Ahad, 27 November 2016

PROJEK PEMBENTUNGAN LANGAT MENGUNDANG BAHAYA


Cadangan Pembinaan Langat Centralised Sewage Treatment Plant (CSTP) Dan Penyambungan Rangkaian Paip Pembetungan Di Kawasan Tadahan Lembangan Sungai Langat Secara Reka dan Bina adalah dialu-alukan oleh penduduk di kawasan Langat dan Kajang. Projek ini telah dimulakan sejak 20 November 2015 dan dijangka siap pada 19 Oktober 2020.

Namun didapati kerja-kerja mengorek lubang besar bagi pembinaan terowong di kawasan yang terlibat seperti di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana dan lain-lain kawasan didapati telah dibuat ditengah-tengah jalan.

Tindakan mengorek lubang besar di tengah-tengah telah menyebabkan jalan 4 lorong pergi balik telah menjadi 2 lorong dan ini menimbulkan bahaya kepada pengguna jalanraya. Bayangkan jalan 2 lorong tiba-tiba menjadi 1 lorong dan tanda-tanda amaran berhubung 2 lorong menjadi 1 lorong tidak dipasang dengan sempurna. Dan keadaan ini lebih berbahaya apabila menggunakan jalan di waktu malam. Ini adalah kerana lampu yang dipasang adalah betul-betul di kawasan kerja-kerja korekan dijalankan dan bukannya 500 meter sebelum kawasan korekan.

Kita tidak mahu hanya selepas kejadian kereta atau motosikal terhumban dalam lubang tersebut dan berlaku kehilangan nyawa barulah tindakan pencegahan hendak diambil. Memandangkan tiada Pengawal Keselamatan ditempatkan di kawasan kerja-kerja tersebut dan berhampiran dengan kawasan perumahan ia juga mengundang risiko kepada kanak-kanak yang mungkin tertarik untuk mendekati kawasan tersebut dan mengundang musibah.

Sepatutnya pihak pemaju dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) perlu memastikan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan berikut diambil.

i)                    Melebarkan tepi jalan supaya jumlah lorong sedia ada kekal dan tidak menimbulkan kesesakan dan bahaya kepada pengguna.

ii)                  Meletakkan papan tanda dan lampu yang mencukupi pada jarak yang sesuai dan mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan seperti MPKJ dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

iii)                 Meletakkan Pengawal Keselamatan di kawasan kerja korekan lubang dibuat.

Memandangkan kerja-kerja ini dijangka siap 5 tahun lagi maka langkah-langkah keselamatan perlu diutamakan demi keselesaan dan keselamatan penduduk, lebih-lebih lagi banyak aduan berhubung kegusaran yang sama telah pun dimajukan oleh penduduk kepada pihak berkuasa tempatan terutama MPKJ.

 

Illya Salehudin Jaafar
SUAKASIH BTHO CHERAS