduduk AEE dengan penduduk yang baru seperti penduduk baru di kawasan Zon 5A (32 unit rumah).
 Mewujudkan semula dan melantik Ketua-Ketua Jalan yang bertanggungjawab membantu kutipan bayaran bulanan dan menjadi penghubung antara AJK dengan penduduk dalam perkara berkaitan AEE Suakasih.
 Beberapa penduduk telah sukarela menawarkan diri untuk meronda sebelah malam.

Lanjutan dengan adanya wakil atau Ketua-ketua Jalan satu mesyuarat telah diadakan pada hari Sabtu malam yang lepas 2 Julai 2011 dan dalam mesyuarat tersebut telah dipersetujui lantikan beberapa AJK Sementara melibatkan jawatan Timbalan Pengerusi Sementara, Setiausaha Sementara dan Bendahari Sementara.

Mesyuarat juga bersetuju untuk mengusahakan pemasangan pagar-pagar di kawasan yang masih belum berpagar dan membaiki pagar yang dibolosi oleh perompak tempo hari. Sekiranya kutipan dapat dipertingkatkan bilangan pengawal keselamatan akan dapat ditambah seiring dengan tambahan pos guard di kawasan yang akan dikenal pasti kemudian.

Dan menariknya bagi memupuk semangat perpaduan dan kekitaan antara penduduk, satu cadangan gotong-royong perdana antara penduduk dirancang. Alhamdulillah gotong-royong perdana ini bakal diadakan dalam suasana kita penuh bersemangat untuk menjayakannya pada hari Ahad ini, 10 Julai 2011 jam 9 pagi bertempat di Pos Pengawal Pintu Utama AEE.

Semangat untuk bergotong royong ini ternampak dengan jelas dengan adanya penduduk seperti En. Rohaizat, Zurina Hussein, Astuty Amrin, Cindai-Cindai yang telah menyatakan untuk memberikan sumbangan antaranya air mineral, mihun goreng, kuih tepung talam dan karipap (hantu makcik Karipap tentu suka).

Saya juga tertarik dengan nasihat En. Fadzli Husain melalui AEE yahoo group yang meminta kita untuk buat solat tahajud untuk mengelakkan daripada bala bencana.
Dan dalam berbicara soal kawalan keselamatan, isu kutipan wang yang merosot tentunya juga menjadi agenda utama. Bayangkan daripada 390 unit rumah yang ada kurang 40% yang membuat bayaran. Inilah yang menyebabkan bayaran security guard tidak dapat dikurangkan daripada RM50 kepada RM30 sebulan. Sekiranya semua penduduk membuat komitmen bayaran saya percaya bayaran bulanan ini boleh dikurangkan.

Untuk permulaan semula, dengan adanya AJK Jalan, adalah diharapkan kutipan dan dapat dipertingkatkan kerana jika sumbangan wang ini dapat ditingkatkan tentunya ada lebihan ke atas bayaran kawalan keselamatan dan lebihan ini boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan seperti mewujudkan CCTV.

Untuk makluman sekiranya bayaran kawalan keselamatan ingin dibayar menerusi perbankan internet atau mesin ATM, Akaun AEE yang didaftarkan dan penandatangan dibenarkan (Resul, Hashim dan Abdullah) adalah di Public Bank (no akaun 3996413115) dan salinan slip pembayaran boleh diserahkan pada wakil jalan atau pos pengawal dengan mengisi nama tuan/puan sebagai bukti bayaran kawalan keselamatan.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, semoga gotong-royong perdana ini menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan, saling kenal mengenali antara jiran dan meningkat ukhuwah antara kita sesama umat manusia.

JUMPA DI GOTONG-ROYONG PERDANA AHAD INI, 10 JULAI 2011 JAM 9.00 DI POS UTAMA AEE SUAKASIH.